Campur tangan asing bertentangan acuan politik negara – Ahmad Zahid

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta campur tangan asing dalam usahanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri bertentangan dengan acuan pe­mimpin negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin negara hari ini adalah pengikut setia bekas Perdana Menteri itu yang telah diajar supaya patuh dan mengikut etika pemimpin yang baik.

Oleh itu, jelas beliau, Mahathir tidak perlu mengubah pendirian pemimpin hari ini dengan mengajar sebaliknya.

‘‘Dahulu beliau marah apabila kami guna saluran antarabangsa sehingga ada yang dituduh menjadi tali barut pihak asing.

‘‘Janganlah lakukan sesuatu yang mengakibatkan orang tidak akan lagi menghormati kita,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas penutupan Program Kembara Kebajikan di Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Dr. Mahathir dalam wawancara bersama akhbar Australia, The Weekend Australian baru-baru ini berkata, campur tangan asing harus diberi laluan dalam urusan domestik di Malaysia untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Menurut Ahmad Zahid, Mahathir dihormati kerana berpegang pada prinsip yang baik tetapi sekarang bekas Perdana Menteri itu sudah berubah.

Beliau berkata, campur tangan asing dalam negara tidak menepati acuan politik negara yang mempunyai tataetikanya.

‘‘Hanya acuan sesuai yang boleh diguna pakai dalam politik negara kita,’’ katanya.

Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *