Agihan Kerusi: Usaha DAP Bela “Anak Didik”, Talqinkan PAS

Share


Hadi awang fastaqimKelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, begitulah pembahagian hak bertanding yang sedang diatur oleh DAP ke atas PAS untuk PRU 14 nanti.

Mungkin inilah maksud demokrasi terpimpin, seperti yang boleh kita tonton dalam filem 3 Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlie. Sebagai “kuasa besar”, abang long diberi mandat untuk mengatur hak “adik-adik” yang lain. Ini adalah akibat dari sikap PAS sendiri yang masih belum memuktamadkan kedudukan mereka dalam barisan pembangkang.

PAS tidak bersama Pakatan Harapan, tetapi masih lagi bersama Pakatan Rakyat. Bukankah Pakatan Rakyat telah dibubarkan, dan membentuk Pakatan Harapan? Politik sebegini, entahkan “u-turn”, atau sekadar berlegar-legar di “roundabout”.  Pelik bin ajaib.

Yang untung ialah Amanah, kerana pada ketika ini, mereka sedang menggambarkan bahawa PAS tidak sudah-sudah menyerang mereka. Berlagak suci dan murni, Amanah sebenarnya lebih beruntung kerana dibantu oleh “abang long” dalam misi memporak-perandakan PAS.

Mana kan tidak, lihat sahaja, tiba-tiba DAP menyuarakan pembahagian kerusi untuk sangat merugikan PAS, sambil membenarkan Amanah bertanding di mana-mana kerusi di negeri-negeri lain atas “keputusan bersama” parti-parti pembangkang. Tentunya ia sangat menyegarkan Amanah, yang kini mampu fokus kepada kerja-kerja penambahan ahli, sambil cuba-cuba untuk menarik seramai mungkin kepimpinan PAS kawasan dan ahli mereka untuk bersama-sama parti oren itu.

Pecah dan perintah, itulah taktik yang digunakan oleh DAP, dalam memastikan parti itu mempunyai pengaruh besar di dalam pakatan pembangkang di negara ini sehinggakan bertindak untuk mengatur kerusi-kerusi yang dipertandingkan kelak.

Sudahlah menjadi punca perpecahan PAS, DAP rupanya tidak pernah merasa puas selagi tidak melihat parti itu musnah, dan tidak relevan di peta politik Malaysia. Tidak dapat menguasai parti tersebut, kini DAP cuba untuk pastikan parti itu terkubur.

Pelanduk selalunya kan lupakan jerat, tetapi jerat tidak akan lupakan pelanduk, begitulah perumpamaan yang terbaik bagi menilai senario yang berlaku ke atas PAS kini.

PAS boleh sahaja menempelak apa juga cadangan atau kritikan dari DAP, waima mengenalpasti individu bukan Islam untuk bertanding pada PRU 14 nanti. Namun, selagi PAS belum memuktamadkan kekeliruan atas Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, selagi itulah PAS tidak akan mampu mencorak perjalaan politik mereka kerana DAP akan sentiasa cuba mengaturnya.

Hakikatnya, PAS dan DAP masih lagi berada di dalam satu pakatan, maka DAP tetap akan mengganggap PAS tidak sanggup melepaskan nikmat kuasa dan kemanisan bergelar anggota kerajaan negeri.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *