Konspirasi, kata dua dan konsensus dalam mesyuarat ‘terakhir’ PH

Krisis perpecahan dalam Bersatu kian meruncing apabila pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin masing-masing mempertahankan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagi kem Mahathir, langkah Muhyiddin mengeluarkan Bersatu daripada PH merupakan satu pengkhianatan manakala bagi kem Muhyiddin pula, ia disebabkan rakan sekutu Bersatu yang tidak sabar sehingga mengasak parti itu ke satu sudut.

Laman Facebook Bersatu semalam membocorkan rakaman lebih dua jam mesyuarat terakhir Majlis Presiden PH sebagai kerajaan pada 21 Feb lalu, dengan mendakwa rakan sekutu Bersatu bersikap ‘biadab’ terhadap Mahathir.

Perbincangan selama dua jam itu kadang kala menjadi panas apabila pemimpin komponen PH menimbulkan soal sama ada Mahathir harus menetapkan tarikh peralihan kuasa atau sebaliknya.

Meskipun rakaman yang bocor hampir tiga bulan itu mungkin sebahagian daripada perang saraf, ia memberi gambaran menarik mengenai apa yang berlegar dalam fikiran pemimpin PH, beberapa hari sebelum gabungan itu ‘tersungkur’.

Dalam mesyuarat itu, Amanah dan DAP mendesak Majlis Presiden PH membuat keputusan mengenai tarikh yang tepat bagi peralihan kuasa, manakala pemimpin Bersatu menegaskan Mahathir tidak boleh ditekan dan menyatakan terdapat pemimpin PH tertentu menyerang Mahathir di khalayak umum.

Lebih menarik timbalan presiden PKR pada masa itu, Azmin Ali dan naib presidennya, Zuraida Kamaruddin, menegaskan bahawa Mahathir perlu menghabiskan sepenggal penuh – satu pendirian yang tidak diusulkan oleh pemimpin Bersatu dalam mesyuarat itu memandangkan mereka hanya mahu Mahathir menetapkan tarikh itu sendiri.

“Tun, you kata selepas APEC (Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan tak ada tarikh, dan mungkin juga sepenggal penuh,” kata Zuraida.

Untuk rekod, Azmin dan Zuraida kemudiannya memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan PH apabila mereka berpaling tadah untuk menyertai PN.

Berdasarkan rakaman tersebut, adalah jelas bahawa pemimpin PH tidak sedar mengenai wujudkan konspirasi berkenaan.

Konspirasi

Apabila Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman bersuara lantang menentang pemimpin PH yang menekan Mahathir untuk menetapkan garis masa peralihan kuasa, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat konspirasi yang telah diatur.

“Syed Saddiq, kamu mungkin tidak tahu, cubaan merosakkan keseluruhan rancangan (peralihan kuasa). Yang nyata, konfigurasi baru, saya bincang dengan Muhyiddin.

“Konfigurasi baru yang melayani PAS, Umno itu yang sebabkan orang marah.

“Tapi bila saya tanya, Tun kata diorang datang, dia tak beri kelulusan. Tapi banyak orang termasuk dalam dewan ini malam ini kata Tun setuju.”

Anwar berkata beliau mahu Majlis Presiden bertindak tegas terhadap kewujudan gerakan berkenaan.

“You tak boleh cakap sokong Tun dan Pakatan Harapan dan khianat di luar. Kemudian kamu mengharapkan kami meletakkan kesetiaan sepenuhnya. Ini yang kena stop,” jelasnya.

Anwar juga mengakui pihaknya mengumpulkan akuan bersumpah (SD) sebagai respons kepada satu lagi langkah berasingan yang dinamakannya “konfigurasi baru”.

Bagaimanapun, Anwar berkata SD oleh pihaknya bukan seperti penyokong “konfigurasi baru”, dan peralihan kuasa seharusnya diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.

Pada penghujung mesyuarat yang menemui jalan buntu itu, Anwar berjanji mengekang ahli PKR yang masih berdegil dan akan menyatakan sokongannya kepada Mahathir di media.

“Saya akan cuba yag terbaik tapi setakat ini saya support Tun kalau ditanya media. Saya akan katakan kepada mereka bahawa ia telah diselesaikan dan menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Tun,” katanya walaupun tiada keputusan dicapai mengenai tarikh peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Azmin kemudian mencelah dengan mengatakan: “Tun, saya nak minta penjelasan adakah dengan menyokong Tun untuk serve full term (satu penggal penuh) itu merupakan pengkhianatan kepada Pakatan Harapan?”

Ini mencetuskan pertikaian apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad akhirnya bersuara.

“Saya rasa paling penting tentang pengkhianatan adalah bawa masuk orang lainlah. Bawa masuk PAS, Umno, nak form gabungan baru, itu pengkhinatan yang kita sedang ceritakan.

“Kita tidak bincang tentang PAS dan Umno punya penglibatan,” jawab Azmin.

Ketegangan juga dapat dikesan apabila ketika mesyuarat itu setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berulang kali menyindir dengan menyatakan beliau tidak pernah sekali “ponteng” daripada mesyuarat parti dan PH – satu dakwaan yang sebelum ini dibuat terhadap Azmin dan kumpulannya.

Kata dua

Khalid akhirnya berkata perkara itu harus diserahkan antara Anwar dan Mahathir untuk membuat keputusan.

Mahathir, yang sepanjang mesyuarat itu tidak memberi sebarang pandangan mengenai kedudukannya sebagai perdana menteri dan pada satu ketika mengatakan beliau tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat yang banyak tertumpu kepadanya, kemudian bertanya apakah yang mahu diberitahu kepada pihak media di tengah-tengah kebuntuan berkenaan.

“Kita nak bagitahu press yang kita pecah dua atau kita ada konsensus?” soalnya.

Mahathir juga mengulangi bahawa beliau akan meletakan jawatan selepas APEC.

Bagaimanapun Azmin sekali lagi mencelah dan berkata: “Tetapi tiada konsensus walaupun selepas Apec”, menyebabkan suasana bising apabila ada yang membantah.

“Saya tahu kamu ada sesuatu yang peribadi terhadap saya. Berapa banyak pandangan berbeza, mengapa kamu pilih saya?” bidas beliau.

Pertikaian itu berterusan selama beberapa minit dan kemudian Syed Saddiq sekali lagi membantah paksaan agar Mahathir menetapkan garis masa bagi peralihan kuasa.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, yang banyak mendiamkan diri akhirnya bersuara dan menggesa Majlis Presiden menyerahkan kepada Mahathir untuk membuat keputusan mengenai tarikh pelan peralihan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa PH kehilangan sokongan dan pelan peralihan kuasa menjadi perhatian rakyat.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan mengatakan sekiranya Majlis Presiden tidak boleh patuh, maka Bersatu boleh membuat keputusan unilateral, menyebabkan keadaan menjadi senyap seketika.

Presiden Amanah Mohamad Sabu kemudian bersuara dengan menyatakan:

“Bersatu buat keputusan, Amanah buat keputusan, DAP buat keputusan. Pecahlah kita jadi pembangkang balik”.

Khalid kemudian menggesa pemimpin tidak membuat kata dua.

“Janganlah bagi ultimatum. Bila you nak cari konsensus, bila kamu bagi ultimatum, kamu tak cari konsensus.

Mat Sabu kemudian berkata “Bersatu nak buat keputusan sendiri itu ultimatum, kami pun dah jadi pembangkang lama,”.
Konsesus

Perdebatan ini berlangsung selama beberapa minit lagi sebelum Anwar mencelah.

“Sekarang Bersatu bagi ultimatum, kita kena capai konsensus. Saya tak nak usulkan apa. Saya serah pada Tun, saya percaya kamu sebab ultimatum ada risiko pecah. Saya harap jangan buat begitu.

“Saya akur, serah pada Tun,” katanya.

Mahathir kemudian secara bergurau memberitahu beliau mahu menyandang jawatan perdana menteri selama lima penggal.

Pada nada yang lebih serius, beliau kemudian berkata:

“Jangan tetapkan saya tempoh. Saya akan buat keputusan.Kalau kamu percaya saya, akan buat keputusan tapi jangan beritahu bila.

“Mungkin satu hari sebelum parlimen dibubarkan – mungkin, saya tidak mengatakan begitu, jangan petik saya Tapi jangan tetapkan satu tempoh, saya akan buat keputusan.

“Jadi, jika kamu tidak boleh bersetuju (menetapkan tarikh), maka kamu terima pandangan saya. Adakah itu okay?” katanya.

Para pemimpin dalam mesyuarat itu kemudian didengar menyatakan persetujuan sebelum beralih kepada isu-isu pentadbiran.

Pada sidang akhbar lewat malam itu, Mahathir diapit Anwar dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail di mana beliau mengumumkan bahawa PH memutuskan untuk membenarkan beliau membuat keputusan sendiri mengenai tarikh peralihan kuasa.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Azmin dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memulakan “Langkah Sheraton”.

Azmin, yang juga Anggota Parlimen Gombak, berpaling tadah bersama 10 anggota Parlimen PKR lain semasa Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada PH.

Bersama-sama dengan Umno, PAS, GPS, PBS dan STAR, mereka membentuk kerajaan PN yang baru.

Mereka pada mulanya menggesa Mahathir mengetuai gabungan baru itu tetapi apabila ia ditolak, sokongan beralih kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri yang baru.

Mkini

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker