Ahli Parlimen Pembangkang Di Kedah ‘Merengek’ Minta Peruntukan?

Share

Baru-baru ini puak pembangkang di Kedah mempersoal kenyataan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tentang peruntukan untuk parlimen yang dianggar berjumlah RM30 juta untuk setiap penggal.

Mungkin mendengar perkataan ‘peruntukan’, gelodak jiwa mahu kaya cepat terus menyirap naik ke kepala mereka apatah lagi disebut pula jumlahnya mencecah RM30 juta. Maka bisinglah mereka mendakwa kononnya Kerajaan BN tidak adil dalam mengagihkan “wang rakyat”.

Tersengih-sengih penulis mendapat khabar mengenai perangai puak pembangkang di sana. Bagai setiap nafas mereka menanam kebencian hati rakyat terhadap BN, dengar saja bab duit, terus melatah meminta-minta peruntukan yang berpuluh juta.


Jika diminta dengan cara yang baik, mungkin juga dapat dipertimbangkan 2 – 3 kali. Tapi cara mintanya pun mengutuk dan mengecam, dari 2 – 3 kali, terus rasa macam langsung tidak wajar diberi. Macam budak-budak mengamuk tak dapat mainan pun ada, kan?

Tapi itulah pembangkang di sana, bagai tidak tahu tugas dan tanggungjawab. Mungkin mereka tidak tahu maksud perkataan ‘usaha’ dan ‘diplomasi’. Yang ada dalam kamus hidup dan kepala otak mereka hanyalah ‘hentam’ dan ‘maki’? Tidak ada perkataan lain?

Seharusnya mereka perlu sedar diri bahawa mereka itu berstatus pembangkang dan lawannya kerajaan. Takkanlah mudah-mudah saja hendak dihulur kepada ‘musuh’ tanpa sebarang diplomasi? Hentam sehabis-habisnya, lepas itu ‘tadah tangan’ meminta-minta? Mana maruah pembangkang di Kedah?


Sepatutnya, pembangkang bersikap matang dan hanya berpolitik bila tiba musim pilihan raya. Bila berada di luar musim pilihan raya, maka mereka sepatutnya menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan demi kepentingan rakyat yang mereka wakili.

Kenapa? Kerana Kerajaan memiliki peruntukan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat yang mereka wakili. Mempunyai hubungan yang tidak baik dengan kerajaan hanya akan merugikan rakyat di kawasan mereka kerana sukar untuk mendapat peruntukan tersebut.

Ketika BN menjadi pembangkang di Kedah, selama 5 tahun wakil-wakil rakyat BN itu berhempas-pulas mencari peruntukan. Naik turun lif di kementerian-kementerian di Putrajaya, ke hulu ke hilir berusaha mencari dana untuk pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan mereka. Itu namanya ‘bertanggungjawab’.


Jika pemimpin BN mampu buat begitu, mengapa pembangkang tidak boleh buat perkara yang sama? Kerana Kerajaan Pusat adalah BN dan ‘musuh politik’? Siapa yang mencetus permusuhan sebenarnya dengan berpolitik 24 jam 365 hari setahun tanpa henti menghasut rakyat membenci kerajaan?

Kenapa dulu Allahyarham Tan Sri Azizan Razak mampu mendapatkan peruntukan dari Kerajaan Pusat? Masih ingat insiden banjir besar di Kedah? Kerana hubungan baik arwah Azizan dengan insan yang bernama Datuk Seri Najib Tun Razak, dikerah segenap jabatan dan agensi berkampung di Kedah membantu rakyat di sana. Lupa?

Seperkara lagi, siapa kata peruntukan jutaan ringgit itu tidak sampai kepada rakyat? Sebenarnya peruntukan itu sampai terus kepada rakyat, malah ada yang dapat lebih dari RM30 juta sepenggal. Cuma ia tidak disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang saja.

Peruntukan untuk rakyat itu disalurkan terus kepada rakyat menerusi pelbagai agensi kerajaan yang bekerjasama rapat dengan penyelaras Parlimen dan Dun yang dilantik kerajaan memerintah di kawasan pembangkang. Rakyat dapat, cuma tidak melalui pembangkang saja.

Sebenarnya, itu adalah amalan yang normal dan menjadi kebiasaan. Pemimpin politik pembangkang yang lama tahu dan akur tentang amalan itu. Yang bising hanyalah pemimpin politik mentah yang masih setahun jagung menjadi wakil rakyat saja.

Pesan penulis, lain kali jagalah hubungan baik dengan pihak kerajaan meskipun mereka merupakan musuh politik kepartian. Berbuat baik dengan kerajaan di luar musim pilihan raya tidak merugikan, malah memudahkan untuk mendapatkan bantuan dari mereka.

Tapi, kalau mahu teruskan juga perangai buruk dan tidak dapat membuang tabiat buruk itu, maka terimalah seadanya. Dia yang tak betul, tapi tidak malu untuk mengata orang lain tidak betul. Ini bukan ketam lagi, malah lebih teruk dari ketam rasanya…

Leave a Reply