Mampukah “Diktator’ Buat ‘Maharaja’ Tunduk Padanya?

Sebagaimana yang kita maklum, parti ‘cap bunga’ baru saja mengumumkan secara rasmi permohonan mereka untuk menyertai Pakatan Harapan. Bila disebut ‘permohonan’, maka penulis faham bahawa ia hanya di peringkat menawarkan diri untuk menyertai Pakatan Harapan

Dalam ertikata lain, parti ‘cap bunga’ belum lagi sah menganggotai Pakatan Harapan. Pucuk pimpinan tertinggi DAP, PAN dan PKR perlu terlebih dahulu menerima permohonan itu secara rasmi, maka barulah parti ‘cap bunga’ sah jadi anggota. Bak kata P. Ramlee, belum ‘sign’, maka belum boleh panggil ‘ayahanda’…

Walaupun permohonan ‘cap bunga’ itu disambut baik oleh PAN, PKR dan DAP, namun mereka masih belum menerima ‘cap bunga’ secara rasmi. Mungkin juga kerana permohonan itu diselit bersama kehendak parti itu yang mahukan nama, logo, simbol dan manifesto baru bagi menggantikan Pakatan Harapan sedia ada.

Maka mungkin atas permintaan tersebut, ada yang rasa tercabar, kurang senang dan menyampah pada permohonan yang kelihatan agak ‘annoying’. Baru saja buat permohonan, sudah minta macam-macam perkara?

Namun begitu, penulis yakin bahawa ‘cap bunga’ tidak lama lagi akan diterima masuk sebagai anggota Pakatan Harapan secara sah. Itu bukan soal utama.

Soal utama adalah berhubung ‘dua singa di atas bukit yang sama’. Mampukah seorang ‘maharaja’ mengawal seorang ‘diktator’? Mampukah seorang ‘diktator’ menundukkan seorang ‘maharaja’? Atau, mampukah mereka ‘sekepala’?

Kita pun tahu sejarah politik negara ini menyaksikan ‘maharaja’ itu adalah antara paling lama ‘bertakhta’ dalam DAP. Walaupun sudah punya ‘putera mahkota’, dia masih belum mahu turun ‘takta’. Mungkin dia bimbang ‘putera mahkota’ dibaham oleh mereka yang sudah lama menunggu masa untuk ‘membaham’ anak ‘maharaja’ itu.

Di pihak yang satu lagi pula, ‘diktator’ yang sudah ‘bersara’ pun kembali ke ‘medan perang’ dengan alasan ‘menyelamatkan negara’. Kita pun dapat meneka dengan mudah tentang apa yang tersirat di sebalik alasan tersebut. Sedangkan alasan sebenar di hati mungkin hampir sama dengan ‘maharaja’ tersebut, bukan?

Sejarah politik negara kita juga menyaksikan pelbagai tindakan dan hinaan dihamburkan ‘diktator’ kepada ‘maharaja’. Tidak cukup dengan mulut, ada ketikanya dihantar masuk ke dalam jeriji besi. Apa ada hal, dia ‘diktator’ yang berkuasa ketika itu, bukan? Alasan untuk ‘menghalalkan cara’ pun dia boleh cipta…

Pada masa yang sama, ‘maharaja’ juga tidak mengalah. Cuma, mungkin kerana tiada sebarang kuasa, ‘maharaja’ hanya mampu guna mulut, lidah dan air liur saja. Pantang dapat peluang, diseranahnya ‘diktator’ tidak mengira tempat…

Dan kini, mereka di dalam satu kapal. Siapa nakhodanya? Takkanlah seorang wanita yang teruk dibuli ‘diktator’ dulu? Suaminya pun masih dalam penjara, anak-anak pun entah ikhlas terima atau tidak, pendirian dan keputusannya nanti mungkin berat sebelah, bukan?

Jika hendak dikata suaminya, dia masih lagi merengkok dalam penjara. Dan orang yang menjahanamkan peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri kini merengek minta ehsan? Sebelah kaki sudah di atas takhta, tapi ‘diktator’ benam sampai ke lubang najis? Benarkah dia sudah maafkan dan tidak simpan di hati?

Jika ‘diktator’ menolak ‘banduan’ dari menjadi Perdana Menteri, silap haribulan ‘maharaja’ akan mengamuk dan mencantas ‘kepalanya’. Jika dicantas ‘kepala yang sudah tua’, mungkin tidak mengapa’. Tapi bagaimana jika dicantas ‘kepala yang masih muda, tapi tidak berambut’? Boleh masuk IJN ‘diktator’ itu dibuatnya…

Pada pandangan penulis, dalam pertarungan politik ‘epik’ ini, berkemungkinan besar ‘maharaja’ akan menang. Kenapa? Kerana ‘maharaja’ lebih senior dalam pakatan pembangkang. Pengaruhnya lebih besar dan sekutunya lebih rapat kerana mereka sudah agak lama bersama.

Lagipun, selama ini dua parti itu memang dilihat sering mengampu ‘maharaja’. Kebergantungan mereka kepada parti ‘maharaja’ itu ketara sangat. Tidak percaya? Sila rujuk pada tindakan-tindakan ‘putera mahkota’. Sudah berapa orang jadi mangsanya di utara sana?

‘Cap bunga’ pun masih baru lagi. Masih hijau. Masih ‘kanyaq’, meminjam istilah ‘diktator’nya. Mampukah dia kalahkan ‘maharaja’? Mungkin dia dulu licik, tapi atas faktor umur, kesihatan dan sikap, penulis yakin tidak lama lagi berkuburlah mereka. #Salam500DariBaling…

Leave a Reply