DAP Tak Jadi PM Atau PM Pun Tidak Mengapa?

Share

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang kononnya DAP mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika berjaya menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Khabarnya laporan itu dibuat oleh sebuah portal berdasarkan kenyataan dari Pengerusi ‘Bunga Raya’. Tidak tahulah apa sebenarnya yang dia katakan kepada portal itu, namun DAP telah menafikan dakwaan tersebut semalam.

Pada hemat penulis, sekarang bukanlah masa yang strategik bagi DAP untuk meminta-minta sebarang jawatan dalam kabinet jika Pakatan Harapan merampas Putrajaya meskipun mereka dilihat sebagai parti tunjang dalam gabungan parti pembangkang itu.


Memandangkan mereka masih lagi baru membentuk blok Pakatan Harapan – ‘Bunga Raya’, penulis yakin mereka sedang menyimpan ‘taring’ dan ‘belang’ masing-masing sebelum berlangsung PRU ke-14. Mereka dalam mood ‘menjaga hati’ supaya pakatan tidak retak.

Jika terpacul atau tersasul juga sedikit dari latahan yang mungkin meretakkan sesama mereka, maka penulis yakin ia dapat diredakan dengan mudah dan singkat agar rakyat tidak dapat menghidu apa yang tersimpan dalam ‘perut’ masing-masing.

Bila hendak diluahkan ‘isi perut’ mereka? Pada pandangan penulis, ia bergantung pada keadaan. Jika kalah PRU ke-14, mereka akan pendam terus ‘isi perut’ mereka dan mungkin mereka akan mencari alasan untuk terus menyalahkan BN dari kekalahan tersebut.


Namun jika mereka menang PRU ke-14, maka saksikanlah sendiri ‘temasya’ yang akan berlaku. Di saat itu, penulis yakin akan keluar semua ‘kuntau’, ‘kungfu’, ‘silambam’, ‘kalaripayat’, ‘kerambit’ dan seumpamanya.

Di kala itu, maka mungkin kita akan berpeluang menyaksikan insiden ugut-ugutan, ungkit-ungkitan dan mungkin ada yang akan bertumbuk, tarik rambut dan sebagainya. Mungkin ada kerusi dan meja yang akan terbang melayang…

Mungkin ketika itu, ada yang akan menyebut soal hak, soal moral, soal layak, soal usia dan kaum. Dan mungkin ketika itu juga akan bercakap seperti pakar perlembagaan, perundangan dan mungkin ada yang tepuk meja seperti di parlimen.


Namun drama atau wayang opera apa pun yang terhidang nanti, parti yang terbanyak memiliki kerusi parlimen di dalam sesebuah gabungan itu akan tetap memegang pengaruh terbesar di dalam kerajaan yang bakal dibentuk.

Lebih menarik lagi, sekiranya sesebuah kaum yang tidak pernah menjadi majoriti di parlimen akan teruja menyedari mereka merupakan majoriti di Dewan Rakyat dan tidak mustahil juga mereka akan lebih mempengaruhi dasar kerajaan.

Berdasarkan rekod dan sejarah, parti pembangkang yang paling dominan dan menguasai kerusi dalam parlimen sekarang adalah DAP. Jadi, tidak hairanlah jika ramai penganalisis politik mendakwa DAP merupakan ketua sebenar di dalam Pakatan Harapan – ‘Bunga Raya’.

Jadi, sama ada jadi Timbalan Perdana Menteri atau tidak, jadi Perdana Menteri atau tidak, kita melihat DAP merupakan dominan dan mereka akan memberikan pengaruh paling kuat dalam menentukan dasar negara nanti. Itupun kalau mereka menanglah…

Apabila dikatakan dasar negara akan kuat dipengaruhi DAP, maka faham-fahamlah apa yang bakal berlaku nanti. Ketika itu, penulis harap kita orang Melayu jangan menangis jika memiliki Perdana Menteri ‘boneka’ yang bagai ‘dicucuk hidung’ pihak tertentu, faham?

Leave a Reply