Dakwaan negara gagal hanya dakyah politik – Najib

BERIKUT adalah transkrip penuh temubual khas bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang diperantarakan oleh Hamdan Ahmir dan disertai Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

S: Saya ingin mulakan dengan melihat persekitaran ekonomi global yang mencatatkan pertumbuhan sederhana. Walaupun mencatatkan pertumbuhan sederhana, ekonomi Malaysia masih berkembang 4.3 peratus pada suku ketiga 2016, terus kekal berdaya saing dan berdaya tahan dengan sumber pertumbuhan ekonomi yang pelbagai. Di samping itu Datuk Seri, inflasi kita kekal terurus melingkungi paras dua peratus, rizab antarabangsa kita pada akhir Oktober kekal teguh berjumlah RM405.5 bilion. Nisbah hutang semasa negara pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih terkawal berbanding 103.4 peratus pada tahun 1985.

Mengikut piawaian Bank Dunia, Malaysia masih berada di landasan yang betul, namun di sebalik landskap ekonomi yang mampu bertahan dan pengurusan kewangan negara yang terkawal ini, masih ada suara-suara di luar sana yang mencanangkan bahawa Malaysia akan menjadi bankrap. Datuk Seri, adakah kita menuju ke ambang kebankrapan?

J: Tentu sekali tidak, sebab apa yang didakwa oleh sekumpulan kecil ini di luar, tidak disokong dengan fakta, dengan kenyataan yang sahih. Tadi ada disebut bahawa kita mencapai kadar pertumbuhan 4.3 peratus, secara kebetulan saya bersembang dengan bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, dua malam yang lalu. Beliau tanya tentang keadaan ekonomi Malaysia, saya kata ekonomi kita berkembang 4.3 peratus suku ketiga 2016. Beliau kata, kalau begitu, ekonomi Malaysia ini sangat baik.

Pada saya AS berkembang ekonominya satu peratus, saya hendak mencapai empat peratus. Jadi, itu reaksi spontan bakal Presiden AS.

Saya baru balik dari menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di sana saya menemui wakil Moody’s (agensi penarafan). Wakil Moody’s tidak menegur saya pun. Kalaulah kita menjurus kepada ekonomi yang akan bankrap, sudah tentu badan penarafan seperti Moody’s, wakilnya di situ tentu dia akan beritahu saya bahawa mereka melihat keadaan ini akan membawa kepada kemudaratan kalau kita tidak lakukan sesuatu.

Saya juga jumpa dengan Ketua Eksekutif IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa), Christian Lagarde tidak pun membayangkan kita dalam keadaan krisis. Jadi, bila saya lihat ini semua dan disokong dengan kenyataan dan fakta, maka maknanya apa yang berlaku bila ada dakwaan kononnya kita akan jadi failed state, kita akan jadi bankrap, semata-mata merupakan serangan politik.

Inilah yang perlu kita jelaskan kepada rakyat bahawa mereka tidak boleh percaya apa yang tidak disokong dengan kenyataan, dengan fakta. Lebih-lebih lagi, kenyataan dan fakta ini mestilah datang daripada pihak yang tak ada kepentingan seperti agensi penarafan, Bank Dunia, IMF, Bloomberg dan sebagainya.

Ulasan dan analisis mereka adalah lebih tepat daripada apa saja yang didakwa oleh mana-mana pihak bermotifkan politik.

S: Perhimpunan Agung UMNO tahun ini berlangsung ketika dunia menyaksikan peristiwa baharu yang mencabar dan juga iklim ekonomi global yang berubah-ubah dan perlahan, antaranya harga komoditi minyak yang masih ‘volatile’ (turun naik), kesan daripada Brexit dan pengukuhan dolar AS berbanding mata wang lain dan juga pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS, Januari depan. Mungkin akan timbul dasar baharu yang akan memberi kesan negatif kepada hala tuju perdagangan dan keselamatan serantau, perhubungan dengan negara Islam. Trump ada sebut dalam kempen pilihan rayanya mengenai Islam, hal ehwal antarabangsa membabitkan dasar luar AS yang kemungkinan masih berat sebelah, pergolakan di Asia Barat yang tiada penyelesaian, krisis pelarian dan imigran, hak asasi manusia, pemanasan global dan juga ancaman pengganas dan pelampau agama. Bagaimana Datuk Seri melihat kesan daripada perkembangan terbaru keadaan ekonomi geopolitik dan krisis global ini kepada Malaysia, sebagai contoh, di luar sana disebut pengukuhan dolar AS berbanding nilai ringgit seolah-olah dijadikan penunjuk bagaimana Datuk Seri menguruskan ekonomi negara dengan baik atau tidak.

J: Sebenarnya, perkembangan ini berlaku di luar, ini berlaku di AS, berlaku di Eropah, berlaku di negara lain. Di AS, sistem demokrasi mereka memilih presiden baharu, presiden baharu belum lagi ambil alih jawatannya tetapi dalam kempen, beliau nyatakan sekiranya dapat menjadi presiden, akan lakukan perkara tertentu di mana perkara terbabit sekiranya dilaksanakan, tentu sekali akan timbul kebimbangan dan reaksi negatif dalam kalangan negara lain. Saya lihat realitinya Trump sudah sedar bahawa bukan semua kempen, kenyataan yang dibuat semasa kempen itu mampu dilaksanakan, itu realitinya. Jadi, sekarang beliau dalam proses memikirkan apa sebenarnya beliau akan lakukan bila ambil alih tahun hadapan.

Jadi, pada saya, kita dalam keadaan ketidaktentuan sekarang tetapi kita tak boleh membuat suatu kesimpulan terlalu awal apakah sebenarnya dasar baharu kerajaan atau pentadbiran Trump tetapi pasaran sudah tunjuk reaksi, misalnya jangkaan kenaikan kadar faedah di AS dan dasar tertentu, membawa implikasi kepada dunia, bukan sahaja Malaysia.

Pagi tadi, saya berbincang dengan Gabenor Bank Negara. Saya tengok cartanya, ada mata wang lain yang prestasinya lebih buruk daripada ringgit, ada yang lebih baik… kita duduk di tengah-tengah. Ini kalau kita tengok ‘basket of currency’, kita tidak menurun sangat, cuma dengan dolar AS. Jadi ini adalah kerana kesan luaran yang luar daripada kawalan kita. Jadi saya harap rakyat jangan terkeliru sebab ini adalah faktor di luar kawalan kita, tetapi apa yang kerajaan akan lakukan adalah mengawal faktor yang boleh kita kawal dan untuk mencari peluang pelaburan. Sebab itu umpamanya, saya pergi ke Jerman, China dan Jepun… untuk apa? Untuk bawa balik pelaburan ke Malaysia dan inilah usaha yang boleh dan mampu kita lakukan.

S: Dalam usaha untuk membawa balik pelaburan ini, sekali lagi ada serangan politik termasuk yang terbaharu ke China dengan pelaburan yang begitu besar, MoU ditandatangani RM144 bilion. Serangan politik mengaitkan ia semacam menggadaikan negara kepada China dan itu terus dimainkan. Apa maklum balas Datuk Seri terhadap serangan begini?

J: Mudah saja. Kalau kita tidak bawa masuk pelaburan, dia kata kita gagal. Kalau kita bawa balik pelaburan, dia kata kita gadai. Jadi, ini mainan politik.

Bila masa bawa masuk pelaburan, jadi soal kedaulatan. Selama ini tidak timbul dan apa bezanya pelaburan dari Jepun, AS atau Eropah dengan pelaburan dari China. Ini pelaburan dan bila ada pelaburan, ada penjanaan ekonomi. Bila ada penjanaan ekonomi, ada peluang pekerjaan, ada pemindahan teknologi, ada syarikat yang boleh peroleh kerja peringkat subkontrak sampailah kepada kelas F dan kita akan tentukan ‘local content’ yang sesuai peratusannya. Ini dasar kerajaan, jadi janganlah kita termakan dengan dakyah seperti itu kerana dakyah seperti itu sekali lagi tidak termasuk dalam aliran pemikiran yang rasional sebenarnya.

S: Satu lagi yang menarik minat rakyat Malaysia mengenai pelaburan dari China ini adalah (projek) Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Ramai yang melihat angka yang disebutkan itu RM50 bilion sebagai terlalu mahal. Bagaimana Datuk Seri melihat andaian seperti ini?

J: Tidak betul sebab mereka kena sedar bahawa setiap satu projek itu, ada keunikannya terutama sekali dari segi topografinya. Kalau kita terpaksa buat terowong umpamanya, melalui kawasan paya dan sebagainya, tentu sekali kita perlu kos tambahan. Namun sebagai sebuah kerajaan, kita akan buat penanda aras dan penilaian berdasarkan projek di tempat lain. Kita juga akan buat pengurusan nilai dan pastikan bahawa harga projek ini nanti adalah harga yang boleh kita pertahankan, dan akan dapat nilai kepada wang. Jadi, itulah proses yang akan kita lakukan sebab kalau kita lihat keseluruhannya termasuk pembiayaan yang diberikan Exim Bank China dengan terma yang cukup menarik, maka projek ini boleh kita perlihatkan sebagai satu projek yang boleh merangsangkan ekonomi kita.

Ikut pada perkiraan kita, apabila terlaksananya ECRL ini, ekonomi Pantai Timur ini boleh bertumbuh dengan pertambahan 1.5 peratus dari segi pengeluaran kasar bagi ketiga-tiga negeri yang terbabit. Apatah lagi hubungannya dengan Pelabuhan Klang, sudah tentu banyak lagi kegiatan ekonomi dapat kita rangsangkan melalui pelaksanaan projek ini. Kita pun perlu juga sambungan sebab jika tidak ada sambungan, kita tidak boleh membuka kawasan seperti di Pantai Barat ini dan kawasan Pantai Timur ini perlu suntikan kerana kalau tidak, akan berlaku jurang, iaitu kadar pertumbuhan Pantai Barat akan lebih tinggi dari Pantai Timur. Jadi kita hendak mengimbanginya dan ini salah satu daripada projek besar yang boleh merapatkan jurang antara Pantai Barat dan Timur.

S:Kita banyak bercakap soal ekonomi makro dan menariknya kerana pelaburan yang diusahakan di bawah kepemimpinan Datuk Seri. Mungkin kesan yang nampaknya jangka panjang tetapi banyak kali apabila Datuk Seri sendiri membuka keprihatinan utama rakyat termasuk hingga kini adalah berkaitan kos sara hidup. Pelbagai langkah cuba diperkenalkan namun itu masih jadi tekanan yang berbekas di psikologi mereka.

J: Kalau kita lihat dari segi kadar inflasi, ia dalam dua peratus sahaja. Jadi kalau kita lihat paras harga jika naik dua peratus, tidaklah sepatutnya soal kos sara hidup ini menjadi suatu isu yang besar. Sebaliknya saya sedar bahawa ia menjadi sesuatu dalam minda rakyat, boleh dikatakan secara menyeluruh.

Oleh itu, kita perlu tangani ini dengan beberapa langkah serta program yang sudah dan akan kita lakukan. Umpamanya bila kita naikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200, ini akan membantu rakyat sekurang-kurangnya untuk memperoleh barang keperluan asas mereka dan itu sesuatu yang kita kena ambil kira.

Selepas itu projek perumahan mampu milik umpamanya, itu satu lagi puncanya dan juga subsidi yang kerajaan terus kekalkan dalam bidang kesihatan, pendidikan, rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, jadi banyak yang sudah kita lakukan sebenarnya untuk menangani soal kos sara hidup ini.

S: UMNO sudah wujud selama 70 tahun dan terus diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah. Ia bukan saja sebagai sebuah parti politik, tapi sudah menjadi institusi politik. Bergerak ke hadapan, apakah yang harus UMNO lakukan untuk menyesuaikan peranannya sesuai dengan perubahan zaman, teknologi, keperluan dan aspirasi ahli parti dan rakyat agar UMNO terus kekal teguh dan terus melaksanakan amanah rakyat?

J: Saya lihat risalah UMNO, mungkin kita perlu mencari wahana yang lebih sesuai untuk kita sampaikan, terangkan kepada rakyat sebab terlalu banyak dalam media sosial ini maklumat yang salah, terlalu banyak pembohongan, separuh benar dan separuh tak benar dan sebagainya, jadi rakyat terkeliru atau pun tertipu. Oleh itu, kita perlu memperhebatkan lagi usaha kita dengan menggunakan pelbagai kaedah dan saluran supaya cerita positif dan baik yang kita lakukan ini sampai ke pengetahuan rakyat. Saya lihat masih ada jurang lagi dan perlu kita usahakan secara lebih intensif lagi, dan UMNO sebagai sebuah parti kenalah bersikap inklusif. Kita tidak boleh menumpukan kepada golongan tertentu saja.

Misalnya kita jaga penyokong setia, tegar kita saja, kita tidak ada berhubung dengan kumpulan yang lain. Jadi saya mahu UMNO ini menjadi parti yang lebih inklusif. Yang ketiga, kita mesti tahu apa dia suara rakyat. Saya selalu sebut tentang merasai denyut nadi rakyat. Maknanya, kita mesti tahu adakah ada kelompok yang tidak berpuas hati, sebab berdasarkan kepada keputusan pilihan raya di Amerika Syarikat (AS) dan Brexit, mereka memandang rendah.

Ada sesuatu kumpulan, golongan yang agak besar, yang merasakan diri mereka ini terpinggir daripada proses globalisasi, teknologi dan sebagainya. Mereka meletakkan kesalahan ini kepada pemimpin di Washington misalnya, ataupun dalam soal Brexit, mereka memilih atas isu lain, bukan semata-mata soal sama ada nak kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) atau tidak. Jadi, banyak faktor seperti ini yang kita mesti tahu sebenarnya. Jadi, itulah yang saya nak tegaskan, UMNO mesti memahami landskap politik dalam negara untuk kita menentukan langkah yang sesuai dan tepat.

S: Kalau kita renungkan dan lihat secara mendalam, Pakatan Harapan (PH) didokong oleh DAP, manakala BN didokong oleh UMNO. Sejauh manakah kemaraan PH ini dengan gabungan parti baharu, boleh memberi impak kepada BN?

J: Kita mesti beritahu kepada rakyat bahawa alternatif kepada BN yang ditunjangi oleh UMNO ini adalah PH yang ditunjangi oleh DAP dan rakyat mesti tahu apa dia dasar DAP, dasar perjuangan, pendirian DAP, apa dia. Sudah tentu, mereka akan cuba melenyapkan agenda Bumiputera umpamanya. Mereka tidak akan menyokong apa-apa yang bersangkut-paut dengan agenda Bumiputera, itu satu hakikat. Soal kedudukan Islam umpamanya, kita nak membangunkan Islam, nak meninggikan syiar Islam. Apakah pendirian DAP dalam hal ini? Jadi ini semua mesti kita ambil kira sebab kita cuma ada dua pilihan saja, sama ada BN diketuai UMNO sebagai tunjangnya dengan rakan-rakan kita, atau pun PH sekarang ni, yang dulunya Pakatan Rakyat, sebab dia sudah ‘tendang’ PAS keluar, jadi PH yang tunjangnya ialah DAP.

S: Pada masa sama Datuk Seri, mengkritik, mengecam UMNO, sering mengaitkan UMNO dengan isu sensitif membabitkan kaum dan agama yang tujuannya barangkali menakut-nakutkan rakyat. Tentangan ini berlaku kerana Datuk Seri adalah Presiden dan Perdana Menteri. Bagaimana Datuk Seri melihat hal ini?

J: Mereka tidak boleh mengukur UMNO melalui kaca mata perbuatan atau tindakan dilakukan oleh satu, dua pemimpin UMNO. Apa yang mereka lakukan kalau mereka tak senang hati, itu bukan UMNO sebab itu tindakan individu atau kumpulan yang kecil. Mereka mesti lihat apakah dasar UMNO. UMNO akan terus kekal sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar yang sederhana berasaskan pada prinsip wasatiyah. Kita adalah parti yang progresif, yang akan membawa transformasi atau perubahan dalam konteks sistem yang sedia ada.

S: Datuk Seri, bercakap tentang memahami denyut nadi rakyat. Cabarannya dewasa ini adalah langit kita poros, elemen luar masuk tanpa dapat kita kekang oleh internet. Menariknya kerana kita juga melihat bagaimana melalui dana asing, penyaluran daripada luar itu boleh membentuk sikap, saya merujuk kepada gerakan berbaju kuning. Bererti cabaran yang ada hari ini memberikan tekanan yang besar kerana membolehkan gerakan sebegini yang dikatakan dibiayai oleh pengaruh asing. Ini menjadi cabaran baharu?

J: Mengikut pada laporan yang kita dapat akses, yakni WikiLeaks dan DC Leaks, mereka menunjukkan dokumen bahawa George Soros ini melalui Open Society Foundation (OSF) telah memberi dana kepada kumpulan tertentu dalam negara kita seperti dilakukan di negara lain, umpamanya The Orange Revolution di Ukraine, dia main peranan. Arab Spring pun dia main peranan dan yang terbaharu, tunjuk perasaan di AS berikutan kemenangan Donald Trump. Akhbar USA Today mendakwa OSF terbabit dalam membiayai protes itu. Jadi, kumpulan tertentu, seperti mana mereka telah akui, telah menerima dana daripada OSF. Jadi, soalnya memang ada campur tangan asing dalam urusan negara kita. Kita tak boleh sebagai sebuah negara yang berdaulat, yang mengamalkan prinsip demokrasi membiarkan orang lain menentukan siapa yang berhak menjadi pemimpin kita. Jadi ini adalah soal fundamental pada saya.

S: Dalam kaitan perkembangan politik, bagaimana Datuk Seri mengukur kekuatan parti baharu dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang yang menjelang perhimpunan ini, kelihatan semakin agresif. Bukan saja menyerang UMNO, tetapi juga menyerang Presiden UMNO?

J: Saya melihat bahawa kalau kita kaji fenomena bila PKR ditubuhkan, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim keluar daripada UMNO, kita lihat pada masa itu, gelombangnya lebih ketara daripada apa yang berlaku hari ini. Maknanya, ia tidak sama. Kesannya tidak sama. Tetapi saya sedar di mana-mana kawasan, bahagian dan Parlimen, mesti ada orang yang tidak puas hati atas sebab-sebab tertentu. Tak dapat apa dia nak dan sebagainya, kecewa. Jadi, mereka cuba kumpulkan, kutip orang seperti ini untuk masuk dalam parti mereka untuk menentang kita. Itu saya sedar. Sebagai seorang ahli politik yang agak lama, satu daripada pengajaran adalah ‘never underestimate your opponent’ (jangan memandang rendah pesaing). Ini kita mesti dalam sikap kita. Sebagai UMNO, kita mesti jangan ‘under estimate’ ataupun ‘under rate’ mereka yang menentang kita. Bukan kita takut pada mereka, lain dengan soal takut. Tetapi kita jangan ‘under rate’ mereka dan kita mesti lakukan apa yang patut kita lakukan untuk mengekalkan penguasaan yang ada pada kita.

S: Gerakan berbaju kuning dikatakan sebagai gerakan sivil, kemudian ‘dihijack’ menjadi momentum yang propembangkang. Jadi bagaimana Datuk Seri melihat sentimen itu?

J: Mereka cuba menggambarkan pada rakyat, kononnya ini satu gerakan semata-mata untuk menentukan kesahihan sistem pemilihan kita, sistem demokrasi kita. Tetapi, yang menjadi kenyataannya, apabila mereka membuat apa-apa pun, yang keliling mereka semua pemimpin parti pembangkang. Jadi, pada hakikatnya tak boleh kita pisahkan, bahawa ini bukan saja sesuatu yang mereka lakukan atas nama NGO, tetapi berkait rapat dengan soal politik sebab pada akhirnya, matlamat sebenarnya ialah untuk menukar kerajaan yang dipimpin UMNO hari ini.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat kecaman berterusan terutama sekarang ini dari bekas-bekas pemimpin UMNO kepada Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri mengawal ketenangan sebab kita lihat seolah-olah Datuk Seri tidak terusik pun dengan apa yang dilontarkan kepada Datuk Seri. Tumpuan utama Datuk Seri ke arah memperbaiki ekonomi negara meneruskan agenda pembangunan rakyat?

J: Saya sudah faham pemimpin seperti Dr Mahathir. Saya sudah faham kaedah beliau, cara beliau, tapi saya Alhamdulillah, saya merasa serasi dengan sokongan dalam parti. Ini maknanya apa yang dia cuba buat untuk menumbangkan saya dalam parti tak berjaya.

Saya pun dapat sokongan di kalangan Ahli Parlimen dan saya lihat sikap parti PAS tak bersama dengan beliau, dalam Bajet (2016) baru-baru ini PAS berkecuali, PAS tidak menyokong pembangkang menolak Bajet. Jadi, usaha yang dilakukan, Deklarasi Rakyat itu tidak sah dari segi undang-undang perlembagaan, sebab itulah Majlis Raja-Raja tidak menerima langsung apa yang beliau buat.

Jadi, opsyen sekarang adalah untuk meyakinkan rakyat dan dalam proses itu, beliau akan serang saya sebab nak menumbangkan UMNO, beliau mesti serang Presiden UMNO, itu hakikatnya. Waktu Dr Mahathir jadi Presiden UMNO orang yang sama duduk keliling beliau hari ini mengata beliau lagi teruk sebenarnya.

Kalau kita tengok balik rakaman video lama beliau mengutuk, Dr Mahathir lagi dahsyat. Maknanya ini proses politik, mainan politik. Dr Mahathir seorang yang mempunyai ‘super ego’, ego yang besar, beliau mesti menang. Kalau beliau bertarung, beliau mesti menang, cuba nak menang. Jadi, sekarang ini bila tidak berjaya, beliau akan jadi lebih agresif lagi dengan kata-kata dan sebagainya.

S: Datuk Seri, kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. Kalau mengikut Perlembagaan, kemungkinan Persidangan Agung UMNO tahun ini adalah yang kedua terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum. Apakah kepentingan dan tumpuan pada persidangan agung tahun ini.

J: Kita mesti menampakkan kita ini sebuah parti yang mempunyai motivasi yang kuat untuk terus berjuang sebagai parti yang berhak untuk terus memimpin negara kita, maknanya kita mesti tunjuk perpaduan kita, jangan bercakaran sebab keyakinan rakyat ni dia mesti melihat pada sebuah parti politik yang bersatu, penyatuan kita itu penting.

Kedua, kita mesti jaga sebagai sebuah parti, walaupun kita pemimpin pada peringkat bahagian tetapi rakyat akan menilai juga apa yang kita cakap itu sebagai cerminan kepada parti kita dan kita mesti menampakkan bahawa kita ini parti yang amat prihatin pada soal rakyat.

Maknanya, kita ini bila kita bincang dalam perhimpunan, kita bukan semata-mata untuk kita tetapi apa UMNO nak lakukan untuk rakyat… untuk negara. Apa kebaikan yang boleh kita curahkan. Inilah yang saya nak, bahawa kita ini adalah parti yang benar-benar berjuang. Perjuangan kita ialah untuk rakyat dan untuk negara kita.

S: Itu menariknya Datuk Seri kerana sifat dan modul parti politik, UMNO introspektif melihat ke dalam kepentingan Bumiputera misalnya. Bagaimana nilai itu akan diseimbangkan dengan apa yang Datuk Seri sebutkan tadi kerana komponen lain bahkan yang bukan BN juga berbangsa bukan Melayu dan Bumiputera ingin melihat perdebatan yang mewakili cita rasa mereka di mana ada kesempatan itu.

J: Ini satu daripada dilema sebenarnya, misalnya saya bila saya berucap, saya berucap sebagai Presiden UMNO atau saya bercakap sebagai Perdana Menteri? Jadi, orang mesti faham bahawa ini persidangan UMNO, ini bukan ucapan belanjawan atau ucapan yang lain seperti ucapan ambang merdeka. Ini ucapan saya sebagai Presiden UMNO. Jadi, sebab itu penonton utama saya ialah ahli UMNO dan orang Melayu serta Bumiputera mesti faham itu.

Namun, saya pun faham bahawa sambil itu saya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Jadi, apa yang saya kata itu saya faham bahawa ia tidak boleh menyinggung perasaan yang bukan Melayu dan bukan Bumiputera tetapi keutamaan kita, tumpuan mestilah soal-soal yang berkaitan dengan Melayu, Bumiputera, agama Islam dan agenda Bumiputera, tidaklah bererti bahawa kita ini tidak peduli langsung kepentingan hak orang lain, tidak, tetapi ini Persidangan UMNO.

S: Datuk Seri, mengikuti perkembangan semasa hubungan UMNO-PAS ini, benarkah UMNO dan PAS ini cuba bekerjasama secara diam-diam sebab itu secara terbukanya PAS tidak lagi menyerang UMNO dan PAS pun tidak mahu bersekongkol dengan Pakatan Harapan yang Datuk Seri sebutkan tadi dan dalam kaitan itu, adakah ini juga menjadikan UMNO lebih Islamik atau pun mungkin lebih Melayu.

J: Saya lihat PAS ini tidak macam PAS dulu. PAS hari ini lebih terbuka, PAS hari ini komited pada memperjuangkan perkara-perkara yang membabitkan kepentingan ummah. Begitu juga UMNO hari ini, UMNO pun bersikap sedemikian dalam banyak hal bila membabitkan soal ummah, soal masa depan negara.

Ada bab-bab di mana kita memang mempunyai pendapat yang sama tetapi kita belumlah macam tahun 1974 dalam bentuk satu kerajaan campuran dan sebagainya tetapi orang kata antara UMNO dengan PAS ini sampailah ke peringkat akar umbi tidak macam dulu. Saya ingat dah banyak kendur dan banyak selesa tetapi kita bergerak dalam kumpulan kelompok masing-masing dalam parti masing-masing. Ada masa kita berbeza pendapat, ada masa kita tak sama pendirian tetapi ada kala juga kita boleh mempunyai pendirian yang sama.

S:Macam isu Rang Undang Undang 355, Datuk Seri?

J: Ya, memang itu. Apa yang kita buat itu kehendak Islam, ini urusan orang Islam tetapi orang bukan Islam mesti faham ini bukan hudud. Ini menaikkan kuasa kepada Mahkamah Syariah dan ini tidak kena mengena dengan bukan Islam sama sekali. Kita pun sebagai sebuah kerajaan, BN akan berunding dengan komponen-komponen BN supaya mereka faham apa dia sebenarnya tujuan Rang Undang Undang pindaan itu.

S: Model perkongsian kuasa yang Datuk Seri sebutkan ini berkait dengan parti komponen, bagaimana masa depan sementara parti UMNO sebagai parti tonggak BN harus menangani sentimen federalisme khususnya di Sabah dan Sarawak.

J: Sama ada pihak yang cuba meniup soal kenegerian, seolah-olah kita sudah tarik balik hak mereka, saya dah kata beberapa kali dalam ucapan bahawa kerajaan kita amat komited dengan Perjanjian Malaysia 1963. Apa jua yang dibuat kita mesti lihat pada perjanjian itu dan kita sekarang kena mentafsir sama ada langkah-langkah tindakan kita selepas itu bertentangan.

Kita tarik hak mereka, sama ada secara tidak sengaja dan sebagainya atau pun ada yang patut kita lakukan dalam proses sekarang ini, melihat semula tafsiran kita dan tindakan kita.

Jika sesuatu yang kita buat itu dengan jelas menarik hak orang Sabah dan Sarawak, kita sanggup betulkan tetapi waima apa pun, ia mestilah dalam lingkungan Perlembagaan Malaysia dan soal Sabah dan Sarawak keluar, itu ‘non negotiable’ (tidak boleh dirunding), itu jangan sebut sebab adalah salah di segi undang-undang negara.

S: Bergerak ke hadapan, prestasi ekonomi tahun hadapan dan tahun selanjutnya akan meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat dan kesan ini akan mempengaruhi sentimen politik rakyat, bagaimana Datuk Seri mahu menangani masalah ini.

J: Kita pernah menang waktu kemelesetan ekonomi, dulu pun kita menang pilihan raya Sarawak bila kita laksanakan GST, memang teruk kita bila pilihan raya di Sarawak tapi kita menang besar di Sarawak, kita menang besar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kalau kita boleh jelaskan kepada rakyat bahawa ini bukan kesalahan, kelemahan kita, sebaliknya adalah faktor di luar kawalan kita, saya percaya rakyat akan faham bahawa hari ini apa yang kita lakukan adalah yang terbaik untuk rakyat dan kitalah pihak yang boleh memenuhi harapan rakyat berbanding alternatif yang ada.

S: Bercakap soal isu umat Islam mutakhir ini, umat Islam semakin ditindas dan dianiaya di depan mata kita. Bagaimana UMNO boleh memainkan peranan dalam membantu sesama umat Islam ini dan bagaimana umat Islam sendiri boleh belajar dari perkembangan yang berlaku.

J: Pengajaran yang paling besar adalah campur tangan asing dalam pengurusan negara-negara Islam berkesudahan dengan keadaan yang amat merugikan umat Islam. Konflik yang berlaku hari ini berpunca dari campur tangan asing dalam pengurusan dalaman negara-negara Islam.

Mereka bila campur tangan, mereka ada agenda tertentu, sama ada sengaja atau tidak sengaja, tentu sekali mereka tidak faham keadaan dalam sesuatu negara Islam. Sebab itu yang paling penting sekali kita mesti mempunyai pendirian tegas, jangan benarkan orang asing campur tangan dalam pengurusan dalaman kita.

Yang kedua, kita mesti mengamalkan prinsip perpaduan ummah, bukan sahaja dalam negara tetapi secara universal di kalangan negara Islam. Kerjasama kita, apa yang kita lakukan, strategi kita mestilah diperkukuhkan lagi.

Sebab Malaysia saja tak mampu, sebab ini berlaku di negara lain seperti di Rakhine, Myanmar. Kita perlu kerjasama masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya.

S: Banyak dibicarakan tentang pengisian masa depan dan Datuk Seri menggagaskan Transformasi Nasional 2050 (TN50), dalam kesempatan ini mungkin diberikan wang kepada rakyat untuk memberi komen balas berkaitan dasar ini.

J: Kita nak mulakan mulakan ‘discourse’ (perbincangan) ini mulai tahun hadapan sebab kita memerlukan masa, takkan tahun 2020 baru kita nak mulakan, kita mulakan sekarang supaya dalam masa menjelang 2020 kita dah ada hala tuju baharu.

Berbeza dengan Wawasan 2020 sebab masa itu diumumkan Perdana Menteri ketika itu tapi dari ‘top to bottom’, saya nak dari ‘bottom up’, maknanya saya nak bermula ‘discourse’ dari peringkat rakyat, akar umbi, terutama sekali generasi muda sebab merekalah yang akan memiliki negara kita suatu hari nanti. Pada hakikatnya, memang benar kita mula proses itu dan ia akan membabitkan semua komponen dalam negara.

S: Bagaimana ciri-ciri TN50 ini berbeza dengan Wawasan 2020 yang akan berakhir empat tahun lagi?

J: Itu terlalu awal saya nak kata sebab saya tak mahu mendahului apa yang akan disuarakan rakyat nanti tapi kita mesti ada satu dokumen hala tuju yang komprehensif lagi menyeluruh yang boleh dikatakan bahawa ia dimiliki oleh rakyat.

Ini adalah hak kita sebab ia datang dari rakyat. Inilah hasrat saya dan saya tak mahu menyatakan pendirian saya secara peribadi sehingga pada peringkat akhir nanti. Bila kita dah cuba, kita dah kumpul semua pandangan, kita rumuskan sebagai dasar dan visi baharu untuk negara dan dasar-dasar yang sesuai dengan visi tersebut untuk dijadikan sebagai landasan 30 tahun akan datang untuk negara.

S: Berbalik kepada Persidangan Agung UMNO tahun ini, apakah harapan Datuk Seri perkara yang sempat kita capai dalam perhimpunan tahun ini?

J: Parti UMNO dilihat sebagai parti yang bersatu, mempunyai keyakinan dan parti yang amat-amat prihatin dalam soal rakyat dan soal negara kita dan parti yang penuh bertanggungjawab untuk membela kepentingan rakyat dan negara.

Ini mesej kita dan kita mesti juga adalah parti yang dapat menunjukkan imej yang positif kepada rakyat supaya rakyat suka kepada kita, rakyat mesti suka kepada UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *