Bawa Keluar Surat Anwar Dari Penjara Satu Kesalahan – Nur Jazlan

Share


Tindakan individu yang membawa keluar surat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Akta Penjara 1995 menyatakan seseorang yang menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara sebagai satu kesalahan.

Akta Penjara memperuntukkan barang larangan dibawa masuk atau keluar adalah dadah, wang atau arak dan termasuk alat atau artikel seperti ditetapkan Komisioner Jeneral dari semasa ke semasa.

“Sepatutnya kena ada siasatan, tetapi surat telah pun keluar…Jabatan Penjara perlu berhati-hati selepas ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata Anwar diberi banyak keistimewaan termasuk boleh berhubung dengan anggota keluarga dan peguamnya dengan kerap, memungkinkan penyeludupan keluar surat berkenaan.

“Bila banyak perhubungan antara keluarga, peguam dan pihak lain, ada banyak peluang surat itu boleh dibawa keluar,” katanya.

Sebuah portal media sebelum ini melaporkan Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa Deklarasi yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak sempurna dan lari dari agenda reformasi sebenar.

Sementara itu, mengulas mengenai peraturan larangan keluar negara selama tiga tahun ke atas individu yang memburukkan negara, Nur Jazlan menasihatkan ahli politik dan aktivis yang cenderung membuat kenyataan menjatuhkan imej negara supaya memeriksa nama mereka dengan Jabatan Imigresen.

“Macam Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0), dia patut periksa terlebih dahulu sama ada nama disenarai atau tidak. Seperti (kartunis) Zunar juga, dia juga patut periksa,” katanya.

Maria pada Isnin tidak dibenarkan melepasi kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Korea Selatan.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi mengesahkan kewujudan peruntukan larangan keluar negara berkenaan sambil menambah bahawa pemilikan pasport antarabangsa Malaysia adalah satu keistimewaan dan bukan hak.

— BERNAMA



One thought on “Bawa Keluar Surat Anwar Dari Penjara Satu Kesalahan – Nur Jazlan

  • May 18, 2016 at 8:56 pm
    Permalink

    Sebaik saja surat tulisan Anwar jadi viral, Madey pun berganjak sikit dari tempat duduknya. Lalu dikeluarkan kenyataan bahawa pembangkang tidak akan menang dalam PRU dan di PRK Selangor dan Perak. Ini kerana pembangkang tidak pernah bersatu dari dulu hingga kini maka ini memberi peluang untuk BN sapu semua PR sebagaimana yang berlaku diSarawak. Walaupun sebelum itu Madey katakan bahawa BN akan tewas dikedua kawasan tersebut.

    Dalam surat Anwar dia tulis betapa salahnya jika berkompromi dengan Madey dalam deklarasi rakyat atau apa saja deklarasi kerana Madey bekerja hanya untuk boboinya dan kroninya sahaja. Hasrat itu sendiri pun telah terkeluar dari reformasi yang diperjuangkan oleh nya. Dia luahkan kebimbangan nya kerana dia tahu Azmin anak didiknya menunjukkan kecenderongan untuk ikut buntut Madey… dan ini perkembangan bahaya bagi PKR. Walaupun hakikatnya terlahirnya PKR adalah untuk selamatkan Anwar dari penjara. Reformasi anjuran Anwar juga untuk Anwar dan anak beranaknya. Namun itu lah politik. Orang lain buat salah, sendiri buat everything ok.

    Selamatkan malaysia anjuran Madey dan Daim juga adalah selamatkan boboi dan kroni nya yang diketegorikan olehnya sebagai Malaysia sisitu. Ini kerana Malaysia belum diancam wabak yang membunuh untuk diselamatkan oleh sesiapa.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *