Derma Banjir: Kerajaan Tidak Akan Potong Gaji Penjawat Awam

SHAH ALAM – Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan  Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mengesyorkan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, dana bagi membantu mangsa banjir boleh dijalankan dengan mengutip derma bukan melalui kaedah pemotongan gaji penjawat awam.

“Saya tidak setuju. Mereka boleh kutip derma bukan paksa. Kerajaan tak akan potong,” katanya melalui sistem pesanan ringkas kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

“Kalau boleh sumbangan minima RM5 tetapi kalau lebih daripada itu, kita amat alu-alukan,” katanya.

Azih berkata, Cuepacs berharap potongan gaji itu dapat dilakukan pada bulan ini memandangkan kaedah itu adalah mekanisme terbaik dalam mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk membeli peralatan sekolah termasuk pakaian seragam kepada pelajar yang terjejas dengan banjir.

“Masih ramai yang tiada baju sekolah, yang mana beli awal memang sudah rosak, nak beli untuk kali kedua duit pun sudah habis,” katanya yang turut mencadangkan pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditangguhkan. – SINAR HARIAN

2 thoughts on “Derma Banjir: Kerajaan Tidak Akan Potong Gaji Penjawat Awam

  • January 7, 2015 at 12:33 am
    Permalink

    alaaaa…kalau potong gaji sorang RM20 pun tak dak kesan apa-apa pun dalam budget depa…tak pun potong perutukan majlis / kursus tak berfaedah di hotel-hotel…banyak boleh safe ooooo.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *