Penjawat Awam Bukannya Beban

oleh Valter Vadivel

Mengurangkan saiz perkhidmatan awam sememangnya bukan satu idea yang baik bagi kerajaan kerana Plihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka akan diadakan tidak lama lagi. Malahan, ada penganalisis politik yang meramalkan PRU14 mungkin juga diadakan pada separuh akhir tahun ini. Sekiranya kerajaan bertindak mengurangkan saiz sektor perkhidmatan awam disebabkan oleh tekanan sesetengah pihak, maka ia bakal menerima padahnya dalam pilihanraya tersebut. Namun, dipercayai bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan yang kurang bijak seperti itu. Sekurang-kurangnya tidaklah secara mengejut atau dalam masa yang terdekat.

Mengapa sekarang?!

Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, tidak sepatutnya mengemukakan idea yang boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan kakitangan awam. Meskipun idea beliau berbunyi realistik dan bertujuan untuk mengelakkan pembaziran kerajaan ke atas penjawat awam dan pesara kerajaan, mengapakah cadangannya hanya ditujukan kepada kakitangan di peringkat bawahan?! Sebagai seorang bekas pegawai tinggi kerajaan, takkan beliau tidak faham peranan mereka yang besar di perkhidmatan awam?! Sebagai orang penting dalam merangka dasar negara pada ketika itu, beliau sepatutnya telah lama mengemukakan idea untuk menjaga saiz sektor awam supaya ia tidak membesar tanpa kawalan.

Ini menunjukkan beliau bukan seorang pegawai tinggi kerajaan yang berpandangan jauh.

Sebagai bekas anggota pucuk pimpinan kementerian kewangan, beliau sepatutnya mencadangkan penambah baikan produktiviti kaki tangan awam, bukan memberi tekanan kepada pihak kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan mereka dengan kadar segera. Salah ke kalau pengambilan untuk perkhidmatan awam dihadkan daripada memberhentikan mereka yang masih lagi berkhidmat? Selain itu, pegambilan penjawat awam secara kontrak juga boleh mencapai objektif- mengurangkan saiz sektor perkhidmatan awam.

Memerangi penjawat awam korup

Barangkali, bertindak tegas ke atas penjawat awam yang sering melanggar peraturan dan korup juga boleh membantu untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Sebagai mana kita sedia maklum, kakitangan awam yang mengamalkan korupsi sememangnya tidak produktif dan langsung tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Oleh itu, dasar kerajaan untuk memerangi rasuah dengan serius, membolehkan kakitangan kerajaan yang berasuah dikenalpasti dan seterusnya ditamatkan perkhidmatan sekiranya terbukti kesalahan mereka. Tindakan sebegini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan saiz perkhidmatan awam.

Perkhidmatan awam yang besar di Jepun
Seboleh-bolehnya janganlah kita cuba membandingkan saiz perkhidmatan awam negara asing dengan kita. Begitupun, jika kita tengok nisbah penjawat awam kepada populasi di Jepun, iaitu 1:28 orang- memperlihatkan saiz perkhidmatan awamnya juga besar. Namun, negara tersebut merupakan negara maju. Nisbah tersebut tidak jauh berbeza nisbah penjawat awam kepada populasi di Malaysia iaitu, 1:19.37 orang.

Penjawat awam sememangnya produktif
Yang penting, kita harus menghapuskan pandangan sempit kita terhadap kakitangan awam- seolah-olah kesemuanya tidak produktif. Kita harus sedar bahawa mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara seperti orang lain.

Di samping itu, mereka juga berbelanja dan merupakan sebahagian besar daripada pasaran domestik negara. Malah, golongan ini juga mempunyai kuasa membeli yang besar dalam pasaran domestik serta menjadi antara faktor penting kekayaan sebilangan besar industri tempatan termasuk industry pelancongan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga tidak terkecuali daripada pembayaran cukai pendapatan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pada pendapat saya, sektor perkhidmatan awam yang besar tidak membawa sebarang keburukan kepada negara dalam jangka masa panjang sekiranya kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan saiznya secara berfasa serta bertindak tegas ke atas penjawat awam yang korup.

Matlamat ekonomi sedunia

Kita harus ingat bahawa matlamat ekonomi sedunia adalah membahagikan hasil ekonomi daripada sumber terhad sesebuah negara, dengan seadil mungkin dalam kalangan rakyatnya. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan masalah sosio ekonomi yang lain. Namun realiti yang menyedihkan dalam dunia sekarang adalah, jurang yang teramat besar antara yang kaya dan miskin. Menurut kajian Bank Sedunia baru-baru ini, jumlah harta dimiliki sebilangan kecil golongan terkaya di dunia sama dengan jumlah harta golongan miskin sedunia!

Kerajaan yang prihatin idaman rakyat
Sebagaimana kita sedia maklum, mutakhir ini, rakyat kita terpaksa berhadapan dengan pengangguran teknologi yang kian meningkat disebabkan oleh penggantian tenaga manusia dengan jentera moden. Masalah ini ditambah pula dengan kebanjiran buruh asing. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan awam secara ramai-ramai dalam jangka masa yang terdekat disebabkan oleh tekanan pihak-pihak tertentu.

Seeloknya, kerajaan harus mengekalkan saiz perkhidmatan sedia ada dan membuktikan keprihatinannya terhadap rakyat tatkala ia sering dicabar dengan kritikan-kritikan jelik sesetengah pihak mengenai kelemahannya dalam menyumbang kepada rakyat dan integriti.

2 thoughts on “Penjawat Awam Bukannya Beban

  • February 24, 2017 at 10:42 am
    Permalink

    Yang mengujudkan masalah ialah pegawai2 atasan (seperti bekas ksu tu) dengan mengwujudkan banyak jawatan dan kementerian yang saling bertindih tugas. Biasanya carta organisasi berbentuk pirimid lebar dibawah dan mengecil diatas, tapi sekarang dah terbalik, lebar diatas mengecil dibawah. tujuan nya supaya puak2 mereka dapat membahgi-bahgikan jawatan sesama mereka.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *