Kay Kim: TMJ tak boleh bertindak sendiri

Share

Dakwaan rasuah FAM oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim perlu disusuli dengan tindakan mengikut saluran undang-undang, kata penganalisis sukan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Menurut Khoo, Tunku Ismail tidak boleh mengambil tindakan sendiri dan mesti menyerahkan bukti dakwaannya kepada pihak berkuasa, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Biar pihak berkenaan ambil tindakan, siasat dulu. Kemudian bila disahkan ada bukti, kita boleh hadapkan individu itu ke mahkamah.

“Mahkamah sahaja ada hak untuk menjatuhkan hukuman,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Isnin lalu, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun.

Beliau mendakwa mempunyai butiran salah laku FAM melalui satu pendrive.

SPRM pula semalam mengalu-alukan penyerahan maklumat berhubung dakwaan itu dan bertindak jika terdapat kesalahan.

Khoo melihat, dakwaan Tunku Ismail secara tidak langsung seperti memohon bantuan pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

“Saya rasa beliau tidak dapat menguasai keadaan itu, sebab dia memberitahu orang ramai wujud masalah yang sukar dikawal.

“Kalau beliau sendiri boleh mengambil tindakan itu, tak perlu dibuat kenyataan macam itu,” jelasnya yang turut berpendapat TMJ perlu memberi kerjasama kepada SPRM untuk melakukan siasatan.

TMJ perlu serahkan bukti

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, Tunku Ismail perlu menyerahkan bukti rasuah melibatkan FAM seperti yang didakwanya kepada SPRM.

Annuar meminta Tunku Ismail berbuat demikian supaya SPRM menyiasat dakwaan itu, sekali gus membuktikan wujud atau tidak salah laku dalam badan induk bola sepak negara.

“Ia adalah satu pengakuan dan dokumen itu perlu diambil atau diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.

Annuar berkata, perkara itu sudah menjadi perbincangan awam dan jika disembunyikan ia menjadi satu kesalahan daripada segi undang-undang.

“Pada saya jika betul perkara (salah lalu) itu berlaku, saluran yang betul ialah menyerahkan dokumen maklumat itu kepada SPRM agar siasatan sewajarnya dapat dilakukan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Terdahulu Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan TMJ memiliki maklumat berkaitan aktiviti rasuah melibatkan persatuan itu.

Pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu beliau berkata akan menghubungi TMJ berhubung isu tersebut.

Dalam sidang media itu, FAM turut menjelaskan beberapa kritikan TMJ pada mereka, termasuk dakwaan terdapat budaya rasuah yang dikaitkan dengan persatuan itu.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *