Hinanya PAS Di Mata Veteran Politik Itu…

Share
Sebelum ini, sudah berkali diperkatakan tentang pendirian Pengerusi dan Presiden parti ‘cap bunga’ yang berbeza pandangan mengenai kepentingan PAS untuk bersama Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menampakkan perbezaan ketara mengenai status PAS, sama ada parti itu penting untuk bekerjasama politik dengan Pakatan Harapan atau sebaliknya.

Desas-desus itu bukan baru, malah sudah lama berkicau menjadi perbualan di kalangan akar umbi parti ‘cap bunga’ sendiri. Muhyiddin menganggap PAS penting untuk pakatan pembangkang, sebaliknya Mahathir menegaskan pembangkang mampu rebut kuasa dari BN tanpa kerjasama dari PAS.

Dek kerana pertikaian dan percanggahan pandangan dua pemimpin ‘bunga’ itulah maka banyak ‘kelopak’ yang layu dan gugur. Ada yang gugur terus menyepi ke bumi, malah ada yang gugur dan merayu mahu kembali semula menyarung keris di pinggang.


Kita tahu siap Mahathir dan bagaimana cara dia berpolitik, bukan? Cara merendah diri, bukanlah sifat politiknya sejak dari dulu. Selagi boleh mendabik dada, dia akan terus mendabik dada. Hatta ketika dipecat Almarhum Tunku dulu pun, dia masih mendabik dada…

Jika dilihat pada pendirian Mahathir terhadap PAS, rata-ratanya memperlihat lagaknya yang meninggi diri. Contohnya, 3 kali draf undang-undang syariah berkaitan hudud dikemukakan padanya untuk diteliti, dia tolak mentah-mentah dengan alasan ‘tidak lengkap’ dan banyak ‘kelemahan’.

Padahal, dia boleh memilih untuk membantu memartabatkan undang-undang syariah itu dengan menyedia dan menggalakkan usaha ke arah perlaksanaan hukum syariah itu. Dari dikatakan sebagai ‘hudud PAS’, dia boleh cuba jadikannya ‘hudud Allah’ yang adil.


Tapi dia memilih untuk menghina PAS ketika itu. PAS seolah-olah dibayangkan sebagai ‘bodoh syariah’, sengaja ‘tunjuk pandai’ dan hanya mempermainkan hudud sebagai senjata politik. Draf hudud itu ditolak mentah-mentah…

Itu baru satu contoh besar memperlihat betapa PAS dipandang rendah oleh Mahathir, dan ada banyak lagi kes-kes yang menyaksikan dia menempelak PAS dan kepimpinannya. Penulis yakin, ramai pemimpin dan penyokong PAS yang tidak lupa pada ‘dosa-dosa’ Mahathir terhadap mereka dulu.

Rendahnya PAS di mata Mahathir rasanya masih tebal hingga kini. Jika tidak, takkanlah dia begitu sayangkan DAP, PAN dan PKR, sebaliknya sanggup menentang dan memburuk-burukkan PAS secara terbuka. Masih ingat apa yang berlaku di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar?


Bahkan, hingga kini Mahathir masih memperlekeh PAS. PAS sengaja dimomokkan bekerjasama dengan UMNO hanya kerana saling senada tentang kepentingan etnik Rohingya di Myanmar dan pindaan RUU 355.

Sedangkan, kita semua sedar bahawa UMNO dan PAS sememangnya seteru politik tradisi dan bertanding antara satu sama lain ketika pilihan raya. Kerjasamanya hanya berteraskan kepentingan Islam dan Melayu, bukannya politik, bukan? Itu saja…

Mungkin itulah alasan Mahathir untuk menutup ‘busuk bangkai’ ekoran tindakannya bersekongkol dengan DAP, PAN dan PKR yang dia hentam, hina dan ‘belasah’ selama ini. Bukan saja musuh politik, malah mereka-mereka itulah yang dilabel Mahathir sebagai ‘anti-Islam’, ‘anti-Melayu’ dan sangat tebal sifat ‘perkaumannya’, bukan?

Pada pandangan penulis, sama ada PAS mahu bersama Pakatan Harapan dan parti ‘cap bunga’, atau memilih untuk mengetuai Gagasan Sejahtera, itu adalah keputusan PAS. Penting atau tidak PAS di mata Mahathir, ia tidak menjadi kudis bagi PAS rasanya.

Apa yang penting bagi PAS sekarang ialah parti itu perlu membuktikan bahawa maruah mereka tidaklah terlalu murah seperti yang digambarkan Mahathir.

Bagaimana caranya, itu terserah pada PAS sendiri dan sama-sama kita saksikan di mana tahap maruah PAS selepas ini sama ada tunduk dikaki parti kerdil milik Mahathir, atau kekal bebas dari sebarang pengaruh ‘diktator’ yang ‘gilakan kuasa’ hingga ke akhir hayat…

Leave a Reply