Isu BR1M: Pengerusi ‘Bunga Raya’ Konsisten?

Share

Hari ini penulis dapati segelintir penganalisis politik memuji Pengerusi ‘bunga raya’ kononnya dia konsisten dengan pandangannya berkenaan BR1M. Apa yang mereka sentuh adalah berkenaan cara BR1M diagihkan kepada rakyat.

Mereka berhujah bahawa Mahathir wajar dipuji kerana mahu BR1M diagihkan oleh pegawai kerajaan dan bukan orang politik yang kononnya seperti yang sedang diamalkan sekarang. Atas alasan itu saja maka mereka memuji Mahathir?

Dari satu sudut, mungkin benar hujah itu merupakan salah satu kaedah yang baik untuk memberikan bantuan kebajikan kepada rakyat dalam bentuk wang tunai. Cuma, ia bagaikan kurang tepat jika dikatakan semua pemberian BR1M itu dibuat oleh orang politik.

Setahu penulis, mungkin pertama kalinya dulu BR1M diberikan dari tangan orang politik. Namun maklum balas dari beberapa penerima BR1M menjelaskan bahawa wang bantuan itu kini dimasukkan terus ke akaun bank mereka. Jadi apa isunya berkaitan hujah mereka?

Paling jelas adalah perkara pokok yang menjadi punca persoalan adalah fatwanya yang mengatakan kononnya BR1M itu rasuah dari Perdana Menteri untuk membeli undi dari rakyat di negara ini supaya terus mengundi BN.

Apakah hanya kerana cadangan penambahbaikan kaedah kurang relevan pemberian BR1M yang yang mungkin hanya mewakili 5 peratus dari persoalan yang lebih besar mewajarkan analisis mereka menghasilkan dapatan ‘puji-pujian’?

Maaflah, penulis kurang bersetuju dengan pandangan tersebut. Bukanlah tidak setuju kerana mereka memuji ‘mursyidul am’ pembangkang itu. Tapi dia terang-terangan menyanggah fatwa ulama dan para mufti yang menegaskan BR1M bukan rasuah dan tidak haram, ada penganalisis itu membuat justifikasi mengenainya?

Setelah berdegil selama beberapa minggu dan kemudian ‘flip-flop’ mengubah pendirian membuat pusingan-U untuk meneruskan BR1M sekiranya mendapat kuasa, apakah faktor dominan itu wajar tidak dipedulikan dalam analisis politik mereka?

Pada padangan penulis, apa yang dikatakan sebagai ‘konsisten’ itu hanyalah merupakan satu cadangan kecil sahaja yang melibatkan kaedah pemberian BR1M. Dasarnya adalah tetap sama, satu pemberian kebajikan yang dihina sebagai rasuah dan ‘dedak’ juga, bukan?

Malah sekiranya dicadangkan pegawai kerajaan yang diberi tugas mengagihkan BR1M kepada rakyat, khususnya dalam bentuk tunai di zaman ini, penulis ada sedikit sangsi berkenaan dengan cadangan tersebut.

Apatah lagi sejak akhir-akhir ini SPRM sering membongkarkan kes melibatkan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang sepatutnya boleh dipercayai dan berintegriti tinggi, ia menyebabkan penulis lebih sangsi.

Cadangan penambahbaikan itu boleh juga diterima, cuma mungkin ia kurang sesuai dilaksanakan sekarang ekoran tahap kesangsian terhadap pegawai-pegawai awam yang agak tinggi di kalangan rakyat berdasarkan laporan-laporan yang mereka baca.

Bukanlah penulis tidak percaya pada pegawai kerajaan, cuma biarlah sektor itu benar-benar dipastikan bersih terlebih dahulu sebelum mencadangkan sesuatu yang mungkin boleh difikirkan baik untuk dilaksanakan.

Kadangkala, yang pakai lebai pun boleh gelap mata berdepan dengan wang ringgit, bukan? Jadi buat masa sekarang pada pandangan penulis, lebih baik ‘bank in’ saja, itu lebih selamat kerana ada bukti transaksi yang dijamin institusi kewangan. Harap maklum.

(Visited 15 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!