Mahukah PAS Terima ‘Pinangan’ Kit Siang?

Share

Sebenarnya penulis cukup terkejut dengan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang dilaporkan media menghulurkan ‘salam pendamaian’ kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Kata Kit Siang, ‘salam pendamaian’ itu bukan ‘pura-pura’, sekaligus menunjukkan dia kononnya ‘ikhlas’ cuba berdamai dengan PAS. Tidak tahulah sejauh mana ‘keikhlasan’ yang dimaksudkan bapa Lim Guan Eng itu.

Penulis tidak tahu sama ada Kit Siang tahu atau tidak maksud ‘pura-pura’. Namun pada penulis, ‘pura-pura’ juga boleh diistilahkan sebagai kateogei ‘lakonan’. Apakah benar Kit Siang tidak beraksi dalam ‘lakonan wayang opera’ politiknya?


Pada hemat penulis, sekiranya Kit Siang mahu berdamai dengan PAS, sewajarnya dia terlebih dahulu menyusun sepuluh jari, memohon maaf kepada PAS, khususnya Abdul Hadi, kerana rekodnya DAP sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan beliau.

Seterusnya, DAP bertali-arus tanpa rasa bersalah mengutuk kepimpinan PAS dengan pelbagai gelaran dan tuduhan yang keji. Penulis yakin bahawa bukan hanya penulis saja yang ingat, malah ramai penyokong parti itu yang meluap-luap menahan marah atas hinaan DAP itu.

Penulis juga yakin bahawa DAP ingat tentang bagaimana PAS berpecah teruk gara-gara parti ‘chauvinis ultra kiasu’ itu menyebelahi Mat Sabu dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS. Rasanya penyokong PAS juga tidak lupa tentang itu.


Bagaimana pula dengan dasar PAS seperti ‘kerajaan Islam’ yang ditukar menjadi ‘kerajaan kebajikan’ dan penghapusan hukum hudud yang terpaksa PAS ‘gadai’ di ‘pajak gantung’ ketika bersama dengan DAP dulu? Siapa paksa PAS buat demikian? UMNO? BN?

Dan kini, Kit Siang mahu berdamai begitu saja? Hanya dengan menyatakan ‘salam pendamaian’ di portal pro-pembangkang? Apakah dia benar-benar ikhlas dalam agenda mahu ‘berdamai’ dengan PAS itu? ‘Molek’ sekali caranya?

Pada pandangan penulis, tindakan Kit Siang itu menandakan dia amat terdesak untuk mendapatkan ‘khidmat’ PAS. Mungkinkah kini dia baru sedar bahawa ‘tunggangan barunya’ tidak sama seperti PAS yang ‘ditunggangnya’ dahulu?


Apakah dia fikir PAS tidak ada maruah? Hanya dengan hulurkan ‘salam pendamaian’, maka PAS akan tunduk dan kembali ke dalam ‘dakapannya’ dan kemudian boleh ‘ditunggang’ sesuka hatinya seperti sebelum ini?

Penulis tidak pasti sama ada maruah PAS serendah itu. Penulis tidak tahu sama ada PAS benar-benar istiqamah dan serik untuk dijadikan ‘haiwan tunggangan’ DAP seperti dulu. Apakah PAS akan terima ‘salam Kit Siang’ itu?

Sekiranya PAS terima dan kembali ke ‘celah kangkang’ DAP, maka penulis yakin bahawa rakyat Malaysia akan dapat menilai sendiri tentang kedudukan maruah PAS yang sebenar. Kita tunggu reaksi dari PAS. Sudikah mereka?

Leave a Reply