Masalah Ahli Dan Penyokong Yang Mungkin Akan Merosakkan PAS…

Share

Sememangnya PAS kini menjadi perhatian ramai apabila mereka terus bertegas enggan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan sebagaimana parti ‘Bunga Raya’. Pendirian itu jelas sedikit-sebanyak membezakan taraf dan maruah antara PAS dan ‘Bunga Raya’ di mata kita.

Dalam penelitian penulis tentang pendirian dan perubahan PAS yang terbaru ini, ia menunjukkan sejauh mana tahap serius PAS untuk kembali ke landasan sebenar parti itu, iaitu mencari keredhaan Allah melalui setiap tindakan politik mereka.

Maksudnya, PAS tidak kisah sekiranya kalah di semua kerusi sekalipun asalkan mereka mendapat redha Allah. Dalam kata mudah, tidak diangkat menjadi kerajaan pun tidak mengapa asalkan Allah redha atas tindakan yang mereka buat.

Pada pandangan penulis, konsep seperti ini sememangnya difahami oleh para pemimpin parti itu yang mempunyai fahaman agama yang tinggi dan kuat pendiriannya. Bagi mereka, politik hanyalah bersifat perjuangan duniawi bagi mendapat redha Allah di akhirat.

Namun begitu, pemahaman seperti itu hanya difahami oleh golongan ulama sahaja. Manakala ahli-ahli dan para penyokong PAS yang sebelum ini hanya ikut-ikutan atau ‘taqlid’ perjuangan mereka, akal dan kefahamannya tidak sampai ke tahap itu.

Bagi mereka, jika mahu berpolitik, maka PAS perlu menang pilihan raya dan jadi kerajaan. Pada golongan ini, mereka beranggapan bahawa PAS boleh lakukan apa saja termasuk menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal bagi memenuhi matlamat politik parti.

Pada penulis, itulah yang menjadi masalah yang membarah di dalam PAS sejak sekian lama. Doktrin seperti itu sudah lama berakar umbi di dalam ahli dan pengikut PAS jenis tersebut, tanpa mendapat sebarang pencerahan yang menyakinkan mereka.

Pada pengamatan penulis, penyokong PAS yang bersifat seperti itu rata-ratanya golongan muda dan kurang pendidikan agama. Mereka-mereka inilah yang paling mudah dipengaruhi ‘geng Mat Sabu’ dahulu. Cuma mereka tidak tergamak sahaja meninggalkan PAS…

Pada hemat penulis, semua ini berlaku kerana kurangnya perhatian pucuk pimpinan PAS terhadap kepentingan program-program PAS yang lama. Program tamrin, tasykil, tarbiyah dan seumpamanya sudah lama terpinggir dan tidak lagi dijalankan PAS.

Sekiranya diadakan program seumpama itupun, ramai yang enggan menyertainya kerana ia dilihat ‘kolot’ dan tidak menarik. Jika ada yang sertainya pun, modul program yang dijalankan khabarnya kurang memberikan kesan mendalam seperti yang pernah dibuat dulu.

Hal sebeginilah yang akan menimbulkan masalah pada PAS sekiranya membuat suatu keputusan. Sebagai contoh, jika PAS memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan ‘bunga raya’, maka golongan ini akan melihat PAS sebagai bertindak ‘bodoh’ dan sebagainya.

Dan mungkin juga ada yang akan meninggalkan PAS atau tidak memberikan undi lagi pada PAS pada PRU yang akan datang jika parti itu tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Mungkin bagi mereka, jika ‘bunga raya’ bekerjasama dengan Pakatan Harapan, maka tidak salah untuk PAS berbuat perkara yang sama.

Pada penulis, PAS perlu memberi perhatian terhadap soal ini. Bukanlah mahu menjaga tepi ‘kain jubah’ PAS. Tapi penulis mempunyai ramai keluarga dan rakan yang merupakan ahli dan penyokong PAS tulen. Mereka inilah yang menyuarakan pandangan sesekali penulis pulang ke kampung halaman.

Bukan apa. Malulah PAS jika kalah kepada parti-parti baru seperti ‘bunga raya’ dan PAN. Sedangkan Presiden PAS baru-baru ini ada mengatakan bahawa PAS merupakan parti ‘otai’, bukankah memalukan jika prestasinya nanti lebih corot dari ‘newbies’, bukan?

(Visited 18 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!