Operasi Komando Semut jadi sebahagian sejarah Bario

KUCHING 27 Mac – Operasi Komando Semut, yang dilancarkan Unit Khas Z pada 25 Mei 1945 ketika Perang Dunia Kedua di Bario, ialah antara peristiwa penting yang melakar sejarah Sarawak, kata seorang veteran perang Australia.

Jack Tredrea, bekas pegawai waran berusia 93 tahun dari Australia Selatan berkata, pendaratan anggota unit itu merupakan langkah penting Pasukan Tentera Berikat dalam usaha membanteras tentera Jepun di Sarawak ketika Perang Dunia Kedua.

“Ketika itu, Bario ialah tempat paling baik untuk melancarkan serangan kerana ia tidak begitu diberi perhatian dan merupakan tempat yang sesuai bagi kami,” katanya pada program Bicara Warisan mengenai Operasi Semut anjuran Muzium Negeri Sarawak di sini hari ini.

Veteran perang itu berkata, ketika mendarat dengan payung terjun dari sebuah pesawat di Bario pada awal subuh hari bersejarah itu, beliau terkejut kerana disambut mesra oleh penduduk tempatan.

Pendaratan sulung itu disusuli lebih 80 operasi dengan bantuan lebih 2,000 penduduk pribumi, termasuk Kelabit, Iban dan Penan, yang membunuh lebih 1,846 anggota tentera Jepun, katanya.

Beliau berkata, operasi unit itu meliputi kawasan yang luas, termasuk Lawas, Baram dan Pensiangan di Sabah serta di seberang Borneo Belanda yang kini merupakan wilayah Indonesia.

Unit berkenaan diberi tugas khusus membuat tinjauan dan melancarkan perang sabotaj di Borneo dan kepulauan yang dahulunya ditadbir Netherlands East Indies, dengan dianggotai tentera Britain, Belanda, New Zealand, Timor dan Indonesia, katanya.

Beliau berkata, unit itu menggunakan payung terjun dan kapal selam untuk menyediakan maklumat risikan dan perang gerila, di samping menjalankan operasi sulit di beberapa tempat lain seperti Singapura, New Guinea dan Balikpapan di Indonesia. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *