PAS Wajar Kali Semula Hubungan Dengan PKR

Share

Kadang kala, penulis rasa pelik dengan pendirian PAS yang berkali-kali menyatakan keengganan mereka untuk menjalin kerjasama dengan DAP dan PAN. Sedangkan, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mat Sabu tidak pernah didapati bersalah dalam suatu pertuduhan yang membabitkan isu moral yang besar.

Mungkin para pemimpin utama DAP dan PAN itu pernah didakwa di mahkamah. Misalnya Mat Sabu pernah dituduh atas dakwaan khalwat. Tapi dia tidak pula didapati bersalah dalam kes tersebut. Jadi mungkin hanya kerana bergaduh soal politik, maka PAS berpatah arang dengan mereka?

Ia adalah jauh berbeza dengan PKR. Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim misalnya, dia pernah didapati bersalah atas dakwaan salah guna kuasa dan merengkok di dalam penjara sebelum dilepaskan Pak Lah dulu. Di zaman siapa? Mahathir, bukan?

Ketika itu, Anwar dipecat dari semua jawatan kerajaan dan parti. Mahathir memberi alasan dia dipecat kerana salahguna kuasa tersebut dan Anwar dikatakan tidak bermoral. Cuma ‘tidak bermoral’ Anwar ketika itu tidak dapat disahkan kerana kes dibuang, namun mahkamah sempat mengesahkan wujudnya aktiviti seks luar tabii, bukan?

Dari sudut politik pula, apa yang tidak pernah diherdik Anwar ketika menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dulu? PAS teruk dihentam Anwar sama ada di dalam atau diluar parlimen. Malah bertambah teruk bila tiba musim pilihan raya.

Hinaan dan hentaman Anwar terhadap PAS dulu memang menusuk hati, ‘makan dalam’ kata orang. Ramai juga pemimpin PAS yang terkedu bila hujah mereka dimatikan Anwar begitu saja, sekaligus memalukan mereka di depan rakyat. PAS ingat semua itu?

Anwar juga kini disahkan mahkamah sebagai penjenayah. Jika dia dilabel sebagai penjenayah kerana curi ayam ketua kampung, mungkin ia boleh dianggap kecil. Tapi penjenayah ini adalah jenis yang memalukan kerana ia melibatkan seks luar tabii yang pernah diamalkan oleh kaum nabi Luth A.S dulu.

Selama hampir 7 tahun dia berentap dengan Saiful Bukhari di mahkamah. Dari mahkamah yang rendah, hinggalah ke mahkamah yang paling tinggi. Berkali-kali MC dan berkali-kali juga ditangguh sehingga ramai yang bosan dan ‘geli’ mendengar kesnya.

Akhirnya dia didapati bersalah. Sama ada adil atau tidak, Anwar diberika kebebasan penuh untuk membelas diri, termasuk menggunakan khidmat pakar-pakar dalam dan luar negara. Kecoh satu dunia mendengar dia dibicarakan. Jadi, maka sahlah Anwar melakukan jenayah liwat, bukan? Lainlah jika PAS mahu ‘menghina mahkamah’…

Ketika bergaduh dengan DAP sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat dikuburkan, ada PKR membela PAS? PKR menyebelahi siapa ketika itu dan kini? Siapa lebih akrab dan diutamakan PKR? DAP atau PAS? Ada PKR umum partinya menyertai Gagasan Sejahtera? Cuba fikir…

Jadi yang menghairankan, kenapa PAS tetap juga bekerjasama dengan PKR? ‘Mantera’ apa yang Anwar ‘tiup’ sehingga PAS meneruskan kerjasama dengan PKR? Tambahan pula parti itu bersekongkol dengan DAP dan PAN, di mana rasa hormat mereka pada PAS?

Lagipun, tidakkah PAS tahu bahawa PKR Kedah baru-baru ini mengatakan bahawa PAS akan ‘menderita’ di negeri itu jika berlaku pertembungan 3 penjuru pada pilihan raya nanti? Kerjasama ‘menderita’ begitu yang PAS simpan?

Kerana itulah penulis agak pelik dengan PAS. Mengapa mereka masih bersama parti ‘sesumpah’ itu sedangkan ia tidak relevan sekali untuk diteruskan jika dirujuk pada konsep ‘politik matang dan sejahtera’. Rasanya PAS perlu kaji semula…

Leave a Reply