PABM 2015: Komik Lat, Hikayat Sang Kancil Bantu Peserta Luar Negara Dalami Bahasa Melayu

BANGI – Membaca komik Datuk Lat dan menonton animasi Hikayat Sang Kancil antara kaedah yang digunakan peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2015 dalam memahirkan diri belajar bahasa yang ditutur lebih 250 juta orang di seluruh dunia.

Peserta Jepun, Eiko Akazawa, 22, yang merupakan pelajar Bahasa Asing University Tokyo dan mampu menyanyikan dengan fasih lagu Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza, menjelaskan membaca siri komik Lat antara cara beliau memahirkan diri terhadap bahasa Melayu.

“Membaca komik adalah kaedah yang mudah dalam mempelajari sesuatu bahasa kerana ayat yang ditampilkan adalah ringkas. Bahasa Melayu mudah untuk dituturkan. Saya belajar bahasa Melayu kerana minat yang mendalam terhadap masyarakat yang berbilang bangsa terutama Malaysia. Ini merupakan kali ketiga saya datang ke Malaysia,” jelas Eiko.

Sementara wakil United Kingdom, Joshua Parfitt, 22 pula menjadikan animasi Hikayat Sang Kancil sebagai panduan awal ketika mula-mula berjinak dengan bahasa Melayu.

“Saya mengambil masa dua tahun untuk belajar Bahasa Melayu. Ini bermula apabila ayah saya ditugaskan di negara ini dua tahun lalu. Awalnya saya mengunakan animasi Sang Kancil di You Tube sebagai panduan. Ini cara yang berkesan untuk seseorang mempelajari sesuatu bahasa.

“Kemudian saya cuba berbual dengan orang ramai terutama pemandu teksi dan peniaga. Bahasa ini tidak sukar untuk dipelajari atau digunakan sebagai bahasa pertuturan. Malahan mempelajari bahasa Melayu boleh menjadi satu permainan iaitu dengan penambahan imbuhan dalam satu perkataan akan membawa makna yang berbeza seperti bangun, bangunan, pembangunan dan membangun,” jelas Joshua.

Seramai 70 peserta menyertai PABM 2015. Eiko dan Joshua antara 10 peserta yang layak ke separuh akhir yang berlangsung hari  ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *