Ahmad Razif batal semua program

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman membatalkan semua program yang sepatutnya dihadiri oleh beliau sehingga Sabtu ini.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu dijangka mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan negeri di Wisma Darul Iman hari ini seperti sebelum ini.

Antara program yang sepatutnya dirasmikan oleh beliau ialah Karnival Usahawan Anak Terengganu 2016 di pekarangan Sabasun Hyperruncit di Gong Badak Jumaat ini dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Yayasan Guru Malaysia Berhad di TH Hotel & Convention Centre di Gong Badak pada Sabtu.

Dalam pada itu, pergerakan Ahmad Razif gagal dikesan hari ini dan beliau juga difahamkan tidak terlibat dengan jadual atau program rasmi kerajaan sebagaimana lazim sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak terutama rakyat yang masih ternanti-nanti apakah mungkin akan berlaku perubahan pucuk kepemimpinan kerajaan Terengganu atau sebaliknya.

Walaupun pihak istana sudah mengeluarkan kenyataan media yang mengesahkan perlucutan semua darjah kebesaran, namun isu berkenaan dilihat seolah-olah masih ‘tergantung’.

Dalam masa sama, pihak media masih ternanti-nanti pengesahan tarikh dan masa sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam waktu terdekat berhubung isu itu.

Najib semalam mengesahkan beliau akan menghadap Sultan Terengganu bagi membincangkan krisis tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan kepada media selepas pertemuan berkenaan.

Lokasi pertemuan tertutup itu tidak pula dinyatakan sama ada di Istana Syarqiyah di sini atau di Kuala Lumpur selain tarikh dan masa yang masih juga ‘dirahsiakan’ kepada pengetahuan umum termasuk media.

Sementara itu, hari ini merupakan Hari Keputeraan Sultan Mizan namun tiada atur cara sambutan diadakan di negeri ini.

Berbeza tahun lalu, upacara sambutan diadakan dengan istiadat pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri termasuk bintang Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) seperti yang pernah dianugerahkan kepada Ahmad Razif yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Dalam pada itu, pertemuan ADUN BN Terengganu dengan Perdana Menteri yang dijadualkan di Putrajaya, Khamis ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Perkara itu disahkan oleh beberapa ADUN yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mereka yang enggan nama didedahkan memberitahu, makluman tentang penangguhan itu diketahui sejak malam tadi menerusi salah seorang ADUN yang berhubung terus dengan Ahmad Razif. Bagaimanapun, tiada sebarang tarikh baharu yang ditetapkan setakat ini.

Utusan

3 thoughts on “Ahmad Razif batal semua program

  • April 27, 2016 at 11:28 am
    Permalink

    the clean menteri besar terengganu…

    Reply
  • April 27, 2016 at 11:36 am
    Permalink

    Clean???

    Reply
  • April 27, 2016 at 5:08 pm
    Permalink

    Ntahapantah azmi ni gara gara bn gagal majoriti adun masa pru 13 sebab si Lone ranger la

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *