Benarkah PAS Akan Buat U-Turn Di Saat Akhir?

Share

Dalam banyak-banyak kenyataan dari Naib Presiden PKR, Tian Chua, hanya kali ini saja yang penulis rasa boleh diterima akal sedikit berbanding yang sebelum-sebelumnya yang selalu ‘ke laut’, melalut tidak ketahuan punca.

Hari ini, Tian Chua membuat ramalan. Dia kata, PAS akan membuat ‘U-turn’ pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 untuk kembali ke riba DAP, PAN, PKR dan parti ‘cap bunga’, sekaligus menandakan kebersamaannya dengan Pakatan Harapan.

Kata kawan baik Nurul Izzah itu, sengketa yang berlaku di antara PAS dan DAP yang terhidang di depan rakyat sekarang hanyalah semata-mata untuk menjaga maruah dan identiti parti masing-masing. Lebih kurang macam ‘wayang opera’lah maksudnya, bukan?


Merujuk pada kenyataan Tian Chua itu, penulis menganggapnya sebagai salah seorang yang kenal benar dengan tabiat PAS. Dia bagaikan terlalu kenal dengan PAS yang suka membuat pusingan U dan kembali kepada Pakatan Harapan.

Mungkin dengan kenyataan Tian Chua itu dapatlah kita simpulkan tentang tabiat semula jadi PAS yang seolah-olah gemar membuat ‘u-turn’, bersifat ‘flip-flop’ dan tidak tetap pendirian selain mudah tewas pada godaan ‘kuasa’ dan ‘politik’ yang duniawi.

Jika benar kata Tian Chua itu, maka benarlah andaian ramai pihak sebelum ini yang mengatakan PAS sebenarnya merupakan sebuah parti yang bijak bermain ‘wayang opera’. Namun penulis tidak pasti wataknya adalah sebagai ‘pelakon tambahan’ atau ‘pak pacak’.


Tapi benarkah PAS begitu? Khabarnya PAS kini sudah berubah mengamalkan politik matang dan sejahtera. Apakah politik matang dan sejahtera juga mengamalkan sikap ‘u-turn’, ‘flip-flop’, lemah pendirian, suka ‘wayang’ dan beberapa sifat negatif lain?

PAS sebelum ini bukan sekali dua, malah berkali-kali menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang dikuasai pengaruh kuat DAP dan PAN. Malah gara-gara dua parti itu juga PAS enggan meneruskan perbincangan dengan parti ‘cap bunga’ dan mengkaji semula hubungan dengan PKR.

Seperti yang kita maklum, Rasulullah SAW pernah bersabda dan memberitahu bahawa antara petanda orang munafik ialah berbohong apabila berkata-kata dan tidak mengotakan kata selepas berjanji. Jika ramalan Tian Chua itu benar bagai dikata, apakah PAS sedia melabel diri sendiri sebagai munafik?


Pada pandangan penulis, sama ada PAS mahu buat u-turn sekarang atau di saat akhir, ia tidak memberikan sebarang kesan kepada UMNO dan BN. Sama ada dia mahu kembali ke pangkuan DAP dan menjalin ‘kasih’ dengan PAN, penulis peduli apa, bukan?

Namun jika ramalan Tian Chua itu berlaku, maka penulis yakin bahawa PAS akan kembali menjadi ‘kuda tunggangan’ parti-parti dominan dalam gabungan pembangkang itu macam kebiasaan sebelum inilah. Macam tidak biasa pula, bukan?

Maka mungkin juga kuda tunggangan DAP yang baru seperti PAN dan parti ‘cap bunga’ tidak cukup membuat DAP yakin dan selesa untuk terus menunggang Pakatan Harapan. Mungkin seekor ‘kuda’nya itu masih ‘kanyaq’, manakala seekor lagi ‘kuda’ sedia ada ‘terlalu tua’ untuk ditunggang?

Walau bagaimanapun, terpulanglah pada PAS sama ada mahu buat u-turn atau tidak. Rakyat dan penyokongnya melihat dan perhatikan saja sejauh mana slogan ‘politik matang dan sejahtera’ itu bertahan, dan ditahap manakah sebenarnya maruah PAS, bukan?

Leave a Reply