Caj Plastik 20 Sen: Arahan Belum Batal Macam Mana Mahu Serah Kepada Peniaga?

Share

Oleh Nor Azlina Shaari

Kenyataan Azmin Ali berhubung isu caj 20 sen ke atas setiap beng plastik di Selangor sangat melucukan dan menggambarkan sikap berdolak dalih Menteri Besar Selangor ini.

Agaknya selepas sudah tidak tahan dikecam dan dikutuk kerana mahu melaksanakan kempen acah-acah mesra alam di mana beg plastik yang dibeli oleh pengguna dicaj 20 sen, Azmin nampaknya cuba menukar kecaman yang dia terima sendiri kepada para peniaga di Selangor.


Semalam malaysiakini melaporkan Azmin membuat keputusan bahawa terpulang kepada peniaga-peniaga sama ada mahu mengenakan caj 20 sen atau tidak kepada pengguna. Namun dalam masa yang sama Azmin menyatakan beliau belum membuat keputusan untuk menarik balik arahan mengenakan caj 20 sen ke atas setiap beg plastik. Kegilaan apakah ini?

Umum mengetahui yang kerajaan negeri Selangor telah membuat kempen “Selangor Bebas Plastik” dengan kaedah caj 20 sen untuk setiap beg plastik berkuat kuasa 1 Januari 2017.

Sejak dari kempen itu dilaksanakan, ramai pengguna khususnya penduduk Selangor merungut kerana ia mampu membebankan mereka dari segi kos sara hidup. Mana tidaknya, kalau membeli barang yang memerlukan 10 beg plastik, habis juga duit hanya kerana plastik yang tidak mesra alam, yang tidak boleh diproses semula.


Hingga hari ini yang sudah masuk hari ke 23, masih lagi kecaman dan kritikan juga rungutan dari pengguna yang didengari. Adakah kempen ini berjaya?

Gayanya sewaktu mahu memulakan kempen ini, Azmin seperti yakin yang dia mampu membuatkan rakyatnya di Selangor boleh mengurangkan penggunaan beg plastik dan boleh bangga dengan kejayaan kempen itu.

Tetapi, caranya adalah salah kerana telah menyebabkan rakyatnya terbeban.


Sejurus selepas itu, terbongkar pula bahawa kutipan 20 sen ini tidak disalurkan kepada kerajaan Selangor tetapi ke dalam kantung peniaga. Ia mungkin bertujuan menyelamatkan kerajaan negeri Selangor dari tuduhan mahu mendapatkan duit cara mudah. Tapi soalnya mengapa mengkayakan peniaga dan menyusahkan pengguna?

Dan kini, Azmin mencuba pula untuk mencuci tangan dengan terpulang kepada peniaga pula untuk buat keputusan sama ada hendak meneruskan polisi tersebut atau mengabaikannya.

Jadi, nampak sudah terang Azmin mahu mengalihkan kesalahan yang dia lakukan kepada para peniaga. Dia mahu peniaga menanggung silapnya untuk menerima kemarahan dan rungutan rakyat setiap kali beg plastik yang diguna dicaj.

Dalam isu ini, Azmin mahu dirinya tidak disalahkan dan dimarahi oleh rakyat sebaliknya, ‘ini semua salah peniaga, marahlah peniaga.’

Hakikatnya selagi Azmin tidak menarik balik arahan caj tersebut mustahil peniaga akan membatalkan sendiri, apatah lagi arahan tersebut menguntungkan peniaga.-MYKMU.NET

Leave a Reply