Hadi Kata “Tiada”, Ibrahim Kata “Masih Berunding”. Siapa Presiden PAS?

Share


Mungkin sudah lumrah di dalam PAS, bahawa Timbalan Presiden memang tidak “sebulu” dengan Presiden parti. Dulu, ketika Mat Sabu di kerusi nombor dua itu, begitulah juga senarionya.

Semalam, Hadi Awang telah membuat kenyataan, bahawa PAS tidak akan sesekali menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dan bertahaluf siyasi dengan DAP dan PAN. Menurut Hadi, isyarat dan pendirian PAS adalah jelas.

Hari ini pula, Timbalan Presiden PAS pula membuat kenyataan, seperti yang dilaporkan di dalam sebuah portal, bahawa PAS akan tetap meneruskan rundingan dalam permuafakatan dengan PPBM pimpinan Mahathir. Silap, pimpinan Muhyiddin Yassin. Alasannya, masih belum ada kata putus tentang keberadaan jawatankuasa rundingan tersebut. Hairan juga jika begitu, sedang Hadi sudah sebulat suara menolak kerjasama tersebut. Mungkin Tuan Ibrahim terlalu sibuk dengan jawatakuasa rundingan, dan tidak tahu akan kenyataan Hadi barangkali.

Walau apa pun, sedar tak sedar, apa yang sedang dilakukan oleh Tuan Ibrahim sebenarnya dilihat menepati pendapat-pendapat politik, bahawa beliau sangat condong kepada istilah “harum manis”, satu istilah khusus yang hanya wujud di dalam PAS, pasca kelahiran PAN. Tentunya tidak salah mempunyai pendapat sendiri, kerana Tuan Ibrahim juga seorang pemimpin di dalam PAS.

Mungkin belum lagi menjadi nombor wahid, tetapi perlu juga diberi bayangan akan apa pendirian beliau. Mana tahu, selepas ini ditakdirkan memimpin PAS, maka sekurang-kurangnya ahlul PAS tahu condongnya ke arah mana halatujunya. Tidak hairanlah jika gerakan-gerakan anti-Hadi dilihat masih rancak di dalam PAS, sedang tentu ada ahlul PAS yang sependapat dengan Tuan Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan Mahathir. Silap, dengan Muhyiddin Yassin.

PAS memang terkenal dengan sikap “U-Turn”nya. Malah, jangan kita terkejut jika menjelang PRU 14 nanti, mereka akan saling berpelukan dan berlaga pipi dengan PPBM, dan menjalinkan kerjasama membentuk Pakatan.

DAP juga yang senang hati, dan tidak perlu “terbulu-bulu” untuk bersalaman dengan PAS. Sudah ada PPBM yang diikat dengan tali tambang, libas sahaja cemeti maka tahulah apa yang perlu PPBM sampaikan kepada PAS.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *