Sanggup Puak Bunga Raya Kibar Bendera DAP Nanti?

Share

Bendera antaranya merupakan lambang yang menjadi maruah dan semangat bagi sesebuah negara, negeri, pertubuhan, persatuan mahupun kumpulan kecil di dalam kursus-kursus yang kita hadiri.

Di zaman kegemilangan Islam dulu, para sahabat R.A cukup menjaga martabat bendera yang berada di tangan mereka. Putus sebelah tangan yang memegang bendera tentera muslimin, sebelah lagi tangan akan menyambutnya. Hanya syahid saja yang akan membenarkan bendera itu gugur jika tidak disambut sahabat lain ketika itu.

Di zaman serba moden dan era sistem demokrasi dalam politik ini, bendera parti juga amat penting di kalangan ahlinya. Buktinya, PAS baru-baru ini cukup marah apabila dikatakan ada dijual pengalas kaki yang mirip dengan bendera mereka.


Malah penulis yakin bahawa mana-mana parti pun cukup jaga dengan bendera parti masing-masing. Jika ada yang memijak bendera parti mereka, ia bagaikan memijak perjuangan dan maruah yang mereka dokong selama ini.

Penulis sendiri mengenali dunia politik sejak di era Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO. Sejak kenal politik juga, penulis dapati hampir semua pejuang UMNO diterapkan dengan doktrin bahawa DAP itu merupakan musuh politik utama parti.

Bukan saja menggunakan air liur, pelbagai insiden dan kejadian berkaitan politik menjurus kepada anggapan bahawa DAP itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Pelbagai hujah telah diberikan dan kami yakin dengan logik berkenaan hingga kini.


Berbalik berkenaan cerita ‘bendera’, maka sebab itulah ramai di kalangan kami yang memandang jijik ketika mana ahli-ahli PAS tergamak mengibarkan bendera DAP khususnya semasa musim pilihan raya. ‘Roket’ seolah-olah ‘petualang’ bagi kami yang enggan disentuh.

Namun kini khabarnya PAS sudah insaf dari melakukan ‘kejijikan” tersebut. Mungkin sudah resmi Melayu, sudah terhantuk baru tengadah, sudah ‘benjol di dahi, barulah kini mereka kenal siapa DAP sebenarnya’.

Cuma kini, penulis terbayang mereka-mereka yang mengaku kononnya ‘totok Melayu’, ‘totok UMNO’, dan kini telah khianat pada perjuangan parti serta menubuhkan parti baru berlambangkan bunga raya’….


Apakah mereka sanggup pegang dan kibarkan bendera DAP ke hulu ke hilir pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti? Sanggupkah mereka panjat pokok, panjat tiang, panjat bangunan semata-mata mahu gantung bendera DAP nanti?

Penulis masih ingat lagi betapa mereka itu menghina dan memandang jijik ahli PAS yang mengibarkan bendera DAP di jalan raya. Ada yang meludah, ada pula yang menjuihkan mulut sambil memaki hamun ketika itu.

Dan kini mereka pula meletakkan diri menggantikan ahli-ahli PAS itu? Sanggupkah mereka? Tergamakkah mereka menjilat kembali kahak yang pernah mereka ludah dulu? Mahu tangan mereka dicemari bendera ‘roket’?

Penulis tidak pasti. Yang pasti, penulis sering terbayang puak-puak ‘bunga raya’ itu bersorak menjulang bendera DAP sepertimana yang pernah PAS lakukan dulu. Jika ia benar berlaku nanti, maka tahulah kita di mana sebenarnya harga diri mereka, bukan? Sama-sama kita nantikan…

Leave a Reply