Laporan Ketua Audit Negara 2015: Tahap Prestasi Kewangan Agensi Kerajaan Semakin Cemerlang

Share


Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan tahap prestasi pengurusan kewangan agensi kerajaan semakin cemerlang berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata sebanyak 180 kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan mendapat penarafan Cemerlang (5 bintang), berbanding hanya 114, pada tahun 2014.

“Pencapaian yang ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti telah memberi dorongan kepada Pegawai Pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata laporan kali ini juga lebih awal daripada biasa iaitu sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2017, kerana pihaknya mendapat kerjasama daripada Jabatan Akauntan Negara.

“Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan pada keseluruhannya memberi gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan seperti pada 31 Disember 2015 serta hasil operasi dan aliran tunainya bagi tahun berakhir pada tarikh tersebut.

“Rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemaskini,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, dan Kerajaan-kerajaan negeri Tahun 2015 dibentangkan secara bersiri sebanyak dua kali pada tahun ini.

Laporan Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksana dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu tercapai.

Ambrin berkata ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang dibuat.

Secara keseluruhannya, hasil Kerajaan Persekutuan berkurangan sejumlah RM1.537 bilion (0.7 peratus) berbanding dengan tahun 2014. Kutipan Cukai Pendapatan Individu menunjukkan peningkatan sejumlah RM1.899 bilion (7.8 peratus) dan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu RM27 bilion.

Bagaimanapun, pengurangan hasil Cukai Pendapatan Petroleum sejumlah RM15.397 bilion, Cukai Pendapatan Syarikat sejumlah RM1.560 bilion dan Royalti Petroleum sejumlah RM1.389 bilion menyumbang kepada pengurangan hasil Kerajaan Persekutuan pada tahun 2015.

“Kejatuhan harga minyak mentah dunia memberi kesan yang besar kepada kutipan hasil. Manakala kutipan cukai jualan dan perkhidmatan berkurangan apabila cukai ini digantikan dengan GST.

“Pada tahun 2015, kutipan GST Tempatan berjumlah RM14.040 bilion dan kutipan GST Import berjumlah RM12.973 bilion, oleh itu, kutipan GST 2015 adalah sebanyak RM27.013 bilion,” katanya.

Katanya, dalam Laporan Siri 1 itu, sebanyak 70 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan Syarikat Kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan, hasil dan pengurusan syarikat.

Ambrin berkata seperti sebelum ini, Ketua Jabatan yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan.

“Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh Ketua Jabatan berkenaan, Jabatan Audit Negara juga telah mengemukakan 78 syor kepada Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan (43) dan Kerajaan Negeri (181) untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Selain itu, Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 yang memberi ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan terhadap isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Kandungan dan sinopsis laporan siri 1 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

— BERNAMA



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *