PAS Tetap Berpeluk Dengan DAP Di Kedah?

Share

Sedang bergegak gempita seluruh negara menyaksikan pergaduhan besar di antara PAS dengan Pakatan Harapan menyaksikan para pemimpin parti-parti itu bertikam lidah di media, namun lain pula yang berlaku di negeri Kedah.

Semalam, dilaporkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar begitu mesra mendampingi Adun Derga, Tan Kok Yew dalam satu aktiviti ‘beli jiwa’ mengedarkan buah limau di Dewan Undangan Derga bersempena Tahun Baru Cina.

Untuk rekod, Mahfuz sudah berpuluh tahun bersama PAS dan dia sebelum ini merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah dan bekas Ketua Penerangan PAS Pusat. Manakala Kok Yew pula selain Adun Derga, dia juga merupakan Pengerusi DAP Kedah.

Penulis tidak pasti sekarang ini sama ada Mahfuz masih bersama PAS atau tidak. Dari gerak-geri dan tingkah langkah politiknya seolah-olah menandakan dia sudah langsung tidak punya hati untuk terus berada di dalam jemaah PAS.

Sensitifkah Mahfuz tentang apa yang Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin katakan bahawa PAS sudah berpatah arang dengan DAP? Mahfuz faham tentang sentimen itu?

Penulis faham bahawa Mahfuz dikatakan tidak sehaluan dengan Abdul Hadi dan kepimpinan PAS. Namun apakah kerana ketidakpuasan hati itu dia tidak tahu untuk menjaga air muka PAS? Tidakkah dia hormat pada institusi Presiden dan Mursyidul Am parti sendiri?

Dalam konsep berjemaah, misalnya dalam solat, seorang makmum itu perlu mengikut segala gerak Imam. Namun apa yang Mahfuz buat itu seolah-olah imam sedang iktidal, tapi dia sedang khusyuq duduk membaca tahayat akhir!

Pada pandangan penulis, Mahfuz sebenarnya langsung tidak hormat pada Presiden, Mursyidul Am, kepimpinan parti dan konsep hidup berjemaah di dalam PAS. ‘Ruh’ PAS di dalam dirinya seolah-olah hilang dan hanya palsu selama ini.

Mungkin benar bahawa apa yang dilakukan Mahfuz itu tidak salah dari sudut syarak. Apa salahnya seorang pemimpin menyantuni hari perayaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini, bukan? Tidak salah jika sekali pandang…

Namun dari sudut semangat parti, jelas sekali ia bertentangan. Tahukah Mahfuz tentang ertikata ‘berpatah arang’ dan tidak akan sesekali menjalin kerjasama dengan DAP selagi parti itu tidak tunduk pada konsep Islam dan mendaulatkan syiar Islam di negara ini?

Apa yang Mahfuz kejar sebenarnya? Kuasa politik atau redha Allah? Lebih mengagungkan hubungan dengan DAP berbanding PAS? Lebih rela menyusukan kera yang menggigit dan memporak-perandakan rumah sendiri berbanding susukan anak kandung yang kelaparan?

PAS sewajarnya sudah lama memecat Mahfuz dari parti. Namun entah kenapa dia tidak dipecat. Mungkin kerana PAS sayang sangat pada Mahfuz atau sayang sangat pada Parlimen Pokok Sena yang merupakan milik PAS?

Apalah sangat harga sebuah Parlimen itu bagi sebuah parti yang bukan membentuk kerajaan berbanding maruah diri dan perjuangan parti di mata rakyat, bukan? Analoginya, ia ibarat kad pengenalan individu itu menunjukkan Islam, tapi gaya hidupnya setaraf yahudi nasrani. Masih mahu kata dia Islam juga?

Pada hemat penulis, Mahfuz tidak akan mengisyitiharkan diri keluar dari PAS kerana terikat dengan bai’ah. Cuma PAS sahaja yang berhak memecat Mahfuz atas tindakan dan kenyataan-kenyataannya sebelum ini yang bertentangan dengan inspirasi jemaah sebelum ini. Berani?

Leave a Reply