#PRKKualaKangsar : Anak Mastura mohon pengundi sokong ibu

Share


Anak sulung calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd. Yazid me­rayu agar sokongan terus diberikan kepada ibunya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar supaya perjuangan ayahnya dapat diteruskan.

Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar memberitahu, ibunya yang telah dipilih oleh parti untuk menggalas amanah itu juga sering berdoa agar dapat meneruskan perjuangan bapa.

“Kami sebagai anak-anak sebak mendengarnya, tetapi itulah ketentuan Ilahi,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama Persatuan Ibu Tunggal Kuala Kangsar yang diadakan sempena Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat oleh Badan Kebajikan UMNO di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Menurutnya, Allahyarham bapanya merupakan seorang yang murah dengan senyuman dan a­­mat istimewa di hati orang ramai.

“Beliau insan yang tidak pernah merungut dalam khidmatnya kepada warga Kuala Kangsar,” ujarnya.

Yang turut hadir, dua lagi adiknya iaitu Wan Iskandar dan Wan Amar.

Dalam pada itu, Wan Emir Astar turut menyampaikan salam Mastura kepada semua ibu tunggal di Kuala Kangsar kerana Mastura tidak dapat bersama pada majlis tersebut.

“Saya berharap kemenangan bakal dicapai agar perjuangan ayah kami dapat diteruskan demi kebaikan semua,” katanya.

Utusan



One thought on “#PRKKualaKangsar : Anak Mastura mohon pengundi sokong ibu

  • June 2, 2016 at 7:24 am
    Permalink

    Anak2, berkempen lah untuk ibu kamu kerana beliau tidak boleh berbuat demikian waktu ini.

    InshaAllah kami mendoakan kejayaan beliau.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *