Debat: 15 soalan panas untuk Guan Eng

Menteri Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan 15 soalan yang perlu dijawab Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sesi debat antara mereka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional (BN) berkata, semua soalan tersebut didedahkan lebih awal sebagai persediaan agar Guan Eng dapat bersedia dengan jawapan ketika Ahli Parlimen Kota Belud itu sedang dalam lawatan ke luar negara ketika ini.

Menerusi laman Facebook milik­nya, Abdul Rahman antaranya mempersoal mengenai pemberian Request For Proposal (RFP) kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) pada tahun 2010 sedangkan laporan audit syarikat tersebut bagi tahun berkenaan me­nyatakan bahawa pihak KLIDC mempunyai aset negatif termasuk wujudnya keraguan yang ketara sama ada syarikat berke­naan dapat melaksanakan usaha secara berterusan.

“Sekiranya beliau (Guan Eng) menjawab tidak menyedari me­ngenai pemberian tersebut, apakah langkah yang diambil oleh beliau untuk meminta syarikat berkenaan membetulkan kedudukannya,” soalnya.

Abdul Rahman dan Guan Eng sebelum ini bersetuju untuk berdebat mengenai isu Taman Manggis dengan RTM dan TV3 kedua-dua­nya menawarkan kesediaan untuk menyiarkan debat tersebut secara langsung.

Selain itu, Abdul Rahman turut mempersoalkan kenyataan Guan Eng yang menyatakan tanah di Taman Manggis tersebut terlalu kecil untuk pembinaan blok pangsapuri 17 tingkat, namun membenarkan pula pembinaan pusat perubatan serta sebuah hotel setinggi 30 tingkat di lokasi yang sama.

“Adakan anda (Guan Eng) bersetuju bahawa nilai komersial tanah di Taman Manggis akan meningkat dengan ketara selepas kerajaan negeri menukar syarat-syarat penggunaan tanah dari pusat perubatan 100 peratus kepada pembinaan bangunan tinggi 30 tingkat yang terdiri daripada 70 peratus perkhid­matan pangsapuri dan 30 peratus pusat perubatan hanya dalam tempoh setahun selepas RFP dianuge­rahkan kepada KLIDC?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut bertanyakan kepada Guan Eng mengapakah kerajaan negeri Pulau Pinang masih memberikan kelulusan peran­cangan dan pembinaan kepada KLIDC walaupun syarikat berke­naan menunjukkan aset negatif, sifar pekerja dan tiada pendapatan.

Tanya Abdul Rahman, apakah sudah menjadi amalan biasa bagi projek penswastaan kerajaan nege­ri Pulau Pinang yang ditinggalkan terbiar dan mundur selama hampir enam tahun, tidak dikenakan sebarang pembatalan atau penalti oleh syarikat yang dianugerahkan RFP.

“Sejak tahun 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang telah terlibat dalam pelbagai jualan tanah nege­ri dan tawaran hak penambakan didakwa bernilai antara RM30 bi­lion dan RM40 bilion.

“Apakah jaminan Guan Eng kepada rakyat Pulau Pinang bahawa tidak ada tawaran pintu belakang yang akan membantu pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan daripada nilai tanah kerajaan negeri dan mengorbankan nasib rakyat?” soal beliau lagi.

Tambahnya, adakah Guan Eng akan memohon maaf kepadanya berikutan daripada menggelar dirinya sebagai ‘menteri khabar angin’ memandangkan pemilik KLIDC, Datuk Tang Yong Chew te­lah mengesahkan bahawa perjanjian jual beli tersebut sememangnya telah ditandatangani.

“Ini adalah bertepatan dengan apa yang didedahkan oleh saya sebelum ini. Adakah anda (Guan Eng) akan memohon maaf berikutan memang­gil saya ‘menteri khabar angin’ apabila saya mendedahkan perjanjian sebenar yang mana te­lah disahkan wujud?” tegas Abdul Rahman.

Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *