PAS Kedah Sokong Mahfuz Atau Kepimpinan PAS Pusat?

Share

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar, yang dicabar untuk keluar meninggalkan PAS gara-gara pendiriannya yang lebih cenderung mendokong Pakatan Harapan berbanding mempertahankan PAS sebagai wadah perjuangannya.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah mencabar Mahfuz untuk keluar parti, malah cabaran itu disokong padu oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa Mahfuz boleh keluar parti jika tidak lagi berpegang pada pendirian jemaah PAS.

Mahfuz dalam satu ciri ceramah politiknya di pentas PAN baru-baru ini mendakwa dia tidak dapat keluar dari PAS kerana mahu menyelamatkan PAS dari meminggir diri dari Pakatan Harapan dan terus mendesak partinya untuk kembali bersekutu dengan gabungan pembangkang yang diketuai DAP itu.

Melihat kepada perkembangan pendirian Mahfuz itu, penulis berpandangan bahawa dia sememangnya sudah tidak sehaluan dan tersasar jauh dari pendirian dan perjuangan sebenar yang kembali didokong PAS.

PAS sudah tentu ada sebab kukuh untuk bersikap serik, enggan dan memutuskan hubungan dengan DAP dan PAN. Takkanlah Mahfuz ‘buta’, ‘pekak’ dan ‘bisu’ tentang apa yang berlaku sebelum ini?

PAS memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan dengan parti ‘cap bunga’, maka sudah tentulah parti itu punya alasan yang baik untuk menolak parti milik ‘diktator anak beranak’ itu, bukan? Tanpa sebab, takkanlah PAS mahu bersikap demikian?

Penulis dapat maafkan Mahfuz atas sikapnya itu. Khabarnya, dikatakan Ahli Parlimen ‘kesayangan’ Pokok Sena itu sering menunjukkan tahap pemikirannya yang rendah dengan kenyataan-kenyataan yang mampu membuat ramai ketawa dirinya.

Namun yang penulis pelik, apa sudah jadi dengan PAS Kedah? Langsung tidak berbunyi? ‘Sampah’ dan ‘bau busuk’ itu datangnya dari PAS di Kedah, tapi kepimpinan PAS di negeri itu langsung tidak berani mengeluarkan kenyataan menyokong PAS Pusat?

Penulis tertanya-tanya, apakah PAS Kedah sama pendirian dan menyokong kenyataan Naib Presiden dan Presiden PAS terhadap ‘harum manis’ di negeri mereka itu? Mereka memihak pada siapa sebenarnya? Memihak Mahfuz atau PAS Pusat?

Sehingga hari ini, PAS Kedah langsung tidak menyatakan pendirian terhadap Mahfuz. Takut sangatkah mereka untuk berdepan dengannya? Atau sebenarnya PAS Kedah yang kini diterajui Dr Fakhruddin Fakhrurazi menyebelahi Mahfuz yang bermatlamat mengejar kuasa?

Sekiranya Mohd Amar mencabar Mahfuz, penulis yakin ramai penyokong dan ahli PAS di Kedah yang keliru serta menuntut Pesuruhjaya PAS Negeri itu menyatakan pendirian mengenai pendirian dan sikap Mahfuz itu. Ramai yang semakin ‘jelak’ dengan perangai Mahfuz khabarnya.

Namun jika PAS Kedah masih mengamalkan sikap ‘play safe’ dan enggan bertindak terhadap Mahfuz sebagaimana yang diambil PAS Kelantan terhadap Adun Salor, Dato’ Husam Musa, maka tahulah kita tahap sebenar PAS di Kedah.

Sama ada berani atau tidak mereka mempertahankan perjuangan PAS mencari redha Allah, penulis yakin ramai penyokong dan ahli PAS di sana sedang menanti…

Leave a Reply