Deposit Haji Vs Kerinchi: Hasut, Percaya, Rugi, Terbiar Sendiri…

Share

Masih ingat lagi pada mereka yang bertindak menutup akaun dan membatalkan pendaftaran menunaikan haji gara-gara termakan hasutan pemimpin pembangkang yang mendakwa kononnya Tabung Haji akan bankrap tahun lalu?

Ketika itu, lebih 3,000 pemilik akaun telah menutup akaun masing-masing, manakala hampir 4,000 umat Islam yang bertindak membatalkan pendaftaran haji mereka. Menariknya, hingga kini Tabung Haji belum bankrap hingga kini, malah beroperasi seperti biasa saja…

Apa akibatnya? Akibatnya ialah ribuan umat Islam yang termakan hasutan pemimpin politik itu terpaksa menunggu giliran selama lebih kurang 70 tahun untuk menunaikan haji. Itupun jika mereka mendaftar semula dengan Tabung Haji. Jika tidak, cuba bayangkan sendiri…


Dan mungkin kejadian yang hampir sama juga berlaku di Kerinchi. Difahamkan seramai 35 individu juga telah termakan hasutan seorang pemimpin pembangkang. Kononnya membantah projek perumahan yang dibina untuk kehidupan rakyat yang lebih selesa, akhirnya hilang entah ke mana.

Mujurlah 472 pemilik rumah yang lain tidak termakan hasutan pemimpin pembangkang tersebut. Mereka kini hidup selesa di Residensi Kerinchi yang difahamkan nilainya sudah lebih tinggi, sekitar RM400,000 hingga RM500,000 seunit. Dalam tempoh 10 tahun lagi, berapa harganya?

Manakala 35 orang lain hanya berpuas hati dengan wang pampasan sebanyak RM73,000, namun entah apa nasib mereka sekarang di zaman yang menyaksikan harga rumah berlipat-lipat kali ganda meningkat, khususnya di ibu negara, termasuk Lembah Pantai.


Fokus penulis bukanlah pada kebendaan semata-mata, namun yang lebih penting adalah sikap segelintir rakyat di negara ini yang begitu mudah terpengaruh dengan dakyah ahli politik, khususnya pihak pembangkang yang begitu terkenal dengan kepalsuan.

Kononnya mereka membela nasib rakyat. Jadi siapakah yang akan hantar ribuan umat Islam yang terpaksa beratur panjang dan menunggu hingga 70 tahun untuk ke rumah Allah menunaikan haji? Pemimpin pembangkang itu yang akan uruskan semuakah?

Apakah pemimpin pembangkang yang menghasut ‘lawan tetap lawan’ itu akan sediakan rumah kepada 35 individu yang telah dipengaruhi dengan sentimen negatif itu? Apakah nilai dan kedudukan rumah itu sama dengan apa yang sepatutnya dinikmati?


Penulis agak kasihan kepada mereka-mereka yang begitu mudah terpengaruh dengan retorik dan permainan politik para pemimpin pembangkang di negara ini. Membuta tuli mempercayai, akibatnya rugi, dan mereka terbiar terkapai-kapai sendiri?

Bukan tidak pernah diingatkan tentang bahaya pengaruh puak pembangkang di negara kita. Pembangkang di sini tidak sama di negara maju. Pembangkang di negara maju sihat-sihat biasanya, namun berbeza dengan pembangkang di negara kita yang selalunya ‘sakit’…

Di negara maju, pembangkang hanya membangkang sesuatu yang negatif yang diutarakan kerajaan dan teguran pun dibuat secara berhemah tanpa menimbulkan emosi benci kepada sesiapa. Itulah fungsi pembangkang sebagai ‘check and balance’.

Namun di negara kita, perkara yang baik dan betul pun dibangkang pembangkang, apatah lagi kesilapan-kesilapan kecil yang berlaku. Bukan lagi berkonsep teguran, dihamun dan dicaci kejinya dengan kata-kata kesat serta menimbulkan kebencian ramai. Itu ‘sihat’?

Justeru itu, penulis menyarankan kepada segelintir rakyat tersebut supaya berfikiran lebih cerdik dan tidak lagi termakan hasutan berbaur sentimen retorik politik puak pembangkang. Jangan kita ulang insiden pendeposit Tabung Haji dan mangsa ‘hasutan’ di Residensi Kerinchi.

Leave a Reply