Menteri Besar Selangor dan New Water Singapura

Share


Arakian telah dikhabarkan oleh pelbagai media tentang keenganan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan masalah air di Negeri Selangor dengan segera. Banyak spekulasi yang timbul atas tindakan beliau untuk tidak bertindak dengan cepat. Namun begitu pada hemat penulis, Tan Sri Datuk Seri Khalis Ibrahim sedar akan perkara ini, cuma disebabkan terlalu ego dan semangat “kiasu” yang telah dijangkiti beliau daripada exco-exco DAP yang menyebabkan beliau tidak mahu menyelesaikan masalah air ini dengan segera.

Ada yang mengatakan bahawa sekiranya isu air ini tidak dapat diselesaikan dengan cepat, rakyat Selangor akan menerima nasib yang sama seperti rakyat di Kelantan. Di bawah pimpinan PAS, bekalan air bersih di Kelantan merupakan suatu kemewahan yang tidak dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Adapun telah ditunjukkan bukti bahawa dikebanyakkan tempat di Kelantan, air paipnya seumpama air teh tarik yang dihidangkan di kedai-kedai mamak, masih ada lagi yang memuja muji pemerintahan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang semakin lama semakin pelupa itu.
Isu air di Selangor bukanlah suatu isu lapuk yang datangnya sekali sekala. Semenjak dari awal pentadbiran Pakatan Rakyat, isu air telah menjadi topik hangat sidang ADUN Selangor dan juga sidang kedai kopi rakyat Selangor. Pada awalnya dengan angkuh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dibawah pimpinan Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim telah menyatakan bahawa Selangor telah mencapai sasaran menjadi negeri berkebajikan kerana menyediakan subsidi air. Maka bertakbirlah juak-juak penyokong Pakatan Rakyat atas “kejayaan” ini. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dengan tidak segan silu mengambil kejayaan ini untuk dicanang-canang ke serata Malaysia. Tetapi, pihak Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pula terkedu malu kerana mereka terpaksa menaikkan kadar tarif air disebabkan tidak mampu menampung kos penyelengaraan atas kegagalan mereka menguruskan kewangan negeri dengan baik.

Pemberian subsidi air percuma telah tersemat di dalam “track record” Pakatan Rakyat sebagai salah satu “kejayaan” terhebat mereka. Namun setelah empat tahun memerintah Selangor, hanya sebahagian kecil sahaja rakyat menerima kebaikan dan kemewahan yang digembar gemburkan oleh pemerintah Selangor. Negeri Selangor merupakan diantara negeri yang mempunyai kadar miskin bandar tertinggi di Semenanjung Malaysia. Kebanyakkan rakyat di Negeri Selangor terutamanya yang tinggal dikawasan bandar, tidak dapat menikmati tarif air bersubsidi. Ini kerana kebanyakkan rakyat miskin yang tinggal di kawasan bandar menginap dirumah-rumah pangsa yang rata-rata menggunakan sistem meter pukal. Untuk pengetahuan umum, sekiranya sistem meter pukal digunakan, subsidi air tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat miskin manakala orang-orang kaya yang berumah teres dan banglo dengan senang lenang dapat menikmati subsidi air tersebut. Setelah perkara ini dapat dihidu oleh rakyat, Pakatan Rakyat terus senyap sunyi dan isu air percuma tidak lagi menjadi zikir mereka di atas pentas ceramah. Mungkin kerana takut dimaki hamun oleh rakyat, para penceramah Pakatan Rakyat tidak lagi menceritakan bagaimana hebatnya mereka dalam memberikan subsidi air kepada orang miskin.

Namun kini, isunya bukan air percuma, tetapi isu yang perlu dihadapi oleh Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim adalah bekalan air Selangor yang makin lama makin meruncing disebabkan kedangkalan beliau untuk menerima Syabas sebagai kontraktor dan pembekal air bersih. Nampaknya Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim lebih senang untuk mencari salah daripada menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat negeri Selangor. Mungkin juga mentera “lawan tetap lawan” telah bersemadi kekal di dalam jiwa dan fikiran Menteri Besar Selangor ini sehinggakan beliau lebih suka melihat rakyat menderita daripada berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat.

Mungkinkah isu air ini akan menjadi seperti isu sampah yang masih lagi berlarutan sehingga sekarang. Perlu diingatkan bahawa untuk menyelesaikan isu sampah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah membeli beberapa lori sampah untuk diberikan kepada kontraktor kroni mereka setelah kontraktor yang lebih layak ditamatkan perkhidmatan atas alasan mereka adalah penyokong Barisan Nasional. Mungkinkah juga kerajaan Negeri Selangor akan mencairkan semua aset negeri semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini sebagaimana masalah PTPTN tidak berapa lama dahulu, sedangkan banyak lagi jalan penyelesaian boleh diambil pakai.

Rakyat Selangor perlu sedar bahawa kerajaan Pakatan Rakyat dibawah pimpinan Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim telah merencatkan kemajuan di Negeri Selangor disebabkan pembangunan yang mereka lakukan tidak terancang dengan baik. Malah, jangan terkejut satu hari nanti, untuk menyelesaikan isu air ini, kerajaan Negeri Selangor akan mengupah kroni mereka yang terdiri daripada para pakar dari Singapura untuk menghasilkan “New Water” untuk kegunaan rakyat Negeri Selangor. Mungkin juga Tan Sri Datuk Seri Khalid Ibrahim akan meminum air bekas kumbahan seperti mana yang telah dilakukan Perdana Menteri Singapura tidak lama dahulu.



One thought on “Menteri Besar Selangor dan New Water Singapura

  • July 27, 2012 at 11:55 pm
    Permalink

    semoga pencerahan ini dapAT MEMBUKA minda puak2 yang sokong pakatan haram di selangor ni.. amin

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *