Rakyat Diseru Sertai Perhimpunan Solidariti Penindasan Etnik Rohingya Ahad Ini

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru anggota UMNO dan rakyat negara ini hadir di Stadium Titiwangsa, di sini bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap penindasan etnik Rohingya, Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan aman itu juga sebagai tanda bantahan kepada kebencian melampau pihak tertentu terhadap umat Islam.

“Ayuh kita beramai-ramai menyatakan solidariti terhadap umat Islam di Myanmar,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri 2016, di sini, malam ini.

Perhimpunan itu yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dijangka diadakan bermula pukul 8 pagi.

Ahmad Zahid berkata walaupun Myanmar melahirkan tokoh yang memenangi anugerah Nobel, pertumpahan darah terus berlaku di negara itu.

“Apabila ada kuasa, beliau (Aung San Suu Kyi) mudah lupa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau difahamkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai sebuah gerakan NGO berjanji membawa 20,000 orang menyertai perhimpunan itu.

Etnik Rohingya beragama Islam dilaporkan ditindas dan dizalimi sehingga mendorong ribuan penduduk berkenaan meninggalkan kampung halaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman yang didakwa melibatkan tentera negara itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *