Kos Sara Hidup: Cermin Diri Sebelum Tuding Jari

Share

Jika diperhatikan pada hujah puak-puak pembangkang di media sosial berkenaan kos sara hidup di zaman ini, mereka begitu gemar membandingkan jumlah pendapatan dan perbelanjaan di zaman Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Seperti biasa, hipotesis mereka mendakwa hidup rakyat di negara ini sangat menderita di zaman Najib berbanding hidup di zaman Mahathir. Kononnya di zaman Mahathir, hidup mereka tidak tertekan dan senang lenang tanpa masalah.

Jika dilihat pula pada latar belakang mereka, rata-ratanya lahir sebagai anak manja yang sama ada tidak pernah melalui kepayahan hidup atau tidak pernah diajar kesusahan ketika mereka masih kecil. Namun begitu, ada juga yang tegar menegakkan benang yang basah walaupun mengakui kebenaran sebenar dalam hati.

Benarkah hidup di zaman Mahathir dulu senang lenang dan tidak tertekan? Dengan gaji hanya RM500 sebulan, seorang bapa tidak tertekan untuk membesarkan anak seramai 5 orang dengan isteri yang tidak bekerja? Benarkah dakwaan itu?

Soalnya, kenapa dibandingkan kos sara hidup zaman Mahathir dengan zaman Najib? Kenapa tidak dibandingkan kos sara hidup di zaman Mahathir dengan zaman Tun Abdul Razak dan Tunku Abdul Rahman? Bukankah mereka Perdana Menteri yang terdahulu dari Mahathir?

Logiknya, jika zaman Najib dibandingkan dengan Perdana Menteri terdahulu sebelum beliau, maka sewajarnya zaman Mahathir juga perlu dibanding dengan zaman Perdana Menteri yang terdahulu sebelumnya, bukan?

Jadi, cuba jelaskan berapa harga sekilogram gula, sekilogram beras dan secawan kopi di zaman Tunku Abdul Rahman berbanding di zaman Mahathir. Adakah harga barangan keperluan itu meningkat di antara dua zaman tersebut?

Pada pandangan penulis, adalah tidak adil untuk membandingkan kos sara hidup di zaman Najib dengan zaman Mahathir hanya berdasarkan persepsi di media sosial semata-mata. Analisis yang adil sepatutnya bersandarkan kepada realiti kehidupan, statistik dan kutipan fakta yang benar.

Siapa yang faham teori keperluan manusia yang diperkenal Maslow, maka mereka akan faham tentang keperluan dan kehendak manusia yang tidak terbatas. Ia akan meningkat hingga ke peringkat tertinggi, bergantung kepada nafsu dan serakah setiap individu itu.

Sebagai contoh, jika kereta dan internet dulu bukan merupakan satu keperluan, namun kini ia merupakan satu keperluan bagi mereka di peringkat kehidupan yang tertentu. Jika dulu kita boleh hidup dengan telefon awam, mengapa kini tidak boleh hidup tanpa telefon pintar?

Pada pandangan penulis, peningkatan kos sara hidup bagi setiap individu itu adalah bergantung pada diri masing-masing. Sebenarnya, individu itu sendiri yang meningkatkan keperluan hidupnya sendiri, bukan orang lain atau pengaruh luar.

Jika cara hidupnya menetapkan membeli belah di Pavilion dua bulan sekali, bergaya dengan pakaian dan aksesori berjenama, tukar telefon pintar mengikut model keluaran terbaru, penulis yakin keperluannya akan meningkat tinggi berbanding orang lain yang lebih sederhana.

Pokok pangkalnya, belajarlah mengawal ekonomi diri sendiri. Kawalan juga perlu lebih tegas pada kehendak nafsu terhadap suatu yang tidak perlu. Tidak perlulah tuding jari atau buat perbandingan tidak wajar. Simpan sikit sikap kurang cerdik itu dari rakan media sosial, tak tahu malukah?

Leave a Reply