Kalimah ALLAH: Ini penjelasan sebenar, umat Islam perlu buka mata – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim

 

Gambar Hiasan

UMAT Islam terkejut dengan pendedahan tiba-tiba keputusan unilateral pihak kerajaan menarik balik rayuan mereka terhadap Kalimah ALLAH dalam kes Jill Ireland yang mempunyai kaitan tentang penggunaan kalimah ALLAH dan kalimah-kalimah lain yang berakar umbi kepada agama Islam.

Ramailah yang bercakap mengenai penarikan balik rayuan tersebut walaupun mungkin tidak pernah membaca penghakiman kes ini di mahkamah tinggi dan kes-kes berkaitan sebelum daripada ini.

Ruangan ini cuba menjelaskan salah faham mengenai isu yang mengejutkan ini. Dalam kes terdahulu iaitu Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur, Kementerian Dalam Negeri kalah di mahkamah tinggi tetapi menang di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Kes Jill Ireland juga sedemikian di Mahkamah Tinggi tetapi rayuan tidak diteruskan di Mahkamah Rayuan.

Keputusan kes Titular Roman Catholic terpakai kepada kes tersebut sahaja kerana ia berkaitan dengan penerbitan pihak gereja tersebut. Ia tidak melibatkan penerbitan pihak lain sama ada gereja ataupun bukan gereja.

Namun dalam kes Jill Ireland, beliau memohon membatalkan pekeliling KDN yang terpakai seluruh Malaysia dan berjaya di Mahkamah Tinggi.

Keputusan Jill Ireland tidak hanya memberi kesan kepada beliau atau Sarawak tetapi impaknya menelusuri seluruh negara. Ia bukan sekadar isu pentadbiran kerana melibatkan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka.

Satu perkara yang perlu difahamkan ialah kenapa keputusan ini dibuat secara unilateral sedangkan ramai pemegang taruh yang terlibat di dalam kes ini. Beberapa Majlis Agama Islam seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah dilaporkan telah mendapat hak sebagai amicus curae (sahabat mahkamah) di dalam kes tersebut namun tidak dirundingi.

Malah baginda Tuanku Sultan Selangor, Johor dan Kedah juga pernah menzahirkan titah menyokong rayuan tersebut. Para mufti juga telah memutuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perkara yang sama. Adakah entiti ini dirundingi atau tidak? Namun persoalan yang ditimbulkan ini sehingga kini masih belum dijawab.

Tiadakah sekelumit hormat atau kepercayaan entiti teras agama Islam ini diminta pandangan mereka sebelum keputusan dibuat? Inilah kegusaran rakyat yang ditampilkan beberapa hari ini.

Dalam tempoh hampir sebulan setelah rayuan ditarik balik tiada sebarang pengumuman berkaitan dengannya oleh pihak KDN sehinggalah beberapa NGO Islam mendedahkannya. Apakah KDN hanya mahu mendiamkan diri selamanya jika tidak didedahkan NGO Islam? Pendedahan NGO Islam juga mempunyai hikmahnya kerana barulah Perdana Menteri mengumumkan sehari selepas pendedahan beliau telah mendapat perkenan bagi membuat polisi baharu berkaitan penggunaan kalimah ALLAH tersebut.

Kenapakah polisi baharu tidak digarap sebelum daripada penarikan balik dilakukan? Berapa lama pula masa diperlukan untuk menggubal polisi baharu tersebut? Sebab itulah rayuan perlu diteruskan bagi mengetahui sama ada tafsiran yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan arahan KDN itu betul ataupun salah. Namun kini nasi sudah menjadi bubur, kerajaan telah menarik balik rayuan tersebut.

Jelas beberapa hari ini ramai umat Islam menyatakan kegusaran mereka. NGO Islam bersatu hati membantah penarikan balik rayuan tersebut walaupun pihak kerajaan memberikan pelbagai alasan.

Isu ini bukan merupakan isu politik namun seperti biasa ada pihak menangguk di air keruh. Perkara ini tidak hairan kerana orang politik sifatnya memang begitu.

Isu ini sebenarnya menjangkau lebih teras lagi iaitu bersangkut dengan akidah dan teologi. Disebabkan itu umat Islam merasa ragu dengan tindakan diambil kerajaan. Apatah lagi ia dilakukan tanpa ketelusan.

Bagi pihak kerajaan, ambillah ibrah dari situasi ini, jangan ketepikan kehendak masyarakat Islam arus perdana. Rujuklah alim ulama dalam sesuatu tindakan di samping menghormati pelbagai institusi Islam dalam negara.

Walaupun umat Islam mempertahankan kalimah ALLAH daripada digunakan bagi tujuan syirik, ia tidak bermakna umat Islam bermusuh dengan orang bukan Islam. Tidak pernah terniat di dalam minda umat Islam mencampuri urusan agama bukan Islam. Malah umat Islam ditegah berbuat demikian.

Keharmonian umat Islam bersama orang bukan Islam perlu dipertahan dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak mencetus sensitiviti yang telah sekian lama dipertahan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Kalimah ALLAH

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Anwar: The Untold Story jauh mengatasi Mahathir: The Journey

Telan pil Viagra nak ‘main lama’, warga emas temui ajal

Rafizi datang lagi kini dengan formula PADU

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker