Apa Yang Nik Nazmi Faham Tentang Pahit Reformis?

Penulis tersenyum sinis membaca kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu golongan reformis berlapang dada menerima Tun Dr Mahathir Mohamad, sama seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Justifikasi yang diberikan Nik Nazmi ialah jika pihak ‘bahu yang memikul’ dapat menerima Mahathir dengan ‘senyum dan salam’, maka puak reformis itu juga perlu begitu, perlu menerima bekas Perdana Menteri itu dengan reaksi yang sama.

Begitu rupanya justifikasi Nik Nazmi memujuk? Nampak seolah bijak, namun pada pandangan penulis, golongan yang sudah sekian lama terjebak dengan gerakan reformasi tersebut tidak semudah itu lupa dan mampu menerima seperti yang dia mahukan.

Nik Nazmi menyangka semudah itu Anwar dapat menerima segalanya? Dengan bermanis muka dan menyambut salam, maka segalanya selesai di mata Nik Nazmi? Tidakkah terlintas di fikiran Nik Nazmi tentang apa yang dilalui Anwar dan keluarganya dulu?

Apa yang Nik Nazmi jangka reaksi Anwar jika dihampiri Mahathir menghulur salam? Nik Nazmi mahu Anwar berpaling, merenggus nafas marah, menengking dan menempelak Mahathir seperti orang hilang akal?

Apakah Nik Nazmi jangka Anwar akan lempang muka Mahathir laju-laju? Atau Nik Nazmi mahu Anwar terajang Mahathir di depan orang ramai sampai tersungkur di lantai dan aksi tersebut dirakam lensa serta diviralkan?

Pada pandangan penulis, itu bukan ‘style’ seorang yang pernah dikenali dengan gelaran ‘pak syiekh’. Maka sudah tentu Mahathir akan disambut dengan muka manis dan salam dengan baik. Apatah lagi di zaman serba semua orang mahu jadi jurukamera di media sosial, pasti viral gambar tersebut, bukan? Terserlah ‘akhlak budi baik’ seorang ‘pak syiekh’, bukan?

Padahal, kita pun tahu apa yang berlaku pada episod-episod sebelumnya. Sentimen politik meluap-luap sengaja dilancarkan Anwar terhadap Mahathir di zaman reformasi. Penulis yakin ramai yang pernah saksikan, kecuali mereka yang masih ‘kanyaq’ di dalam AMK sekarang…

Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika Mahathir hadir di tengah lautan reformis yang berhimpun di sekitar Dataran Merdeka dan mahkamah yang membicarakan Anwar ketika itu. Mahathir berani turun tunjuk muka tanpa kawalan di situ? Jadi ‘pisang lenyek’lah jawabnya.

Semanis-manis Anwar ketika bersalam dengan Mahathir, siapa yang tahu tentang apa yang dia sembunyikan di dalam hati perutnya. Nik Nazmi tahu? Hanya Allah dan Anwar saja yang tahu apa yang terkandung di hatinya.

Bagaimana dengan hati Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Nurul Nuha Anwar dan semua anak-anak Anwar yang lain? Bagaimana dengan keperitan hidup mereka selama ini angkara pertelingkahan politik bapa mereka dengan Mahathir? Apatah lagi bapa mereka ‘tewas’, siapa yang jadi mangsa?

Anwar mungkin kelihatan ‘baik-baik saja’ dengan Mahathir. Tapi siapa tahu, di sebalik ‘baik-baik saja’ itu tersirat sesuatu yang akan menyebabkan Mahathir akan dipandang hina hingga ke liang lahad? ‘Baik ada makna’, Nik Nazmi faham ungkapan itu?

Dan begitulah juga dengan juak-juak pembangkang yang kini ‘berpeluk’ dengan Mahathir. Pernah Mahathir minta maaf dengan ikhlas dan menyesal atas segala perbuatannya terhadap puak-puak tersebut? Hanya hubungan baik dan kerjasama dihulur, mohon maafnya bagaimana?

Jika Mahathir sedar tentang kesilapannya, belum pun berpeluk dan selepas dia melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, maka sudah tentu dia akan minta maaf. Dan kini, selepas mahukan laba politik dan kepentingan masa depan politik anak, maka baru dia berbaik-baik? Itu pun masih belum memohon maaf, bukan?

Jadi, rasanya tidak perlulah Ketua AMK beretorik dengan puak reformasi tersebut. Hanya buang masa saja untuk berpura-pura ‘main wayang’, sedangkan hakikat sebenarnya tidak dapat disembunyikan.

Nik Nazmi ingat episod ‘lawan tetap lawan’? Ingatlah bahawa asalnya ia dituju pada ‘siapa’, dan bukan pada ‘apa’…

Leave a Reply