PAS PERLU ELAK POLITIK DUA ALAM

Share

ZULKIFLEE BAKAR

DAP tidak lagi perlu tunjuk baik atau bersikap flip flop dalam soal hubungan politiknya dengan Pas kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menutup pintu untuk berbaik semula dengan parti di bawah kepemimpinan dua beranak iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.


Pas tidak boleh terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat parti-parti dua beranak (PKR dan PPBM) kerana hakikatnya mereka berada di bawah telunjuk DAP.

Dengan mengetepikan segala sentimen atau keghairahan parti-parti pembangkang yang mahu mewujudkan pertandingan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Abdul Hadi menegaskan, keputusan itu dibuat kerana DAP menentang Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dan gagal menangani masalah rakyat sejak memerintah Pulau Pinang.

Tetapi sebenarnya, apa yang dinyatakan oleh Abdul Hadi boleh dianggap untuk memperkukuhkan hujah sahaja bagi menolak kerjasama dengan DAP kerana sejak Pas membuat keputusan meninggalkan pakatan pembangkang, semua orang tahu segala-galanya disebabkan oleh layanan DAP terhadap parti itu.

DAP melayan Pas bagaikan parti tidak bermaruah. Segala dasar Pas berkaitan Islam ditentang termasuklah RUU 355. Tindakan DAP disokong pula oleh PAN iaitu parti serpihan Pas yang sedang mencari nyawa politik untuk terus dilihat relevan dalam persada politik tanah air. Begitu juga PKR yang dilihat menyebelahi DAP berbanding Pas.

Oleh itu Pas tidak mahu terperangkap lagi dengan mainan politik DAP. Justeru Abdul Hadi menolak sebarang kerjasama dengan DAP. Tetapi persoalannya bagaimana dengan sebuah parti lagi yang turut dikuasai oleh dua beranak, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Parti itu yang Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Pengerusinya manakala anak beliau, Datuk Seri Mukhriz merupakan Timbalan Presiden dilihat tidak konsisten dalam usaha memujuk Pas untuk bersama pembangkang.

Dr. Mahathir yang dianggap orang lebih berkuasa daripada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak konsisten dalam soal mahu menjalin hubungan dengan Pas. Satu ketika beliau berkata, PPBM dan pembangkang bersedia menghadapi PRU-14 tanpa Pas, tetapi kemudian berharap pula Pas menyertai pembangkang.

Mengikut rentak

Sebelum itu beliau begitu yakin pembangkang yang diketuai oleh DAP akan mampu menumbangkan BN dan Pas. Bagaimanapun kenyataan Dr. Mahathir dikatakan tidak disenangi oleh beberapa pemimpin kanan pembangkang.

PKR yang turut dikuasai oleh dua beranak iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden manakala anaknya Nurul Izzah Anwar menjadi Naib Presiden dilihat tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Mahathir.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang sejak kebelakangan ini dilihat ‘sentiasa bersama’ Dr. Mahathir menyindir Pas apabila menegaskan kerjasama politik antara pembangkang akan gagal jika pemimpin-pemimpinnya bersikap kuku besi.

Kenyataan Azmin dipercayai merujuk pendirian Abdul Hadi yang menegaskan, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan kerjasama politik dengan Pas supaya mengikut rentak parti tersebut.

Namun begitu penulis yakin walaupun Pas sudah membuat keputusan menolak kerjasama dengan DAP, dua lagi parti yang dikuasai oleh dua beranak iaitu PKR dan PPBM akan terus memujuk Pas.

Wan Ismail dan Nurul Izzah amat memahami kekuatan yang ada kepada Pas manakala di pihak PPBM, Muhyiddin yang lebih banyak dilihat sekadar ‘pelengkap organisasi’ sebagai Presiden berikutan segala tindak-tanduk PPBM ditentukan oleh Dr. Mahathir sedang berusaha meyakinkan Pas untuk bersama pembangkang.

Namun, apakah bentuk kerjasama tersebut? Dan paling penting adakah ia akan menguntungkan Pas? Parti pimpinan Abdul Hadi itu sudah tentu memahami walaupun mereka tidak bekerjasama dengan DAP dan PAN namun kedua-dua parti berada dalam pakatan pembangkang.

Selain itu satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa juga, DAP adalah ‘taiko besar’ yang mengetuai pembangkang. Parti-parti lain termasuklah PPBM biarpun dipimpin oleh seorang individu yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tetapi beliau tidak ada kuasa. Kalau mahu mengharapkan Muhyiddin bagi memastikan Pas tidak dipinggirkan, ia boleh dianggap mimpi di siang hari. Muhyiddin tidak akan berani membantah keputusan politik Mahathir dan Mukhriz.

Mahathir pula mahu bercakap banyak pun PPBM bukannya mempunyai kekuatan yang maha hebat, kerusi yang dikuasai parti itu sekarang milik UMNO. Begitu juga PKR yang sejak dulu, kini dan selamanya tidak mungkin akan memisahkan sentimen politik dengan DAP manakala PAN bak kata orang Kedah ‘tumpang tui’ sahaja.

Oleh itu Pas perlu faham mereka tidak boleh mengamalkan politik dua alam seperti mana yang berlaku sekarang. Sebelah kaki tidak bekerjasama dengan DAP, manakala sebelah kaki bersama parti itu memerintah Selangor.

Pas hanya mempunyai dua pilihan sahaja sama ada bersama pembangkang atau berjuang bersendirian menentang BN. Jika tidak mereka akan dilihat tidak mempunyai pendirian politik kerana tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan PAN tetapi berada dalam satu pasukan dengan PKR dan PPBM.

Pas tidak boleh terpengaruh dengan sebarang janji oleh parti-parti dua beranak (PKR dan PPBM) kerana mereka pasti akan berada di bawah telunjuk DAP.

Walaupun DAP sudah menegaskan tidak bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun dalam politik pembangkang sudah terbukti bukan soal siapa yang pegang jawatan tetapi siapa ada kuasa, dan ia terbukti di Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008 dahulu.

http://www.utusan.com.my/rencana/pas-perlu-elak-politik-dua-alam-1.437635

Leave a Reply