PKR, DAP punca Pakatan Rakyat pecah bukan PAS : Khairuddin

Share

Oleh NUR ASLINDA NASIR

31 JAN : Perpecahan Pakatan Rakyat adalah berpunca daripada DAP dan PKR namun kedua-dua parti itu cuba meletakkan salah kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menutup kesalahan mereka.

Menurut Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali tuduhan DAP mengatakan Presiden PAS tidak mengikut prinsip konsensus adalah sebenarnya Lim Kit Siang sendiri yang tidak memahami konsep konsensus dan konsep majoriti.


Mengulas lanjut ia bermula sewaktu Hadi menentang usaha menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor melalui tuduhan tanpa bukti, bukan bermakna beliau menentang prinsip PR.

Tetapi jelas Khairuddin, Pakatan Rakyat memilih kaedah konsensus, bukan kaedah majoriti dimana hanya agenda yang dipersetujui secara konsensus boleh dilaksanakan sebagai agenda PR.

“Dia keliru antara prinsip majoriti dan prinsip konsensus.


Konsensus ialah persetujuan sebulat suara. Semua pihak perlu bersetuju, tidak ada satu pun yang tidak bersetuju, barulah dinamakan keputusan secara konsensus.

“Majoriti ialah kaedah dimana keputusan yang dipersetujui majoriti ahli diterima pakai. Minoriti pula mesti patuh sebagai keputusan kolektif.

“Tak timbul soal ianya bukan keputusannya. Semua kena menerima.


“Jika ada mana-mana ahli tiga parti dalam PR tidak bersetuju, walaupun semua yang lain bersetuju, maka ianya tidak konsensus.

“Justeru, tidak boleh menjadi agenda bersama PR,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairuddin, konsensus tidak menghalang mana-mana pihak untuk berlainan pandangan dan ia juga tidak memaksa mana-mana pihak mesti bersetuju dengan pandangan majoriti.

Namun apabila PAS tidak bersetuju dengan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar oleh PKR dan DAP, itu juga bukan menentang konsensus.

Katanya, ia adalah hak ahli dalam prinsip konsensus.

“Tidak ada paksaan untuk mengikuti keputusan majoriti. Akhirnya DAP dan PKR terpaksa memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana mengingkari arahan Baginda untuk menghantar sekurang-kurangnya dua nama, bukan hanya satu nama.

“Kedua-dua kes tersebut akhirnya membuktikan sikap Tuan Guru Presiden PAS adalah tepat. Akhirnya terbukti DAP dan PKR gopoh dan cuai dalam mengambil tindakan mereka sehingga terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.

“Jelas, sudah terang lagi bersuluh, dalam PR, mana-mana parti daripada tiga parti tersebut boleh berbeza pandangan. Bila ada perbezaan pandangan, maka konsensus tidak dicapai dan tidak boleh dijadikan agenda bersama PR,” tambahnya.

Bila Konsensus tidak dicapai, Khairuddin menjelaskan sepatutnya DAP dan PKR tidak meneruskan agenda menjatuhkan Khalid dan juga tidak mencalonkan hanya satu nama sebagai Menteri Besar Selangor.

Tapi malangnya mereka melanggar prinsip konsensus tersebut.

“Mereka teruskan walaupun Konsensus tidak dicapai. Sikap tidak mematuhi perjanjian inilah sebenarnya yang membawa kepada perpecahan PR. Selamanya mereka akan melanggar perjanjian.

“Sekarang, cerita lama tersebut diulang kembali. Dengan harapan orang ramai tidak cukup cerdik memahami permainan politik kotor mereka.

“Kit Siang tak memahami perbezaan antara konsensus dengan majoriti, atau sengaja cuba menegakkan benang basah? Mencipta alasan karut, kerana marah beliau kepada Presiden PAS? “soalnya.

Sumber: https://www.bnbbc.my/
BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

Leave a Reply