22 Tahun, Apa Yang Dia Beri Pada Pemimpin Asing Melawat Malaysia?

Share

“Tapi kita tahu sebab-sebab yang orang asing membuat lawatan ke Malaysia. Saya tak perlu nak sebut di sini. Tapi mereka datang bukan kerana persahabatan tapi kerana ada sesuatu yang Najib boleh bagi kepada mereka… Inilah sebabnya mereka berada di sini,”

Kata-kata di atas adalah kenyataan dari seorang bekas Perdana Menteri paling lama berkuasa di negara ini. Dianggarkan lebih 22 tahun berkuasa sebagai ‘diktator’ di Malaysia, penulis yakin sudah beribu pemimpin asing datang melawat negara di era dia memerintah.

Kata-kata berbaur prejudis itu juga dilapor terbit dari mulut Mahathir semalam, dan hari ini Raja Arab Saudi yang diamanahkan Allah menjaga dua rumahNya, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, hadir mengadakan lawatan 4 hari ke negara kita.


Raja Salman Abdulaziz As-Saud merupakan seorang Raja beragama Islam yang sangat dihormati oleh berbilion umat Islam di seluruh dunia. Dengan kekayaan yang diberi Allah pada negaranya, baginda bukan saja sering membantu negara Islam secara terbuka, malah khabarnya banyak yang menerima sumbangan darinya secara diam-diam.

Misalnya, dikhabarkan bahawa sudah berbilion-bilion disumbangkan Arab Saudi kepada negara-negara Islam tertindas dan miskin seperti Palestin, Bosnia dan negara-negara majoriti muslim di Afrika. Namun bagai Umar Al-Farouk, sumbangan itu khabarnya tidak diwar-warkan secara terbuka.

Merujuk kepada kenyataan Mahathir itu, meskipun tidak menyatakan pemimpin atau orang asing yang dimaksudkan, namun ramai yang dapat mengagak ia ditujukan kepada Raja Salman Abdulaziz As-Saud yang tiba hari ini di negara kita.


Kononnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berikan sesuatu padanya? Benarkah begitu? Apa yang Raja Salman mahu Najib berikan? Sedangkan Arab Saudi kita semua tahu merupakan salah sebuah negara Islam paling kaya di dunia. Penulis tidak rasa Raja Salman mahukan apa-apa dari negara ini.

Jika ada pun yang diperlukan Arab Saudi dari Malaysia, penulis yakin ia bukan berbentuk material atau kebendaan. Mungkin mereka mahukan hubungan persahabatan yang lebih akrab, jalinan kerjasama yang lebih mantap dan membicarakan tentang hal-ehwal kepentingan Islam serta umatnya sedunia.

Kita pun tahu bagaimana Arab Saudi menghargai Malaysia berbanding di zaman Mahathir. Melihat pada kata-kata Mahathir itu, penulis juga yakin ramai yang dapat menghidu keadaan sebenar hubungan Mahathir dengan pemegang amanah Al-Haramain itu. Pokok pangkalnya, seorang sahabat yang baik tidak akan mengungkap kata-kata biadap begitu, bukan?


Mengulas mengenai kenyataannya itu juga, terlintas di fikiran penulis tentang apakah yang dia berikan kepada pemimpin-pemimpin asing yang datang membuat lawatan ke negara kita sepanjang 22 tahun sebelum ini.

Jika beribu pemimpin yang hadir, apakah yang dia berikan kepada mereka? Sebagai contoh, jika Mugabe pernah melawat negara ini di era pemerintahannya dulu, apa yang dia berikan kepada sahabat baiknya itu? Boleh jelaskan?

Pada penulis, apa yang dinyatakan Mahathir itu hanyalah salah satu serkap jarang yang sengaja dilontarkan untuk mencipta persepsi buruk terhadap persahabatan Najib dan Raja Salman. Mungkin dia cemburu dengan hubungan baik tersebut berbanding dirinya yang suka bergaduh dulu?

Paling utama yang perlu diketahui bahawa lawatan Raja Salman itu difahamkan adalah atas undangan Yang DiPertuan Agong, Tuanku Sultan Muhammad V. Jadi, kenapa Mahathir cuba cemar lawatan DiRaja itu dengan syak wasangka buruknya?

Mungkinkah itu salah satu petanda ‘busuk hati’ atau ‘buruk sangka’ yang dilarang dalam Islam. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah SAW bersabda dan mafhumnya mengatakan bahawa mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki bersyak wasangka buruk itu akan menyebabkan segala pahalanya hilang bagai api memamah kayu. Banyak sangatkah pahalanya?

Namun itulah ‘dewata raya’ yang menjadi ketaksuban puak-puak parti ‘cap bunga’. Walau pada usia ‘kubur kata mari’, dia masih lagi gemar mengejar dunia dengan permainan politiknya. Kita sama-samalah doakan agar dia sempat bertaubat dan memohon ampun dari mereka yang pernah dia sakiti, zalimi dan ‘cantas’. Semoga masih ada ‘ruang’ untuknya…

One thought on “22 Tahun, Apa Yang Dia Beri Pada Pemimpin Asing Melawat Malaysia?

  • February 26, 2017 at 22:36
    Permalink

    Sering kita dengar dalam kuliah agama bahawa apa yang diucapkan sesaorang dari lidahnya membayang jenis hati nya juga. Bermakna usah sesaorang itu mendakwa bahawa mulutnya saja yang celupar, kasar jahat,… hati dia sebenarnya baik.

    Mulut membayangkan hati. Mulut jahat bermakna hati juga busuk. Tiada orang yang baik hati bermulut jahat. period.

    Reply

Leave a Reply