Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya berminat jual tanah.

Pengakuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa mereka masih lagi dalam proses memperincikan perancangan projek perumahan kos rendah membuktikan bahawa DAP Pulau Pinang tidak pernah membina rumah kos rendah dan sederhana rendah di negeri itu sejak 2008.

Sebaliknya, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, selama ini kerajaan negeri hanya memberi tumpuan terhadap penjualan tanah milik mereka.

Adalah jelas, kata beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keuntungan besar dalam penjualan tanah yang diperoleh melalui pengambilan balik tanah kepada syarikat pemaju swasta.

“Oleh kerana harga pemerolehan tanah yang tinggi, pemaju swasta akan membina dan menawarkan rumah pada harga yang lebih tinggi untuk memastikan keuntungan operasi syarikat,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Exco Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo semasa menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 November lalu menyatakan bahawa kerajaan negeri masih dalam proses memperincikan perancangan projek perumahan kos rendah.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin tertanya-tanya dengan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini yang mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengalami kerugian berjumlah RM800 juta dalam membina rumah mampu milik.

Katanya, adalah tidak jelas bagaimana dengan membina sebanyak 22,545 unit rumah mampu milik untuk dijual kepada rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri akan mengalami kerugian besar tersebut.

“Oleh itu, Ketua Menteri perlu menjelaskan dengan terperinci kerugian itu kerana ia melibatkan dana awam. Apakah kerana tidak mahu mengalami kerugian besar maka kerajaan negeri tidak membina satu unit pun rumah kos rendah sejak 2008?

“Apakah kerana Perda dan JKP Sdn. Bhd. berjaya merancang dan memohon kelulusan untuk membina 2,447 unit rumah kos rendah dan hampir 3,500 unit rumah mampu milik menyebabkan kerajaan negeri tidak mahu melihat projek agensi Kerajaan Persekutuan berjaya?” soalnya.

Sehingga kini beliau menambah, Perda, JKP, UDA dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang lain telah membina lebih 35,000 unit rumah kos rendah, sederhana rendah, kos sederhana, mampu milik dan lain-lain.

“Untuk lima tahun akan datang, agensi-agensi Kerajaan Pusat akan membina 32,000 unit rumah lagi, termasuk lebih 9,000 unit rumah yang sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk membina sejak tahun 2012,” katanya.

Utusan.

4 thoughts on “Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya berminat jual tanah.

  • November 10, 2014 at 9:14 AM
    Permalink

    Dasar penipu mcm tu la. Mana dia nak buat benda yg rugikan dia, dia fikir untung saja. Tu beza kerajaan bn dgn kerajaan syaitan pakatan.

    Reply
  • November 10, 2014 at 11:41 AM
    Permalink

    lama kelamaan yang duduk di penang semuanya orang kaya

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.