Mengapa Kita Kalah Isu Pulau Batu Puteh Pada 2008

Share

Pada 2 Februari 2017, Peguam Negara, Tan Sri Haji Mohamed Appandi Ali, telah mengemukakan permohonan semakan semula ke atas Kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berikutkan penemuan bukti baharu yang boleh menolak keputusan penghakiman sebelum ini.

Berikut kami siarkan semula rencana lama mengenai punca kekalahan sebelum ini.

Oleh Prof Dr Rahmat Mohamad

PENANTIAN selama hampir 28 tahun akhirnya sampai ke penghujung. Isu yang sudah lama menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungan diplomatik antara dua negara berjiran ini berjaya diselesaikan melalui proses undang-undang antarabangsa.

Semalam, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4.
Batuan Tengah (Middle Rocks) pula diputuskan sah milik Malaysia dengan keputusan majoriti 15:1. Bagi Tubir Selatan (South Ledge), keputusan yang diberikan adalah agak kompleks iaitu kedaulatannya terletak di bawah wilayah di mana ia terletak. Apakah implikasi yang akan dibawa oleh keputusan ICJ ini?


Pada 17 April 2008, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan rakan sejawatnya dari Singapura, George Yeo, bersetuju untuk menerima apa saja keputusan ICJ tanpa menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Persetujuan juga dicapai untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal di antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan langkah yang perlu diambil hasil daripada keputusan itu. Ini kerana keputusan ICJ ini akan menyebabkan beberapa perubahan, termasuk dari segi sempadan perairan, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Ini bukan kali pertama Malaysia berurusan dengan ICJ untuk menyelesaikan isu pertelingkahan kedaulatan wilayah. Tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan di bawa ke ICJ dan pada 2002, ICJ membuat keputusan berpihak kepada Malaysia.


Selain itu, Malaysia juga membawa isu penambakan tanah oleh Singapura ke Tribunal Antarabangsa Undang-Undang Laut (ITLOS). Pada 2003 tribunal itu mengarahkan Singapura untuk berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh memberi kesan kepada kedaulatan wilayah Malaysia dan merosakkan kehidupan marin di kawasan terbabit.

Keputusan kedua-dua prosiding di atas berpihak kepada Malaysia hasil persediaan rapi pasukan undang-undang Malaysia dengan mengemukakan hujah yang bernas, kuat dan meyakinkan.

Persiapan Malaysia untuk kes tuntutan Pulau Batu Puteh bermula sejak hampir 30 tahun dulu. Penyelidikan berhubung kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu mula dilaksanakan ketika persediaan Peta Baru Malaysia 1979.


Kerja penyelidikan dilakukan di Malaysia dan di serata dunia, termasuk beberapa tempat di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perak, Singapura, Indonesia, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Portugal dan Belanda.

Usaha penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti dilakukan berterusan oleh kira-kira 55 pegawai daripada 24 agensi kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Peguam Negara, penyelidik yang dilantik dan pakar dalam bidang tertentu dari tiga institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Khidmat penasihat undang-undang antarabangsa yang terkemuka seperti Sir Datuk Elihu Lauterpacht QC dan Datuk James Crawford dari Universiti Cambridge dan Datuk Nicolaas Jan Schrijver dari Universiti Leiden juga di gunakan.

Ketiga-tiga individu ini juga terbabit dalam prosiding kes negara di ICJ untuk Sipadan dan Ligitan dan juga di ITLOS bagi kes Penambakan Tanah Singapura.

Dalam kes Pulau Batu Puteh, delegasi Malaysia diketuai Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan pasukan undang-undang Malaysia yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mempamerkan komitmen tinggi dan prestasi membanggakan.

Mereka memastikan hujahan kes negara adalah sentiasa teratur dan padat, mudah difahami oleh hakim dan sejauh mana yang mungkin memastikan tiada ruang langsung bagi Singapura untuk menyangkal apa yang dihujahkan oleh Malaysia sepanjang berlangsungnya perbicaraan iaitu daripada 6 hingga 23 November 2007.

Di bawah undang-undang antarabangsa, isu kedaulatan wilayah adalah satu isu kompleks dan membabitkan pemakaian pelbagai prinsip undang-undang. Singapura menyandarkan tuntutan mereka kepada pendudukan secara sah oleh pihak British apabila mereka membina rumah api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh yang di katakan terra nullius (tidak bertuan) sebelum 1847.

Malaysia dikatakan gagal mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan kedaulatan Johor ke atas Pulau Batu Puteh. Kegagalan Malaysia dalam mengemukakan surat meminta kebenaran daripada pihak British kepada kerajaan Johor juga dibangkitkan oleh Singapura dalam hujah mereka.

Singapura juga mengemukakan bukti bagi menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undangnya di Pulau Batu Puteh dan perairan sekitarnya melalui pelbagai aktiviti seperti kawalan akses dan lawatan ke Pulau Batu Puteh.

Sementara itu, Tentera Laut Singapura juga kerap melakukan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Puteh. Singapura juga mendakwa Malaysia tidak menjalankan aktiviti pentadbiran dan undang-undang ke atas Pulau Batu Puteh dan tidak pernah membantah aktiviti pentadbiran dan undang-undang yang dilakukan oleh Singapura.

Singapura membandingkan tindakan Malaysia di Pulau Pisang di mana Singapura diminta menurunkan benderanya di Pulau Pisang, tetapi tidak berbuat demikian di Pulau Batu Puteh. Tegas Singapura ini membawa makna Malaysia tidak pernah mengambil kira Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Mereka juga menegaskan bahawa Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menyatakan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca (bahasa Portugal untuk ‘Batu Puteh), adalah sah memandangkan ia di tulis dalam kapasiti rasminya dan Johor pada ketika itu adalah sebuah negeri yang berdaulat.

Keputusan ICJ mengesahkan Pulau Batu Puteh milik Kerajaan Johor jika dilihat dari aspek sejarahnya dan juga pemakaian undang-undang antarabangsa berdasarkan kepada kes seperti Eastern Greenland dan juga kes Island of Palmas.

Kedaulatan Pulau Batu Puteh pada asalnya terletak pada kerajaan Johor. Di samping itu, ICJ juga mengiktiraf dan mengambil kira peranan orang laut yang menggunakan pulau berkenaan untuk aktiviti ekonomi mereka serta pertalian mereka dengan Sultan Johor. Mereka dilihat sebagai rakyat naungan kerajaan Sultan Johor. ICJ menolak dakwaan Singapura yang mengatakan Pulau Batu Puteh adalah terra nullius (wilayah tidak bertuan).

Bagaimanapun, ICJ mengambil kira dan memberikan fokus utama di dalam penghakiman mereka kepada surat daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor bertarikh 21 September 1953. Surat yang mengatakan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca dilihat oleh ICJ sebagai Johor melepaskan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Puteh kepada kerajaan British. Ini bermakna sejak 1953 Johor sudah kehilangan Pulau Batu Puteh.

Penghakiman ICJ juga menyentuh isu enam peta rasmi diterbitkan Malaysia sekitar 1962 hingga 1974 dengan Pulau Batu Puteh dilabel sebagai milik Singapura. Mengikut ICJ, ini secara langsung memperkukuhkan tuntutan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh kerana Singapura sendiri tidak pernah menerbitkan sebarang peta yang merujuk Pulau Batu Puteh sebagai wilayah Malaysia.

Di samping itu, penghakiman ICJ juga memberi penekanan kepada pelbagai aktiviti yang menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undang Singapura di Pulau Batu Puteh dan ia adalah antara faktor penting mengapa penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu Puteh berpihak kepada Singapura.

Penguatkuasaan Tentera Laut Singapura di kawasan perairan Pulau Batu Puteh dan siasatan yang dijalankan oleh Kerajaan Singapura ke atas insiden kemalangan kapal laut adalah antara aktiviti yang menunjukkan kawalan eksklusif dan juga kedaulatan Singapura ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu Puteh yang berpihak kepada Singapura ini tidak meliputi Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana aktiviti Singapura hanya terhad kepada Pulau Batu Puteh. Status Batuan Tengah kekal mengikut sejarah bersama dengan Kerajaan Johor.

Daripada perspektif undang-undang antarabangsa, penghakiman ICJ adalah muktamad dan mengikat kedua-dua Malaysia dan Singapura. Malaysia perlulah akur dengan keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura selaras dengan Perjanjian Khas ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh Menteri Luar masing-masing dan juga Artikel 60 Statut ICJ.

Keperluan Malaysia menghormati penghakiman ICJ juga dituntut oleh Artikel 94 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kegagalan Malaysia untuk akur kepada keputusan ICJ akan membolehkan Singapura membawa perkara ini ke Majlis Keselamatan PBB untuk tindakan selajutnya.

Bagaimanapun, menurut Artikel 61 Statut ICJ jika berlaku penemuan fakta yang boleh menjadi faktor penentu, ketika penghakiman dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah, permohonan untuk semakan semula kes itu boleh dilakukan.

Syarat untuk mengguna pakai Artikel 61 ini adalah ketidaktahuan fakta itu tidak berpunca daripada kecuaian dan ia tidak diketahui oleh pihak yang memohon semakan semula itu. Permohonan ini juga perlulah dibuat dalam masa enam bulan daripada penemuan fakta baru itu dan dalam tempoh 10 tahun mulai tarikh penghakiman.

Walau apa juga keputusan ICJ, perlulah diingati bahawa ia berdasarkan lunas undang-undang antarabangsa yang dipersetujui kedua belah pihak. Ia adalah satu contoh yang baik bagaimana pertelingkahan antara dua negara boleh diselesaikan secara aman melalui proses perundangan apabila segala usaha untuk menyelesaikan isu ini melalui rundingan gagal dan buntu.

Rakyat amnya dan Kerajaan Malaysia khususnya perlu menerima keputusan ini dengan positif dan mengambil iktibar daripada pengalaman tuntutan Pulau Batu Puteh ini supaya kedaulatan wilayah negara terus terpelihara.

Prof Dr Rahmat Mohamad ialah Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara
Artikel ini pertama kali diterbitkan pada 2008 oleh Jabatan Penerangan Malaysia

2 thoughts on “Mengapa Kita Kalah Isu Pulau Batu Puteh Pada 2008

  • February 11, 2017 at 13:55
    Permalink

    jawapan mudah je Tan Sri Abdul Gani Patail tak teliti dokumen berada england menjadi punca kekalahan kita, kita gagal kesan dokumen peting berada england,

    1)kita mesti hantar orang ke kajian dokuemen syarikat bertish india
    2)SIAPA pemah menjadi residen enggris dapat balik dokumen mereka dapat balik dokumen penting berada england itu
    3)kajian siapa penah jadi genderal tentera laut british di tanah melayu

    Reply

Leave a Reply