Akar Umbi Bersuara, Sanggup PAS Lepas Kuasa Di Selangor?

Share

Semalam, ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan ahli partinya yang mendakwa mewakili aktivis PAS di peringkat akar umbi membawa memorandum menyuarakan isi hati dan kehendak mereka.

Khabarnya, memorandum tersebut mengandungi intipati yang mendesak PAS supaya terus memutuskan sebarang pertalian dengan DAP dan PAN, serta memutuskan juga hubungan dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan dua parti tersebut.

Mereka menganggap parti-parti yang menjalin hubungan dengan DAP dan PAN sebagai ‘duri dalam daging’ atau ‘gunting dalam lipatan’, dan PAS tidak memerlukan gangguan dari parti yang mempunyai masalah peribadi serta tamak kuasa yang melampau.


Tidak cukup dengan itu, turut dibawa bersama beberapa sepanduk yang mampu buat DAP, parti ‘cap bunga’ dan PAN merah muka, menyinga marah.

Agak mengejutkan ramai, difahamkan juga bahawa kumpulan berkenaan adalah dari PAS Selangor yang kini merupakan sebahagian dari Kerajaan Negeri Selangor dan turut menganggotai jawatan Exco di negeri tersebut.

Penulis tidak pasti sama ada PAS bersedia untuk memenuhi kehendak ahli-ahli akar umbi PAS di Selangor itu. Jika difikirkan dari sudut kuasa politik dan autoriti, PAS akan kehilangan hak sebagai sebahagian dari kerajaan negeri itu jika kehendak memorandum itu dipenuhi.


Namun dari sudut pengaruh politik, penulis tidak nafikan bahawa berkemungkinan besar PAS akan mendapat pengaruh yang lebih besar dari kalangan akar umbinya yang sudah lama mahu parti mereka keluar dari terus bersekongkol dengan Pakatan Harapan.

Menurut sentimen tempatan, khabarnya ramai akar umbi PAS di Selangor yang disindir tajam oleh akar umbi PAS dari negeri lain ekoran sikap pemimpin PAS Selangor yang seolah-olah terlalu sayang dan kemaruk kuasa yang diberi Pakatan Harapan.

Mungkin kerana malu, khususnya terhadap rakan-rakan mereka di Pulau Pinang yang selamba melepaskan semua jawatan yang diberi Guan Eng, maka tuntutan seperti itu dibuat dan sekaligus meletakkan PAS dalam dilema.


Soalnya, apakah wajar PAS putuskan hubungan dengan PKR dan menolak untuk bekerjasama dengan parti ‘cap bunga’?

Pada pandangan penulis, ia terpulang pada PAS sendiri sama ada benar-benar tegas dengan pendirian, atau lebih longgar pendiriannya untuk bersekongkol dengan parti yang ‘berpeluk’ dengan mereka yang menjahanamkan PAS sebelum ini.

Jika PAS tegas, maka sudah tentu masyarakat akan melihat PAS sebagai sebuah parti yang benar-benar konsisten dengan pendirian asal dan enggan lagi diperkotak-katik oleh parti-parti ‘gila kuasa’ itu.

PAS akan dilihat sebagai sebuah parti yang tidak kisah untuk tewas pilihan raya, asalkan maruah mereka tidak lagi dipijak-pijak oleh parti-parti berkenaan. Malah tidak mustahil, ia akan mencetus semangat PAS yang dulu hanya berjuang untuk redha Allah.

Namun jika PAS memilih untuk menolak kehendak akar umbi PAS Selangor itu, maka pada pandangan penulis, PAS akan tetap kekal berjawatan di dalam kerajaan negeri dan mempunyai autoriti dan kuasa, selain berfungsi sebagai ‘check and balance’.

Cuma, PAS tidak mungkin dapat membuat sebarang perubahan dalam dasar kerajaan negeri, dan hanya lebih kepada ‘melukut di tepi gantang’ di mata PKR, DAP dan PAN. Mungkin tidak disuarakan secara terbuka, tapi itulah yang dilihat oleh rakyat.

Maka terpulanglah pada PAS. Tapi harus diingat bahawa talibarut Pakatan Harapan belum lagi habis dibersihkan dari dalam parti itu. Malah ada lagi saki baki puak berkenaan yang masih kekal menjadi ‘duri dalam daging’ PAS.

Selagi PAS tidak bertindak tegas, maka selagi itulah PAS akan dilihat sebagai sebuah parti yang boleh diperkudakan lagi oleh Pakatan Harapan, terutama DAP dan PAN. Mereka bukan tak kenal dengan kelemahan PAS sebelum ini, bukan? Silap langkah, PAS akan masuk ‘jerat’ sekali lagi…

Leave a Reply