Awang Tengah sokong Abang Jo, tiada sengketa politik

Hubungan Datuk Amar Abang Johari Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan amat akrab dan selari dengan kedudukan mereka sebagai orang kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Desas-desus kononnya mereka berseteru kerana persaingan dalam parti adalah khabar angin semata-mata.

Awang Tengah sendiri sebagai Naib Presiden Kanan PBB, secara terbuka mengagumi kewibawaan Abang Johari memimpin parti atas kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PBB, selain Ketua Menteri Sarawak keenam.

Malah, beliau sendiri mencadangkan Abang Johari menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan mendapat sokongan penuh Majlis Tertinggi PBB dalam mesyuarat khas di kediaman Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di Demak Jaya, di sini pagi ini.

“Selayaknya Abang Johari mengambil alih kepemimpinan negeri. Beliau orang lama dan berpengalaman luas dalam selok-belok pentadbiran negeri.

“Kita menyokong penuh pelantikan beliau dan berdiri teguh di belakangnya untuk terus memimpin kecemerlangan negeri.

“Biarlah apa orang mahu cakap apa pun, kita tidak boleh halang. Yang penting, kita dalam PBB pentingkan semangat penyatuan dan kesepakatan demi masa depan lebih cemerlang untuk negeri serta rakyat.

“Ia jawatan yang cukup mencabar, namun, kita yakin beliau mampu melaksanakannya terutama meneruskan legasi Tok Nan kerana kita ada di belakangnya sebagai pendukung,” katanya selepas menghadiri istiadat angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak di Astana Negeri, petang tadi.

Awang Tengah turut menyifatkan barisan kepemimpinan negeri sedia ada cukup mantap dalam memastikan kelancaran jentera pentadbiran.

Mengenai ura-ura bakal dilantik Timbalan Ketua Menteri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Abang Johari, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada Ketua Menteri yang baharu.

“Kita hanya buat kerja. Bila diarahkan dan diberi amanah, kita buatlah kerja sebaik-baiknya,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *