“Snap Election” Di Selangor Hanya Angan-Angan Kosong Jika ….

Share


graphic_voting_pattern_07092014

Semalam, heboh diperkatakan di kalangan teman-teman PAS bahawa akan berlaku satu langkah drastik dari parti itu berikutan kemenangan pro ulamak PAS pada muktamar baru-baru ini.

Tempoh waktunya, selepas Aidilfitri. Penulis dikhabarkan sessi mufarakah secara berjemaah akan berlaku di Selangor, sekaligus menyaksikan kebarangkalian “snap election” akan berlaku di bumi Darul Ehsan.

Situasi terumbang-ambing politik di Selangor bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini pun, kemelut Menteri Besar Selangor yang bermula dengan “Langkah Kajang” karangan Anwar Ibrahim membuatkan keadaan politik tidak stabil di negeri tersebut, sekaligus membebani rakyat dengan isu-isu utama seperti isu bekalan air bersih yang melibatkan prestasi ekonomi negeri merundum.

Skrip lama sinetron “Langkah Kajang” kini berulang kembali, cuma apakah PAS benar-benar berani untuk mengambil tindakan drastik kali ini?

Pasca muktamar menyaksikan kenyataan “tarik-tali” samada di pihak DAP, mahu pun PAS sendiri. Rasionalnya, tiada satu pihak yang bersedia untuk dipersalahkan sekiranya Pakatan Rakyat berpecah. Baik PAS, atau DAP, masing-masing cuba untuk tidak dilihat mungkir janji, atau apa-apa yang termaktub di dalam istilah “tahaluf siyasi” yang mereka anuti.

Jika diambil dari kata-kata Mursyidul Am PAS;

Tahaluf siyasi perlu menuruti ketaatan wala’ mutlak, hendaklah diberikan kepada pimpinan PAS, bukan diberikan kepada parti lain yang bertahaluf.

Kemudian, ianya hendaklah dijadikan medan dan ruang untuk menyampaikan dakwah, matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak.

Dengan apa yang dilafazkan sendiri oleh Dato’ Dr. Harun Din, ini bermakna seluruh ahlul PAS perlu “samikna wa atokna” kepada pimpinan parti, dan bukannya individu lain.

Di Selangor, sejarah membuktikan bahawa tahaluf siyasi ini tidak difahami oleh wakil rakyat dari PAS sendiri, yang menyaksikan 2 ADUNnya memilih untuk bersama Wan Azizah ketika kemelut menteri besar. Itu belum lagi sebilangan yang sempat dibasuh mindanya, akhirnya bertindak setia bersama parti.

Jika masih ada ADUN mereka yang bersikap sedemikian, penulis merasakan apa yang digembar-gemburkan tidak akan menjadi kenyataan. Itu belum diambilkira dari jumlah pimpinan PAS negeri yang menerima elaun dari syarikat-syarikat anak negeri.

Di Pulau Pinang, sehingga artikel ini ditulis, penulis belum mendapat maklumat akan sessi mufarakah secara berjemaah dari pimpinan PAS yang menerima elaun dari kerajaan negeri.

Situasinya sama. Persis. Bak kata-kata teman PAS, mereka “mencari keredhaan Allah”, sedangkan penulis masih sangsi bahawa wakil rakyat PAS sudah enak dibuai erti manisnya kuasa dan nikmat elaun yang dimiliki.

Apakah PAS benar-benar berani untuk berubah, sekaligus membuktikan bahawa mereka telah bebas secara total dari DAP, dan tidak menerima penghinaan dari DAP seperti yang sedang mereka hadapi di Pulau Pinang?

Atau, mereka akan mencipta dalil terbaru bagi menghalalkan 3 perkara; apa yang diusulkan di Muktamar, situasi semasa di Pulau Pinang, dan masa depan parti itu di Selangor.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *