Tips Untuk Pakatan Harapan Berjaya ‘Pancing’ PAS…

Share

Berdasarkan pengamatan penulis, parti-parti pembangkang nampaknya bagai kurang senang melihat kemesraan yang terjalin di antara UMNO dan PAS sejak akhir-akhir ini. Pantang dilihat UMNO dan PAS bersama, ada saja yang mereka hendak kutukkan.

Mereka seolah-olah takut sangat kalau-kalau rakyat melihat PAS menjalin kerjasama dengan UMNO. Mungkin mereka takut melihat kekalahan besar mereka ketika PAS menyertai Barisan Nasional (BN) suatu masa dahulu?

Jika UMNO dan PAS dilihat bekerjasama tentang sesuatu isu, maka mulalah mereka menjadi ‘batu api’, cuba sedaya upaya memisahkan kerjasama yang terjalin. Kalau boleh, mereka mahu PAS maki UMNO dan UMNO hentam PAS.


Tidakkah mereka sedar bahawa PAS kini telah berubah kepada politik matang dan sejahtera. Maksudnya, mereka menyokong yang benar dan membantah sesuatu yang dilihat tidak menguntungkan perjuangan mereka mencari redha Allah. Faham?

Sebagai contoh, dalam isu membantah kezaliman rejim Myanmar terhadap umat Islam Rohingya, PAS menyokong Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Salah di mana tindakan PAS dan UMNO itu?

Pada pandangan penulis, mereka terlalu ‘buta’ untuk menilai. Ekoran PAS kini cuba menjadi pembangkang yang sihat dan lebih ‘celik’ melihat kebaikan UMNO yang mengemudi kerajaan BN, maka mereka menilai adalah tidak salah untuk menyokong sesuatu yang baik.


Namun, sekiranya Perdana Menteri melakukan sesuatu yang terbukti zalim dalam penilaian mereka, maka tidak mustahil jika mereka menyerang Presiden UMNO sehingga terbit gelaran ‘Maha-Zalim’, ‘Maha-Firaun’ dan ‘Diktator’ bagai di zaman salah seorang bekas Perdana Menteri dulu.

PAS mungkin kini sudah sedar bahawa kepimpinan sesebuah kerajaan itu adalah bergantung kepada pemimpin yang menerajui BN. Jika dulu BN diterajui seorang yang zalim, maka mereka menentang. Dan bila BN diterajui oleh seorang yang baik, maka mereka sokong. Salahkah?

Apatah lagi isu-isu yang membabitkan kerjasama UMNO dan PAS itu dilihat menguntungkan Islam dan bangsa Melayu di negara ini, maka lebih gelisahlah mereka dibuatnya. Bagai ‘syaitan’ kepanasan mendengar laungan azan, mereka bertali arus menjadi ‘batu api’.


Penulis yakin mereka sedang ‘memancing’ PAS. Jika boleh, mereka mahu PAS bersama Pakatan Harapan. Seboleh-bolehnya mereka mahu janjikan ‘bulan dan bintang’ pada PAS sebelum dijadikan ‘keldai tunggangan’ pada PRU ke-14 nanti.

Namun mereka juga perlu sedar bahawa PAS sekarang menilai mereka sedang berada dipihak yang batil. Dalam ertikata lain, mungkin PAS melihat bahawa mereka tidak akan mendapat redha Allah jika bersama Pakatan Harapan dan ‘bunga raya’. Nasiblah!

Pada penulis, amat mudah untuk pembangkang mendapatkan kerjasama PAS. Caranya, ikut saja semua kehendak PAS dan jadikan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai Ketua Pembangkang. Kemudian, semua dasar Pakatan Harapan dan ‘bunga raya’ dimansuhkan, ikut cara PAS.

Jadikan PAS ketua Pakatan Harapan. DAP, ‘bunga raya’, PAN dan PKR semua tunduk dan tunjuk taat setia pada Presiden PAS. Itu saja caranya untuk menarik PAS bersama.

Kenapa? Kenapa sejarah PAS menyaksikan parti itu sudah puas menjadi ‘balaci’ DAP dan PKR sebelum ini. Apatah lagi dengan perlakuan PAN terhadap mereka sebelum ini, serik mereka berada di tahap yang tertinggi. Pastinya, pisang tidak akan berbuah dua kali. Faham?

Leave a Reply