Tahan Direbus Otaknya, Tahan Dibanting Tubuhnya, Tahan Dibakar Hatinya

Share


sales-training-challengesApabila seseorang itu mengambilalih sesebuah organisasi, baik ianya pertubuhan, atau syarikat, dia bukan sahaja menikmati segala kelebihan yang ada, tetapi juga bertanggungjawab ke atas liabiliti organisasi tersebut.

Itu perkara asas, apabila kita menyebut tentang pengambilalihan. Dan dalam pengambilalihan, pasti ada cabaran.

Sedang seorang ketua menikmati kelebihan itu, dia juga harus memikirkan cara dan bagaimana untuk liabiliti yang sedia ada dapat diminimakan, dan diselesaikan, sekaligus meningkatkan kelebihan organisasi, demi kesejahteraan semua.

Seorang ketua perlu memikirkan cara dan strategi untuk mengurangkan liabiliti organisasi.  Samada berkesan atau tidak, kita perlu melihat kepada segala data-data yang ada, dan data-data tersebut harus berdasarkan sumber yang sahih. Perbandingan statistik pencapaian semalam perlu dibandingkan dengan pencapaian hari ini. Itu indikasi kepada sesuatu yang bersifat positif, ke arah kejayaan. Liabiliti yang membebankan organisasi perlu diselesaikan, terutamanya jika organisasi tersebut melibatkan jumlah yang ramai, agar semua pihak dapat menikmati hasilnya.

Tidak semua orang mudah untuk mengakui pencapaian seseorang, maka oleh yang demikian, seorang ketua sering berhadapan dengan rintangan, samada dari pekerjanya sendiri, mahupun dari pengguna atau orang awam. Justeru, bukan sesuatu yang pelik, apabila wujud dakwaan-dakwaan negatif yang cuba untuk menafikan hak untuk menerajui organisasi tersebut pelbagai alasan. Tidak kurang pula dengan cerita-cerita berstatus khabar angin, yang gagal dibuktikan berkali-kali sekaligus berstatus fitnah untuk memberi gambaran kononnya si ketua inilah liabiliti kepada organisasi.

Apa yang membingungkan, mereka yang melemparkan pelbagai tuduhan dan kecaman pula adalah individu-individu yang pernah berada di dalam organisasi itu suatu ketika dahulu. Malah, mereka-mereka ini juga antara penyumbang kepada liabiliti sedia ada yang perlu diselesaikan oleh sesiapa pun yang sedang mengetuai organisasi tersebut.

Adalah satu yang memeritkan, sedang si ketua mengharapkan pembantunya agar sama-sama memikul beban yang ditinggalkan sebagai tanggungjawab bersama selaku pihak atasan untuk sebuah organisasi, si pembantu pula ibarat “menyimbah garam di dalam luka yang dalam”.

Benarlah kata-kata seorang tua di dalam mimpi penulis malam tadi bahawa “seorang ketua harus tahan direbus otaknya, tahan dibanting tubuhnya dan tahan dibakar hatinya”.

Mendalam sungguh kata-kata tersebut.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *