Guru Di Malaysia Patut Belajar Dari Guru Palestin Ini

Share


hanan1

Penulis tidak teruja jika pemenang anugerah Global Teacher Prize 2016 jatuh kepada guru yang bertugas di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, UK, Jepun mahupun Singapura. Namun apabila diumumkan pemenang anugerah berprestij itu adalah seorang guru dari Palestin, penulis benar-benar tersentuh untuk menulis mengenainya.

Latar belakang Hanan Al Hroub menyaksikan beliau dilahirkan di kem pelarian Palestin di Baitul Lahm. Sejak dari kecil, Hanan sudah lali dengan segala kesusahan hidup dan ancaman dari Yahudi Israel yang bermaharajalela di wilayah konflik berkenaan.

Serba-serbinya kekurangan, tiada infrastruktur, tiada prasarana atau kemudahan pendidikan, namun itu tidak menjadi halangan untuknya berbakti kepada anak bangsa di tanahair yang diancam serangan mortar, bom, jet pejuang dan kekejaman rejim Israel.

Walau bagaimanapun, atas iktikad yang teguh dan keikhlasan mendidik anak bangsa, Hanan gigih mengajar para pelajar di bumi anbiya’ itu. Walau tidak memiliki kelas yang sempurna, tiada peralatan canggih, tiada sistem pendidikan moden yang tersusun, tidak bergaji tinggi, tiada kenaikan pangkat, serba-serbinya tiada, Hanan masih tegar bertugas sebagai guru tanpa keluh.

Melalui pembacaan penulis mengenai Hanan, beliau menitik beratkan sahsiah diri pelajar dengan menerapkan akhlak yang terpuji di kalangan anak-anak didiknya. Sentuhannya sebagai guru bukan saja diiktiraf ibu bapa pelajar, malah dunia turut mengiktiraf keberkesanan guru wanita itu mendidik dengan baik biarpun serba kekurangan di wilayah bergolak.

Cerita mengenai pemenang Global Teacher Prize 2016 yang terpilih dari jutaan guru di seluruh dunia itu, ia benar-benar membuat penulis mengimbas sikap guru-guru di negara kita.

Malaysia tidak seperti Palestin. Kita tidak ditindas seperti rakyat Palestin. Kita tidak diancam serangan militari seperti saudara kita di sana.

Kita juga dilengkapi prasarana dan infrstruktur yang lengkap. Sekolah-sekolah kita lengkap segalanya. Dengan sistem dan pelan pendidikan yang teratur, dengan semua kemudahan yang tersedia, sepatutnya ia memberi keselesaan kepada guru-guru kita mengajar dengan baik.

Namun malang, sesetengah guru kita lebih cenderung merungut, mengeluh dan komplen dalam banyak perkara. Mereka mengeluh dengan beban kerja, mereka merungut dengan pelbagai sistem dan lebih gemar memberikan kritikan yang tidak membina.

Ada juga yang sibuk berniaga di sekolah. Ada yang bawa tudung ke sekolah, ada yang bawa kain pasang. Ada yang gemar anjur rombongan, ada yang sibuk jual baju batik. Malah, ada juga yang sibuk berkempen politik memburuk-burukkan kerajaan.

Bila ‘berduka lara’, Menteri Pendidikan cuba hilangkan ‘duka lara’ secara berperingkat. Itu pun tak sabar-sabar dan gelojoh untuk tukar lokasi bertugas. Tidak tahu ‘beratur’?

Mungkin benar Malaysia tidak bergolak seperti Palestin, namun itu tidak menjadi ‘tiket’ kepada mereka untuk bersikap sambil lewa dalam soal mendidik anak bangsa. Ada juga yang hanya sekadar mengajar, tapi tidak benar-benar ‘mengajar’.

Terlintas dihati penulis, apa agaknya akan berlaku jika dipilih 20 orang guru yang paling bermasalah di negara kita dan dihantar ke Palestin untuk belajar mengajar dari Hanan Al Hroub selama setahun. Sanggupkah mereka dan apakah mereka akan berubah?

Pada pandangan penulis, seorang guru mesti memiliki naluri seorang pendidik untuk menjadi seorang guru yang baik. Ia sepatutnya timbul di hati secara semula jadi tanpa dipaksa-paksa. Ia perlu ikhlas terbit dari hati yang murni, barulah ia bakal melahirkan hasil yang baik.

Mungkin mereka perlu belajar dari Hanan, seorang guru yang serba kekurangan di bumi Palestin namun gigih dalam perjuangan mendidik anak bangsa.

palestine children

Penulis tidak mengatakan semua guru di negara ini bersikap negatif dan tidak komited, namun tidak dapat dinafikan bahawa dari ratusan ribu guru yang ada di Malaysia, sebahagian dari mereka memang terkenal dengan sikap memberontak, radikal dan negatif.

Difahamkan bahawa sistem dan pelan pendidikan di negara kita sedang mengalami pelbagai sudut transformasi di mana beban-beban guru sedang cuba dikurangkan. Namun tidak bolehkah guru-guru itu bersabar sementara perubahan itu dilakukan?

Dalam proses menyediakan modal insan, guru-guru di negara kita merupakan aset terpenting dalam agenda perlaksanaan tersebut. Pincang didikan guru, maka pincanglah masa depan negara. Kerana itulah, penulis amat mengharapkan agar guru-guru celikkan mata dan membuka minda supaya benar-benar menjadi seorang guru yang berwibawa.

Tidak mampu jadi seperti Hanan, tidak menjadi masalah. Namun setidak-tidaknya, bertugaskan dengan dedikasi, ikhlas, profesional dan kreatif. Penulis yakin, Allah SWT tidak akan mensia-siakan perjuangan guru-guru di Malaysia. Pahala pastinya menanti anda di akhirat kelak. Selamat mengajar!



One thought on “Guru Di Malaysia Patut Belajar Dari Guru Palestin Ini

  • March 15, 2016 at 7:15 am
    Permalink

    kita juga perlu tahu mengapa negara arab tidak bersatu membantu Palestine…
    dan video ini membuktikannya…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *