Ibu Bapa Kanak-kanak Mati Dalam Kereta Boleh Didakwa, Polis Akan ambil keterangan Mereka

KUALA LUMPUR 20 Julai – Polis akan mengambil keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak perempuan yang mati akibat kelemasan setelah ditinggalkan tanpa sengaja di dalam kereta di Subang Jaya pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata rekod bertulis belum diambil kerana ibu bapa kanak-kanak tersebut masih dalam keadaan trauma ekoran kejadian itu.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang berpatutan, katanya kepada Bernama.

Seksyen ini memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, Nawal Iris Samsudin, berumur tiga tahun maut akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di bawah panas terik di tempat letak kereta sebuah sekolah menengah di USJ4. Beliau diminta mengulas insiden seorang kanak-kanak perempuan

Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang menunjukkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat heat stroke.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim mengingatkan bahawa Ibu bapa atau penjaga yang cuai dalam penjagaan anak mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001

Beliau berkata sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sekarang ini sudah terlampau banyak kes kecuaian, tinggalkan anak di dalam kereta… ibu bapa tidak belajar daripada pengajaran, kita harap perkara ini akan jadi teladan dan tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 300 penghuni Rumah Anak Yatim dan Ibu Tunggal Rumah Perlindungan Nur Kasih di sini hari ini.

– BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.