Mampukah Shahrir Memulihkan Persepsi Negatif Ke Atas Felda?

Share

Oleh Ab Jalil Backer

Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu tidaklah begitu mengejutkan. Cakap-cakap pelantikan ini sudah tersebar sejak minggu akhir Disember seiring dengan janji perubahan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohad Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

Sosok Tubuh Shahrir Samad bukanlah satu nama asing dalam politik negara. Dari Setiausaha Politik sehingga kepada Menteri Kabinet, pernah menjadi wakil rakyat bebas dan Barisan Nasional, antara wakil rakyat paling lama masih berkhidmat, Shahrir Samad mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik bagi menangani dan memulihkan persepsi negatif terhadap Felda.


Justeru apabila diangkat sebagai Pengerusi Felda ia tidak menimbulkan banyak pertikaian kecuali persoalan, mampukah beliau yang begitu lama menjadi wakil rakyat bandar Johor Bharu berhadapan kelompok peneroka yang bersifat tradisional dan anak-anak peneroka yang sedang diracun oleh pelbagai pandangan jahat pembangkang.

Masalah Felda bukan sekadar isu perniagaan atau ketirisan pentadbiran. Masalah terbesar Felda ialah komunikasi antara pengurusan Felda dan peneroka serta generasi kedua dan ketiga yang masih tinggal di felda tetapi terdedah kepada pelbagai maklumat dunia maya yang tanpa sempadan antara kebenaran dan khabar angin.

Tugas berat Shahrir bukan menyelesaikan masalah pengurusan Felda tetapi bagaimana mahu meyakinkan peneroka bahawa Felda sedang berada di landasan yang betul dan kepentingan mereka tidak terjejas melalui pelbagai cabang perniagaan syarikat-syarikat berkaitan Felda.


Tugas ini bukan sahaja berat kerana Shahrir bukan berlatar belakangkan kawasan Felda, malah masa yang sangat singkat. Shahrir hanya mempunyai masa 6 hingga 12 bulan untuk memberi gambaran positif Felda dan Kerajaan Barisan Nasional kepada peneroka. 6-12 bulan ini merupakan jangkaan pilihan raya umum akan datang.

Shahrir dan Felda

Sungguhpun telah lama berkhidmat sebagai wakil rakyat bandar, Shahrir sebenarnya mempunyai pengalaman yang begitu luas membabitkan Felda dan pengurusan komoditi sawit. Beliau merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Tun Razak yang merupakan tunggak pembangunan dan kemajuan Felda.


Jika ada orang yang boleh memahami dan merasai kepentingan Felda sudah tentu Sharir adalah salah seorang daripadanya. Beliau berada bersama tokoh yang membangun dan memperkasakan Felda. Selain itu, Shahrir juga pernah menjadi Setiausaha Politik, kepada Allahyarham Tun Dr. Ismail (Menteri Perdagangan & Perindustrian) dan Tan Sri Musa Hitam (Menteri Perusahaan Utama) yang berkait rapat dengan industri sawit.

Tanggungjawab Berat Membetulkan Persepsi

Felda bukan berhadapan dengan masalah kewangan yang serius tetapi lebih kepada masalah persepsi. Keputusan pengurusan Felda tidak dilihat sebagai menjaga kepentingan peneroka.

Justeru apabila mengambil alih Shahrir berusaha mewujudkan dimensi baru dalam pengurusan konglomerat sawit negara ini. Sejak dua minggu lalu, Shahrir sedang membina jambatan komunikasi dengan kumpulan peneroka dan anak-anak mereka di felda dan juga di bandar melalui tindakan-tindakan yang dilihat cuba meyakinkan peneroka.

Antaranya beliau mengarahkan semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) diarah meletak jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut. Ini bukan bermakna para pengarah ini melakukan apa-apa kesalahan mahu pun tidak menjalan tugas dengan baik.

Cuma apabila aura persepsi negatif sudah terlalu lama melingkungi mereka, jalan paling cepat ialah membawa muka baru supaya peneroka mempunyai asas memberi kepercayaan baru.

Shahrir juga mengumumkan pengkajian semula pelaburan Felda dalam bidang yang bukan teras perniagaannya termasuk pemilikan saham dalam Maybank dan penguasaan Hotel di London.

Semua pelaburan ini penting dalam memastikan Felda mempunyai pendapatan yang mencukupi membiayai pengurusan kawasan Felda di seluruh negara. Misalnya dari mana Felda hendak menjana pendapatan dan menampung keperluan peneroka apabila sesuatu kawasan dilakukan penanaman semula? Sudah tentu dari sumber luar ini.

Namun ia tidak dijelaskan dengan baik kepada para peneroka sehingga menimbulkan persepsi Felda sudah hilang arah tuju.

Sungguhpun pelaburan ini mempunyai keuntungan jangka panjang, namun Felda memerlukan penyelesaian positif dalam jangka pendek dengan cepat dan pantas. Inilah yang dilakukan oleh Shahrir Samad.

Malah dalam sidang akhbar baru-baru ini, Shahrir tidak segan silu mengakui ada ketirisan dalam pengurusan Felda dan beliau berjanji untuk membetulkan keadaan tersebut demi menjaga kebajikan peneroka.

Dalam “game of perception” tidak semestinya mempertahankan kebenaran itu sebagai pilihan tunggal. Kadang-kadang kebenaran tidak lagi penting apabila orang tidak lagi mahu mendengar fakta dan kebenaran yang ada.

Justeru dalam masa yang singkat (dikejar waktu pilihan raya umum) Shahrir memilih memberi harapan baru berbanding berhempas pulas membetulkan persepsi negatif.

Shahrir dan Pembangkang

Shahrir ibarat pengatin baru yang sedang memberi nafas baru kepada imej Felda dan inilah yang dikhuatiri oleh pembangkang.

Mereka telah kehabisan angin apabila terlalu banyak menyerang Pengerusi Felda sebelum ini Tan Sri Isa Samad sehingga mewujudkan persepsi semua masalah Felda ini berpunca daripada Isa. Apabila berlaku penukaran ini, mereka hilang punca dan terpaksa bermula dari awal semula.

Dalam dua minggu pertama pelantikan ini, Shahrir Samad jelas sedang membina “aura komunikasi” memberi isyarat positif kepada peneroka yang dianggap sebagai benteng terkuat pengundi Barisan Nasional.-MYKMU.NET

Leave a Reply