Ibrahim Ali Cabar Penyamar Dirinya Di Facebook Tonjolkan Diri

Oleh Naimah Shaari

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencabar individu yang menyamar sebagai dirinya di laman sosial Facebook agar menonjolkan dirinya yang sebenar.

Sebuah akaun Facebook yang menggunakan nama Ibrahim dan gambarnya yang sebenar telah diwujudkan bagi menyebarkan informasi yang tidak tepat tentang Perkasa dan politik kerajaan.

Justeru, Ibrahim petang tadi telah membuat laporan polis mengenai penyamaran itu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur sebagai cara melindungi dirinya.

“Akaun itu atas nama saya dan gunakan gambar saya. Dah banyak kali dah, tapi kali ini yang serius seperti dalam laporan polis ini.

“Sebab, apa yang dimasukkan dalam akaun itu adalah tidak benar dan boleh kelirukan orang ramai. Jadi, ini sebagai melindungi diri saya. Saya cabar inidividu yang bermain kotor ini untuk tonjolkan diri,” kata Ibrahim.

Menerusi akaun palsu Facebook itu, Ibrahim memberitahu pelaku tersebut kerap memuat naik gambar-gambarnya ketika mengadakan aktiviti anjuran Perkasa termasuklah informasi ceramah Perkasa.

Pun begitu, informasi dan inti pati yang dimuat naik adalah berlainan dari informasi yang sebenarnya yang disampaikan oleh Perkasa.

Laporan polis itu juga dibuat bagi menghentikan kegiatan penyamaran tersebut yang dilihat mampu memburukkan imej dan nama Perkasa selain mempunyai niat menghuru-harakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Oleh kerana suasana PRU sudah sampai, ada pihak-pihak tertentu memang iri hati dengan saya.

“Mereka cemburu dengan perjuangan Perkasa dalam membantu menstabilkan politik dan keamanan negara,” katanya.

Dengan aktiviti penyamaran itu, Ibrahim percaya strategi kotor individu tersebut adalah bertujuan untuk mewujudkan rasa benci orang ramai kepada Perkasa.

Malah, tidak dinafikan sebagai serangan utama kepada pertubuhan itu sementara PRU semakin tiba.

Ibrahim menggesa agar orang ramai yang menerima sebarang informasi tidak benar mengenai Perkasa agar tidak mempercayai maklumat tersebut.

“Individu itu mereka-reka kenyataan seolah-olah memang Perkasa yang buat. Jadi, masyarakat yang berbilang kaum akan menuduh saya dan Perkasalah.

“Mereka lipat gandakan serangan di saat PRU nak dekat dah. Jadi, abaikan fakta yang tidak benar di mana-mana media sosial,” beritahu Ibrahim.

One thought on “Ibrahim Ali Cabar Penyamar Dirinya Di Facebook Tonjolkan Diri

  • April 5, 2013 at 11:41 pm
    Permalink

    biasa la tu, troll

    Facebook biasanya mintak no tepon kita kalau nak secure account…cuba mintak no tepon user yang menyamar tu. Siapa yang jawab agaknya. Adakah ia awek cun ala Wardina seperti Amenoworld?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *