PRN Sarawak 2016: Berebut Kerusi Untuk Kalah

SPR_SWAK_final

Tersenyum penulis sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Kasihannya bukan sedikit, namun mendengar kisah perebutan kerusi di antara pihak pembangkang di Sarawak memperlihatkan kedudukan mereka yang huru-hara.

PAS sebelum ini dari awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa mereka bukan hanya akan bertanding di 5 Dun sahaja, malah sudah menetapkan penambahan 6 lagi kerusi Dun untuk ditandingi. Jumlah keseluruhan ialah 11 kerusi Dun yang akan ditandingi PAS.

PKR sebelum ini bertanding di 45 kerusi Dun dan DAP pula di 15 kerusi Dun di negeri itu. Maksudnya suka atau pun tidak, DAP, PKR dan PAS akan bertembung antara satu sama lain serta akan berlaku pertandingan tiga penjuru di sekurang-kurangnya 6 kerusi Dun.

Mengenai 11 kerusi Dun baharu yang diumumkan baru-baru ini, maka mungkin akan berlaku perebutan kerusi lagi. Cuma penulis tidak pasti sama ada PAS akan turut sama merebut kerusi di Dun-Dun baharu tersebut. Jika PAS rebut, maka bakal bertindihlah lagi…

Walau bagaimanapun, pembahagian kerusi itu belum lagi dimasukkan kuota untuk Parti Amanah Negara (PAN) pimpinan Mat Sabu. Sekiranya difikir logik, PAN mungkin akan bertanding di kawasan yang ditandingi ‘abang tiri’ mereka, PAS.

Sekiranya tidak bertanding di kerusi yang ditandingi PAS, maka mereka dijangka akan mengambil kuota kerusi Dun PKR atau DAP. Mahukah PKR dan DAP beri kuota mereka pada PAN?

mat sabu gelak

PKR baru-baru ini menegaskan tidak akan bertolak ansur dan akan mempertahan kuota mereka di 45 kerusi ‘tradisi’ mereka. Dan dengan jumlah kuota hanya 15 kerusi Dun, apakah DAP sudi ‘derma’ sebuah dua kerusi kepada PAN untuk ditandingi?

Sekiranya PAN ditawarkan sebuah dua kerusi dari 11 Dun kali ini, apakah mereka berpeluang menang di kubu-kubu kuat BN itu? Apatah lagi 11 Dun baharu itu dikatakan bukan membabitkan kawasan majoriti orang Islam atau Melayu, apakah PAN sanggup ‘ditradisi’kan di tempat ‘pasti kalah’?

Menjelang akhir Februari, difahamkan perebutan kerusi untuk ditandingi puak pakatan masih lagi belum diputuskan. Masih lagi mereka berebut-rebut dan bertengkar, dalam ‘bahasa baik’nya dilabel sebagai ‘masih berbincang’.

Bagaimana agaknya PRN Sarawak edisi kali ini? Berhadapan dengan aura Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang semakin hari semakin popular dan mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat di sana, apakah puak pakatan memikirkan mereka akan diterima?

adenan-satem

Pada pandangan penulis, apa yang berlaku di Sarawak nanti akan menyaksikan berkemungkinan satu lagi ‘tsunami’ politik akan berlaku. Cuma kali ini, rakyat Sarawak mungkin akan menyapu keluar budaya negatif dan pembangkang yang huru-hara dari terus menipu mereka di sana.

Namun begitu, BN juga tidak wajar mengambil sikap sambil lewa kerana pilihan raya bukan hanya melibatkan sorakan kuat atau ‘like’ di Facebook sahaja, namun ia adalah suatu proses yang melibatkan angka dan realiti rakyat yang sebenar…

One thought on “PRN Sarawak 2016: Berebut Kerusi Untuk Kalah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *