Mayat Kedua Dipercayai Mangsa Nahas Helikopter Dijumpai Pagi Ini

Share


Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat seorang lelaki dipercayai mangsa nahas helikopter, 10km dari Pusat SAR di Lingga, kira-kira 250km dari sini, pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad mengesahkan mayat terbabit dijumpai pukul 8.31 pagi.

“Mayat mangsa yang ditemui akan dibawa ke (satu) tempat, tapi tempatnya belum dipastikan lagi,” katanya kepada Bernama di sini.

Penemuan mayat itu, dipercayai mangsa kedua yang dijumpai selepas mayat mangsa pertama tragedi terbabit iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, kira-kira 30km dari Lingga, tengah hari semalam.

Penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah, Asmuni Abdullah.

Anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada pukul 4.12 petang Khamis menghala ke Kuching sebelum terputus hubungan dan hilang dari radar.

Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau semalam.

— BERNAMA



One thought on “Mayat Kedua Dipercayai Mangsa Nahas Helikopter Dijumpai Pagi Ini

  • May 7, 2016 at 11:27 am
    Permalink

    Semuga semuanya di temui.Insyaallah.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *